Takagi Sayang

AYAM jantan kesayangan atuk berkokok nyaring di atas tunggul rambai. Seekor ibu ayam datang terkedek-kedek dari balik semak, menunjukkan skill menggoda yang dipraktikkan sekian lama. Sayang, taktiknya tak menjadi, ayam jantan itu melompat turun menuju ke arah reban. Kih..kih..padan muka. Aku tersengeh sendiri, betapa seronoknya melihat kekecewaan ayam itu. Kau ingat kau bagus?
"Hai, dah tebiat ke sengeh sorang-sorang?" Erk! Senyuman yang manis macam gula kurasa mati. Perasaan gembira tadi terbang entah ke mana bila manusia yang paling aku tak gemar muncul tanpa diundang di depan mata. Kalau boleh wish dah lama aku nak matikan diri macam Snow White kat atas pelantar ni.
"Apa hal duduk sorang-sorang kat belakang nie? Dekat reban ayam pulak tu..layan perasaan ke?"
"Memang!" jawabku, biar dia rasa bersalah sikit. Suka sangat mengacau ketenangan orang! Aznil tersenyum, macam terkena aje..
"tunang awak suruh saya sampaikan amanatnya.."
"Tak payah cakap apa-apa lagi..awak bagi tahu dia..tak hingin saya nak dengar.."
"Cuba dengar dulu..dia kirim salam sayang, minta maaf banyak-banyak kalau ada buat salah, dia cakap sebenarnya dia bergurau aje.." What?! Aku membulatkan mata macam bola golf. Bawak perempuan lain dengan motor buruk dia depan aku just bergurau?
"Awak maafkan tak?" Aznil merenungku lama.
"Apa susah sangat ke nak cakap I am sorry direct to the point dengan saya?" Soalku geram. Tiap kali nak minta maaf selalu macam tu, tersengeh-sengeh macam orang gila talak.
"Okeylah sayang.." sayang? Nak muntah!
"Saya minta maaf pasal tadi,"
"Senangnya cakap! Awak ingat elok sangat la perangai awak tu? Mak cik Tipah tu siap laser melaser saya tau tak cakap mudah sangat biar tunang usung anak dara orang lain, tau tak?"
"Aii..marah? Tadi cakap tak kisah kalau saya hantarkan si Rohana tu..Dah awak cabar sangat saya..saya buatlah!"
"Awak ni kann…eiiii!" Aku tak mampu berkata apa-apa lagi. Benci betul aku tengok muka Aznil. Sama bencinya aku tengok cicak yang selalu menggugurkan bom black and whitenya atas katil aku.
"Awak ingat saya pelik sangatlah awak berjaya bawak budak tu naik motor? Eh..tolong sikit..dah lah! Menyampah!" Tanpa menunggu lama aku terus berlari menuju ke dapur. Mak sedang sibuk memotong daging untuk dibuat masak kicap .
"Eh, mana si Aznil? Tadi mak nampak ada sama kamu kat pelantar tu..mengapa tak ajak minum dulu?"
"Dia dah minum racun!" jawabku lalu segera masuk ke bilik. Biar mak confuse sendiri.. Malas aku nak layan orang macam si BUAYA TEMBAGA tu. Aku pun kadang-kadang tak mengerti kedudukan kami ni. Tiga bulan lalu tak disangka-sangka family Aznil datang membawa hajat yang amat mengejutkan aku. Aku tak pelik sangat kalau dia orang nak jodohkan aku dengan sepupunya yang baru balik dari State tu, boleh tahan jugaklah handsomenya. Tapi bila mak cakap sebenarnya pinangan tu untuk dijodohkan dengan Aznil aku rasa macam nak mati. Macammana nak percaya, sejak dari kecil lagi sampailah sekarang tak pernah berbaik apatah lagi nak hidup bersama..seumur hidup pulak tu! Tapi..aku pun pelik dengan diri aku. Masa mak tanya dulu aku just cakap suka hati mak la..ialah kan..dah berbesen-besen air liur mak mempromosikan si buaya yang dia berkenan sangat tu..dari celik mata sampai nak tutup mata balik cerita kebaikan si Aznil tu menyumbat telinga..aku pun cuma menurut ajelah..aku ni anak baik..Dan..yang aku hairan sama tu..si Aznil pun macam tu juga..sikit tak bantah. Jodoh orang tua kekal katanya, mak dia ceritalah! Macam mana dengan girlfriends dia yang bersepah-sepah tu? Apa jadi pada si Baya, Yati, Rina lebih-lebih lagi si Tiara bohsia tu, dulu bercinta bagai nak mati, sampai pernah serang aku gara-gara si Aznil celaka tu tujukan lagu Belaian Jiwa nak mengenakan aku, unplugged lagi kat dewan sekolah masa majlis Perpisahan Pelajar-Pelajar Senior form 5 & 6 1995.
Aku? Aku macammana? Perasaan cinta memang tak pernah wujud dalam hati. Zaman remaja, alam persekolahan kuhabiskan dengan pelajaran dan kawan-kawan. Cintan cintun ni aku memang tak minat, lebih-lebih lagi ada insan yang bertanggungjawab menyebabkan aku tawar hati sampai la ni..Siapa lagi kalau bukan si malaun penyangak kampung dusun tu..asal ada saja orang mengorat aku dia dah buat announcement aku ni girlfriend dia dunia akhirat..pantang aku ada secret admirer dia pandai-pandai jadi investigator tak bertauliah mencari si jejaka misteri. Bila dapat tahu siapa, faham-faham sajalah, habis ditorturenya orang tu sampai tak berani nak minat kat aku lagi..siapa tak bengang? Dah tu nakalnya tuhan saja yang tahu. Makmal sains tu dah pernah terbakar gara-gara dia..kalau setakat bilik disiplin tu macam istana hinggap dia..ada saja yang tak kena. Tapi memanglah tak dinafikan teori orang dulu-dulu…budak nakal ni cerdik..dia adalah salah seorang daripadanya. Aku pun pelik macammana dia belajar sampai boleh dapat 10A1 dalam SPM..
Tapi..yang misterinya kenapa setelah meninggalkan zaman itu tuhan takdirkan kami begini? Terus terang aku katakan aku tak pernah membayangkan akan hidup bersamanya..seteru nombor satu yang pernah menjadi nightmare aku…ishh..macammanalah hidup aku nanti, ishh..ngerinya!
"along," Ina dah pun masuk tanpa izin. Hiss..masa orang nak melayan perasaan masa tu la dia mengacau!
"Ngapa ni? Tak pergi kelas tambahan?"
"Kelas tambahan apa..along ni mengigau ye? Cuba tengok jam pukul berapa?" Aku menoleh ke arah dinding. A ah, dah dekat pukul 6.30 rupanya..patutlah adik aku dah balik ke rumah.
"Itulah…memerap lagi..Ina dengar along tak tolong abah kat gerai tadi, ngape?"
"Orang pening kepalalah!" jawabku. Malas nak layan si renek ni lebih-lebih.
"Pening kepala ke..sakit hati?" Ina tersengih.
"Eh sibuklah! Pergi main jauh-jauh..biasalah kan..tuan puteri macam along nie kena rehat banyak.."
"Ceh..tuan puteri konon..piiiirah! Puteri Tom Yam! Malas Ina nak duduk sini lama-lama..kang ada pulak perasan jadi Maharani..nah!" Sekuntum putik mawar merah segar dihulurkan kepadaku.
"Ina jumpa Abang kat bandar tadi, dia suruh kasi bunga ni kat along," Ye ke? Hemm..faham sangat..kalau bagi bunga tu tandanya I am sorry! Huluran Ina kusambut.
"Sementara orang tengah sayang nie..baik layan Along..Abang Aznil tu kalau dah hilang sabar..10 kali ganda cun dari along pun dia boleh dapat tahu?"
"Eleh…ingat along ni teruk sangat ke?"
"Hemm..susah cakap dengan kepala batu!" Sungut Ina sebelum keluar dari bilik. Aku cuma tersenyum.



********


"HAI!" Aku tidak jadi membungkus nasi lemak yang diorder oleh dua orang budak di depanku. Aznil dengan selamba mencapai secubit ikan bilis goreng dari bekasnya, membuatkan dua budak tadi tersengeh. Balik-balik muka dia ni lagi. Memang selalunya Aznil akan datang ke sini kalau dia tak sibuk di kolam udang harimaunya. Hari ini mesti ayahnya keluar ke bandar sebab Perdana V6 warna hitam tiada. Cuma bawa motor buruk aje ke sini.
"Nak makan apa?" soalku sambil menyerahkan dua bungkus nasi lemak kepada budak itu.
"Daging harimau masak kicap dengan Rendang Godzilla," Aku menjelingnya geram. Aznil cuma tersengih macam tak bersalah. Dua orang budak kecil itu tertawa kelucuan.
"Sampai matilah tak dapat kalau macam tu punya selera!" jawabku selamba.
"Mati pun tak apa..asalkan kat tangan awak," Aku jeling dia macam nak terkeluar biji mata.
"Tu kuey teaw goreng siapa?" Soalnya sambil mengerling ke arah pinggan di atas meja.
"Saya punya…awak nak ke?" soalku sambil mencapai pinggan tapi..
"Emm..sedap!" Aznil sudahpun menyuapkan kuey teaw itu ke mulutnya.
"Kan saya punya tu..saya dah makan tadi.."
"Tak apa..fiance saya punya gak.."jawabnya selamba. Aku cuma menggeleng kepala.
"Abah mana?" hai..belum apa-apa dah panggil abah? Macam confident je orang nak kawin ngan dia..
"Abah pergi bandar jap..bayar bil telefon," jawabku sambil menarik kerusi duduk di depannya. Aznil mengangguk faham sambil meneruskan suapannya. Seketika kemudian dia tiba-tiba mengerut kening.
"kenapa?" soalku hairan.
"Siapa masak kuey teaw ni?" soalnya.
"Abahlah,"
"Nasib baik…" dia seolah-olah lega.
"Kenapa?"
"Nasib baik abah masak..kalau awak masak..sakit perutlah saya dua tiga malam..pedas..masin..hemm..bak kata memang nazaklah!" Cis..
"Dah tu selama ni kalau saya masak apa-apa tu apasal awak makan sampai tambah 3-4 kali?"
"Kang kalau saya tak makan awak kecik ati..satu hal pulak saya nak pujuk balik..lagipun..yang tak sedap itulah penyerinya..betul tak sayang?" mulalah tu!
"Kalau macam tu..tak payah lagi datang sini..penat je kita masak.." Tak tunggu lama aku masuk ke belakang. Malas nak layan buaya tu. Bila jumpa kalau tak bergaduh tak sah! Kalau macam ni la..alamat hari-harilah periuk belanga melayang!
Burrrkk! Opocot mak, kambing @ tenuk! Aku segera berpaling ke belakang. Aznil tertawa kelucuan. Heii…bukan dia tak tahu pantang aku kalau sendawa macam bunyi katak!
"Awak ni buruk laku la!"
"Tak apa, janji awak sayang kat saya," Cheh! Aznil tertawa lagi.
"Kan saya dah pesan, saya tak suka awak buat macam tu?" ujarku geram.
"Tak apa, yang tak disuka tu la yang menambahkan kemesraan!" jawabnya selamba.
"Mesra? Mesra macammana? Mesra macam ni?" soalku sambil tangan meluru mencubit lengannya.
"Adoiiii! Aww..Adoiii!!" rasakan! Cubitan semakin bertalu-talu hinggap di lengan dan perutnya. Biar, puas hati aku!
"EHEMMM!" Alamak! Abah?
"Dah lama Nil?" soal abah bersahaja dalam nada cool sambil meletakkan seplastik sayur di atas meja.
"Err..baru je abah, Eh!! Pak long!" Aznil sengih sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Aku bulat mata kasi amaran. Gila, ingat abah suka agaknya. Abah tu bukan aku tak tahu, nampak je cool..kang kalau bukak ceramah kang..berdesing-desing telinga! Tapi tak tahulah kalau dengan Aznil bakal menantu kesayangannya ini. Kadang-kadang aku tak faham abah ni. Namun aku dapat merasakan, kalau aku tolak pinangan dari keluarga Aznil dulu pasti abah suruh terima juga. Bapa Aznil dengan abah memang kawan baik sejak dari kecil lagi. Tak hairanlah kalau kami dijodohkan semata-mata untuk merapatkan lagi hubungan kekeluargaan. Iyelah, kalau bukan dengan Aznil siapa lagi? Dia anak bongsu, kebetulan semua abang dan kakaknya sudah berumah tangga.
"Dian, nanti panaskan sup tu," pesan abah. Aku menurut perintah. Abah mula sibuk memunggah barang-barang dari bonet vannya.
"Yang, anje balik dulu ye?" Makkk!!! Aznil tertawa lucu sambil bersalam dengan abah sebelum menghidupkan enjin motor buruknya. Sial betul dia ni, suka buat perkara yang aku benci. Ha ha ha..Alamak..abah sudah terbahak-bahak tertawa melihat telatah kami berdua. Ya Allah..malunya!
"Dian balik kejap bah," tanpa lengah aku cabut lari balik kerumah. Nantilah kau…!


*********

"ALONG!!" nasi yang kusuap hampir-hampir tersembur keluar. Kalau terhambur betul sah kena tepat-tepat kat muka abah!
"Along cepatlah!" Fina berteriak lagi, mengalahkan suara nenek kebayan yang hilang tongkat saktinya.
"Apa dia?" soalku sambil membasuh tangan dan melangkah anak tangga menuju ke ruang tamu. Si Fina ni memang suka menjerit, sikit-sikit jerit, padahal jarak antara dapur dengan ruang tamu bukan jauh sangat, tak matinya kalau setakat nak panggil sesiapapun.
"Apa jerit-jerit ni Fina?" soalku kurang senang. Apa taknye, mak dah jeling-jeling tadi, sampai nak suap nasi pun tak selesa.
"Tu, buah hati telefon," jawabnya tanpa memandang mukaku. Buah hati?
"Kau cakaplah kat dia along tak ada buah hati,"
"Ngade..Abang Aznil dah tunggu lama tu!" Fina mencebik geram. Mentang-mentanglah tengah syok tengok Mohabbatain..marahlah tu! Jiwang karat!
"Hello! Nak apa?"
"Mak oii..garangnya.."
"Apa hal awak telefon ni? Orang tengah makan tau tak?"
"Ala, saya pun belum makan lagi nie..tak apa..sama-sama lapar ye.."
"Jangan nak mengarut la..ngape telefon?"
"Mak saya suruh saya bawa awak tengok cita mat saleh malam ni.."
"Woi..tak sihat ye? Ingat saya ni apa? Dah jangan nak buat lawak,"
"eleh..orang gurau aje la.." Ha, tahu pun, pepandai sangat membabitkan mak dia dalam perkara ni..durhaka punya anak!
"Saya call ni nak tanya, confirm tak keluar esok?" soalnya. Aku kerut kening. Baru teringat siang tadi mak dia jumpa suruh tolong carikan kain langsir di bandar. Aku terdiam sejenak.
"Confirm la..kan mak awak yang suruh.." Jawabku.
"Naik motor yek?" dia mula mengusik.
"Kalau macam tu, awak pergi sorang!" jawabku geram. Aznil tertawa mengekek. Bukan dia tak tahu aku tak suka naik motor dengannya. Bukan apa, dulu sekali aku pernah pergi kenduri di rumah saudaranya. Dia punyalah dengki, jemput aku naik motor. So tak ada choice la..Dah la bawak macam ribut, masa balik tu kain aku termasuk dalam rim, habis baju sutera kesayangan aku terkoyak. Lepas tu haram aku nak bertenggek kat motor dia. Nasib baik ganti balik baju sutera tu..kalau tak..
"Yan, boleh tak awak senyum sikit?" Dah, apa hal pulak suruh aku senyum ni? Gilo apo?
"Kenapa, kalau saya senyum pun bukan awak nampak. Nak suruh saya gila senyum sorang-sorang?"
"Eh, saya nampak…" Kah..kah…kah…satu lawak antarabangsa yang amat menggelikan hati pak cik!
"Awak nak tahu satu perkara tak?" soalku.
"Apa dia?"
"Awak ni buat lawak bodohlah..tak ada modal lain ke?"
"Saya pun nak bagitau satu perkara,"
"so, tell me now," ceh..speak london lagi..
"Muka awak tu huduh sangat kalau tak senyum.." Whatt!!!
"Eh, sukalah! Muka saya, buruk ke hodoh ke..kerepot ke..jelita ke..awak peduli apa?"
"Eh, mesti la peduli! Awak tu kan tunang saya..saya ni kan kacak, macho, handsome…cute…barulah sepadan.." Ya rabbi..perasan gila…
"Nyusahkan awak ke kalau saya tak senyum? Penting ke? Mati ke?"
"Of course yes! Nanti cepat kerepot baru menyesal..saya kawin lagi satu nanti menangis tak berlagu.." Amboi…sedapnya cakap…!
"Ohh..belum apa-apa dah berhajat besar nak bukak cawangan nie..Eh, kita tak heranlah! Pasanglah berapa awak suka, go to hell!"
"Aikk..bunyi macam jealous jer.."
"What? Please..tak ada masa nak layan awak!"
"Kalau macam tu tak apa la kalau saya keluar dengan Tiara malam ni?" Apa? Tiara? Awek lama dia?
"Hai..senyap je…kecewa separuh mati ke.."
"Hei..tollong sikit..sudahlah!" Klik. Rasa nak gigit je telefon tu. Gerammm!! Bukan geram apa..sakit hati je. Eleh, dia ingat aku ni terhegeh-hegeh nak kat dia? Kalau tak fikir mak bapak tak hinginnya aku..bukan aku tak tahu perangai playboy dia tu. Tukar sana..tukar sini..macam tukar baju. Tapi dengan aku, sorry la. Kadang-kadang mahu saja aku putuskan pertunangan ini. Tapi aku tahu ianya tak mungkin terjadi dan tak akan terjadi. Banyak sebab yang membuatkan aku berfikir dua kali sebelum membuat keputusan. Pertama, aku fikirkan persahabatan abah dan Ngah Deli kalau kami memutuskan pertunangan ini. Tentu tak elok kan? Lagipun ibu Aznil baik sangat dengan aku, sejak dari dulu lagi sebelum pertunangan ini. Keduanya, dia ni tak adalah jahat mana..cuma nakal ngan mengada-ngada je lebih! Dia tak macam orang lain. Berdikari, menghormati orang tua, bijak, tak sombong dan paling aku suka, dia cukup gigih dan pandai mengumpul harta. Dalam usia yang muda macam-macam dia dah buat, buka kolam ikan, buat restoran terapung..ladang berekar-ekar…dengan tanaman kormesil..tapi..dalam situasi macam nie, tak kawin dengan dia pun tak apa!
"Gaduh lagi la tu.."Fina rupanya menjadi pendengar setia sejak dari tadi rupanya. Eleh..yang kau sayang sangat kat dia tu kenapa..kau nak kawin dengan dia? Ha..pergi kawin!
"Along tu memang.." si Rina pula menyampuk, entah bila dia datang ke sini aku pun tak perasan.
"Abang Aznil tu bagus tau along, tak rasa apa-apa ke kat dia?" satu soalan bodoh keluar dari mulut Fina.
"Kalau Rina la..tak lepas punya..tak kuasa nak gaduh-gaduh nie..orang bodoh je buat macam tu..rugi!" Rina tersengih macam kerang busuk.
"ah..sudahlah! Apa bagus sangat si mamat tu? Cuba bagi tahu sikit pada beta yang cun dari korang nih.." sengaja aku nak meloyakan tekak Fina dan Rina.
"Iyelah..abang Aznil tu dah la handsome..rajin..ada degree lagi..baik..pandai cari harta..pulak tu selalu belanja kami makan best-best..kalau pegi ladang tak bawak balik buah mempelam ke..jambu madu ke..limau manis ke..nangka madu ke..tak sah..dah tu terror maths pulak..bukan macam along tu..tidur..baca novel..tido baca novel..tu la kerjanya.."
"Ohh..kalau si Aznil tu sayang mengalahkan sayang kat aku.." Rina dan Fina cuma tersengih.
"Sayangilah Abang Aznil sepenuh hati along..banyak benefits yang dapat kami tumpang sekaki nanti," Macam ahli politik si Fina menasihati aku.
"Benefit apa yang kau orang nak tumpang sekaki?"
"Tu..virago sebiji…V6 tu..Kembara yang dia selalu bawa masa kita tengok Teratak Azyan..sempena nama Along dan dia tu..ala yang kat tepi tasik tu.." Aku cuma menggeleng kepala. Dasar materialistik!
"Lagipun kami nak…" Fina dan Rina saling tersenyum.
"Nak apa?" soalku.
"Nak anak buah cepat!!" What!! Rina dan Fina tertawa besar. Celaka punya adik!
"Sudahlah kau orang!"


*********


JAM sudah menunjukkan pukul 1.20 tengah hari. Bermakna sudah hampir dua jam aku tercongok depan bank ini. Pak Guard yang bermisai lentik itu sejak dari tadi asyik memerhatikan aku. Mungkin suspek aku nak merompak bangk ni agaknya! Manalah mangkuk ayun ni…Peluh dah mengalir membasahi belakang. Setan punya tunang! Janji pukul 11.00 tunggu kat sini. Ni, dah berapa abad aku tunggu? Kalau tak memikirkan emak dia suruh tolong belikan barang dengan dia dah lama aku blah! Buat sakit jiwa je tunggu kat sini. Nak kena ni..
"Err..Dian ke ni?" Aku berpaling. Alamak…ni si minah mana pulak nie..
"Oi..tak kenal aku ke?"soal gadis itu sambil tersenyum.
"Aina ke? " tanpa sedar kami telah berpelukan. Tak sangka betul teman yang dulu terkenal dengan tomboynya dah bertukar watak yang tidak diduga.
"Lepas SPM terus senyap ye..dah lupakan kita ke?"
"ala..aku ikut parents pindah Sabah..sorry la..err..kau tak cam aku ye?" Aina tersenyum sambil membetulkan hujung tudung biruku yang terkelepek di tiup angin.
"Aku masih di UTM sekarang..aku balik sini rumah mak mertua.." jelasnya lagi.
"Dah lama ke kau kawin..tak cakap pun.."
"tak tahu how to contact..kau macammana?"
"Aku? Aku duduk rumahlah..lepas habis diploma kat UiTM aku tolong abah aku tu kat gerai..tapi aku try gak apply untuk degree.."
"So, dulu kau di ITM la..UiTM mana?"
"Jengka.."
"Aznil macammana? Dengar dia dah bertunang ye?" Alamak! Aku cuma tersengih. Kalau si Aina ni tahu mampus la aku kena kutuk. Dulu kalau si Aznil tu la buaya..setan..kutu berahak..kutu babi..semua yang jahat-jahatlah!
"Mana kau tahu?"
"ala..tadi aku jumpa dia dengan Tiara minum kat Restoran Bonda kat sana tu..tak sangka ye. Sampai sekarang still bersama..baguslah cinta ke jinjang pelamin.." What? Aku cuma mampu tersenyum menahan gelora.
"Kau sure ke tu Tiara?" Soalku, manalah tahu si Aina ni salah orang.
"Tiara tak berubah..macam dulu jugak..aku tanya si Aznil, dia sendiri mengaku dah bertunang..err..okey la Dian, aku dah lambat nie..jumpa lagi.."
"Datang rumah Aina..ni no. telefon aku," aku menulis sepantas yang boleh dan menghulurkan kepadanya. Aina senyum dan kami bersalaman. Aku terpaku sejenak. Dia jumpa Tiara? Tiara ex-girlfriend dia yang kurang ajar tu? Sejak bila hubungan mereka terjalin semula?
PHINN!! Perdana V6 itu berhenti di depan bangunan Bank Pertanian.
"Sorry lambat," Aznil tersenyum seperti biasa sebaik saja terpacak di depanku. Cepat dia membukakan pintu kereta. Aku mengangkat kening.
"apasal lambat? Jammed ke?" soalku.
"Hemm..jam teruk..!!"
"Traffic jammed dengan siapa? Dengan nenek awak?"
"ah..dengan nenek kebayan.." jawabnya disusuli tawa kecil. Hii..terbakarnya hati..Ingat aku tengah buat lawak antarabangsa agaknya..
"Puas hati? Dua jam saya tercongok macam orang bodoh kat sini, tapi awak sedap jer minum dengan girlfriend awak .." Aznil merenungku lama. Baru perasan aku tengah marah?
"sorry la.." Pintanya cukup membuatkan aku sakit hati.
"Awak jumpa Tiara kan?" Aznil membisu. Cukup membakar perasaanku kala itu.
"Saya tak suka awak perbodohkan saya macam awak perbodohkan girlfiends awak tahu?!" Tak tunggu lama aku meninggalkan tempat itu. Aku tak kisah kalau si Aznil bertemu Tiara, tapi aku cukup kecewa kerana tertipu dan dipermain-mainkan!


*********


ANGIN petang bertiup lembut membelai rambut. Petang-petang begini memang syok layan blues kat atas pelantar sambil tengok ayam-ayam makan. Mujur keliling rumah banyak pokok, kalau tak..aku bangun menghampiri pokok jambu merah yang sedang lebat berbuah. Emm..kalau makan cicah ngan gula nie …tak tunggu lama aku segera memanjat pokok jambu itu. Tiba di dahan yang paling atas aku berjuntai sambil memetik setangkai jambu yang masak ranum. Nyamm…bestnya! Sebenarnya dah lama tidak mempraktikkan kerja-kerja memanjat ni. Sejak berada di ITM Jengka aku jarang balik, keadaan yang tidak mengizinkan. Dua tahun setengah aku di sana, membawa haluan hidup selepas tamat sekolah. Waktu itu Aznil telahpun berada di oversea menyambung pelajarannya. Sejak itu jugalah hidupku aman daripada gangguan Aznil. Aku bersyukur sangat bila dapat tahu dia melanjutkan pelajaran ke UK selepas setahun persediaan di UiTM. Waktu itu aku masih form 4. Tak perlulah bertemu muka..bertekak..Kalau boleh digambarkan perasaan gembira ini nak je aku lukis atas kertas yang paling besar kat dunia ni.
Masih terasa lagi sakit hati pasal hal tengah hari tadi. Aku cukup benci pada orang yang tidak berterus terang. Pasal dia jumpa Tiara tu lantaklah, peduli apa aku! Tapi, kenapa dia tak cakap awal-awal. Tak pun cerita aje la kat aku, bukan mati pun! Selama ni pun aku tak kisah, faham sangat perangai dia tu..lagipun kan ke Tiara tu girlfriend dia? Nak sangat balik kat Tiara tu no hal! Go ahead! Jumpa abah cakap nak putuskan pertunangan ini, tak mati aku kalau tak dapat dia..bersepah lagi orang nak kat aku..Yang aku geram tu kenapa tak kasi tahu????? Eiii…geramnya…aku pijak-pijak kepala kau! Bisikku sambil memijak-mijak dahan jambu itu. Prakkkk!!! Alamak?? Seraya itu aku rasa macam terawang-awang di udara.
"Mak!!!!" Mampuslah jatuh atas tunggul kayu! Aku memejam mata rapat, menantikan saat tubuh terhempas macam nangka busuk di atas tanah. Tapi, terasa ada something menampung tubuh dan,
"Awak?" Aznil menurunkan aku perlahan-lahan. Aku control perasaan malu. Tadi baru sumpah nak pijak kepala dia, alih-alih dia yang sambut aku! Control ayu..control ayu…
"Nak bunuh diri lain kali cari pokok yang tinggi sikit, ni tak cukup tinggi ni," perli selamba. Eh, ingat aku ni dah hilang pedoman nak bunuh diri?
"Nak sangat ke saya mati cepat? Suka la hati awak sebab tak ada orang yang mengganggu hidup awak kan?" Ambik kau nak sangat!
"Lagi la susah," Jawabnya sambil memetik sebiji jambu dari dahan yang paling hampir dengannya.
"Kenapa pulak?"
"Nanti saya nak kawin dengan siapa?" pura-pura tanya aku ? Peeeegii dahh!
"Kan Tiara ada.." sindirku sambil melabuhkan punggung di atas pangkin.
"Marah lagi ke?" Hai buat-buat tanyak pulak. Aku pandang ke arah lain.
"Rasa-rasanya?" Aznil tersenyum lantas duduk rapat disisiku.
"Tak kan le pasal tu pun nak marah..awak kan steady.." taik kucing!
"Saya tunggu awak lama tadi tau! Ingat kita ni apa tercongok depan bank tu..lain kali kalau berjanji tepatilah sikit..menyampah..bukan awak tak tau perangai saya yang memang pantang menunggu orang ni.."
"Ohhh..ni marah sebab lambat la..bukan pasal Tiara.."
"Eh..awak nak keluar dengan seribu perempuan pun saya tak heran la.."
"Ye ke? Habis kes kat gerai ari tu ..yang awak merajuk sehari suntuk tu..bukan pasal jealous ke?"
"Ehh..tolong sikit..tak kuasa tau jealous kat perangai buaya cam awak ni.." jawabku selamba.
"Habis tu..selama ni awak anggap saya ni macammana? Jangan nak bohong la..saya tahu.."
"Habis awak tu macammana pulak?" soalku kembali. Aznil tersengih.
"tolong boleh tak Dian?" pintanya.
"Tolong apa?" soalku.
"Senyum! Biar cun sikit," Eh..macam ni punya kelles tak cukup lagi? Bodoh..tak pandai menilai..! Aku pandang ke arah lain. Tengok ayam lagi bagus daripada tengok muka dia..
"Dinda…di manakah kau berada..rindu aku ingin jumpa….meski lewat nada.."
"Jangan nak mengada-ngada…tak suka dengar awak nyanyi lagu tu tau! Saya bukan dinda awak!" Aznil tergelak kecil.
"Hai..susah betul nak dapat senyum awak.." keluhnya.
Dah tahu susah buat apa pilih saya?"
"tu yang adventurenya.." Ada saja jawapan yang menyakitkan hati. Aku sapu ngan taik ayam muka tu baru padan muka.
"Dian.." Aku tak alih muka sikit pun. Sakit hati bila mengenangkan perangainya yang gila-gila ni. Iye la kan..kalau benar dia sungguh nak kat aku..cuba ubah kelakuan tu sikit..awak tu tunang orang…kalau aku buat kelaku serupa macammana? Sakit tak hati bila tengok aku membonceng motor lelaki lain? Keluar minum dengan orang lain?
"Yan.." serunya lagi bila aku membisu seribu bahasa. Tahu pun aku marah! Pling!! Sekuntum putik mawar merah muda terpacak di depan mata. Apologize le tu..
"Dian..i am sorry.." Ujarnya mengharap. Aku pandang wajah Aznil lama. Keikhlasan yang terpancar dari matanyalah membuatkan hatiku cair setiap kali kami berselisih faham. Paling best mesti ada setangkai mawar warna merah muda. Entah dari mana dia tahu bunga dan warna favourite aku..Dan ketika inilah nak tengok dia serius!
"Sebenarnya saya tak faham dengan awak ni, awak ni serius tak dengan saya ni?" soalku sambil membalas renungannya. Huluran mawar itu kusambut.
"Hui..soalan mencabar minda ni. Paper final exam pun tak sesusah ni," Aznil still nak berlawak.
"Macam ni la..oleh kerana awak dah lama jatuh hati kat saya, saya pun jatuh hati la kat awak.." Apa?
"Oi pak cik, sedar ke tidak ni? Bila pulak saya jatuh hati kat awak? Ayam tu pun nak muntah dengar awak cakap macam tu, tau?"
"Okey, kalau ayam tu tak muntah maknanya betul awak nak kat saya," Aku rasa nak je pulas telinganya kuat-kuat. Mana ada dalam sejarah ayam muntah!
"Tengok ayam tu tak muntah, berak je. Maknanya awak nak kat saya,"
"Eh, sorry..saya tak pernah cakap tau saya nak kat awak..saya bertunang ni pun sebab family tau.."
"Takkan sikit pun tak ada perasaan kat saya..tipulah!"
"Habis..buang masa saya je suka kat awak, awak kan ramai girlfriends..so buat apa saya nak bazirkan perasaan saya untuk awak?" Padan muka!
"Tu semua suka-suka je..mengisi masa lapang.."
"Habis, saya ni pun sekadar mengisi masa lapang?" soalku.
"Siapa cakap macam tu..awak lain.."
"Lain sebab saya ni selalu menyusahkan awak?"
"Ha..ya betulll!!"
"Aznil..???" Aznil tertawa kelucuan. Gerammnya…!!!
"Dah, malaslah nak layan awak! Aku bingkas bangun dan meninggalkannya di situ..



*********


"ALONG! A….L…O..N…G…ALONG!!" suara kanak-kanak kedengaran dari bawah. Macam suara anak buah Aznil aje tu..Apa la budak-budak ni nak? Aku bangun dari pembaringan. Seketika, potret Aznil di sisi Virago kesayangannya kukerling. Serentak itu aku menjelir lidah, padan muka! Menyampah!
"A…L…O…N…G…ALONG!"
"Apa ni panggil along kuat kuat ni..ingat ni rancangan kucen besar tu ke?" soalku sambil menjengahkan kepala keluar tingkap. Kelihatan Ipan, Tur, Epoi, Jenor, Putet, Acik anak saudara Aznil sedang menanti di bawah.
"Along, Ucu suruh Along gi jumpa dia kat sungai," Apai anak kakak Aznil yang kedua merenungku lama.
"Bila balik Apai?" soalku.
"Semalam…mama suruh Along datang rumah, nenek pun suruh.." Aku tersengeh. Untungnya dapat bakal ipar dan mertua yang baik..memang adik beradik dia baik-baik..dia je yang tak baik!
"Along, ucu suruh along jumpa dia..penting!" Tur mengingatkan tujuan utama mereka ke sini.
"Cakap kat dia, along malas nak pergi, banyak kerja nak buat," jawabku. Malas nak layan kerenah Aznil.
"Tak boleh! Ucu cakap ini antara hidup dan mati.." Hidup dan mati?
"Kalau tak pergi tak boleh ke?" soalku. Budak-budak tu cuma menggeleng kepala. Ishh..ni buat aku tak sedap hati ni, tak pernah-pernah dia suruh aku jumpa dia, selalunya dia yang datang jumpa aku, lebih-lebih lagi kalau ada yang buat aku marah, pukul dua pagi pun dia sanggup datang selagi aku tak maafkan. Tak pun, dia nak buat surprise kot..macam hari tu..sanggup tempah mawar berdozen-dozen dari Cameron Highlands..lepas tu siap kasi rantai emas lagi gara-gara dia buat aku marah. Satu minggu aku mogok tak tegur dia..baru dia tahu kerasnya hati Diana Adurah ni..Adik-adik aku siap respect habis kat Aznil. Susah nak dapat lelaki yang sanggup buat macam tu katanya. Lagipun, setelah difikirkan semasak-masaknya..buat apa nak cari pasal dengan dia kan? Kalau dia main-mainkan aku tak kan sampai ke tahap ni. Melibatkan keluarga pula tu. Aku rasa aku pun dah mula suka kat dia..sebab sejak bertunang ni..walaupun marah..sehari tak tengok muka dia rasa macam tak mandi satu hari..rimas semacam..
"alamak..eh..mana bunga tadi?" soal Acik tiba-tiba. Masing-masing berpandangan sesama sendiri.
"Hah..ni dia.." Acik menghulurkan sekuntum putik mawar yang dah terperenyuk teruk. Mawar lagi?
"Dah lama ke Ucu tunggu along?" soalku sambil mencium bunga itu.
"Dah lama," Jawab Jenor sambil menyedut hingusnya yang hampir meleleh.
"Okey,jom kita pergi," Ajakku sambil menuruni tingkap itu.
"Oii..elok sangatlah tu..turunlah ikut pintu!" Teriak Ina dari ampaian bila tengok aku macam pencuri masuk rumah. Tak apa, nak jumpa tunang tersayang punya pasal!
"Biarlah Ina..orang baru belajar nak bercinta.." fina menyampuk lalu tertawa.

DERU air sungai dah kedengaran dari jauh. Kami melalui denai kecil untuk cepat sampai ke sungai . Apa yang dia buat kat sungai ni? Cari ikan kut..itulah kerjanya kalau tak sibuk di ladang atau di kolam udangnya. Sanggup simpan ijazah kerana nak jadi petani moden.
“along gi la kat bawah pokok buluh tu, kat batu batu tu..”
“Habis kau orang nak kemana?” soalku, risau jugak kalau berdua kat sini.
“Ucu ada ngan Ijan, ngan abang Rahim..” Oh..iye ke? Aku senyum dan menuju ke arah yang disebutkan. Apa la yang Aznil nak cakap ni? Setakat Ijan dengan Rahim tu aku tak kisah sangat.
“Hihihi…” Eh! Langkahku mati. Suara macam suara perempuan! Aku rasa tak sedap hati, takkan bawak perempuan kot! Ah..mesti Ijan tu nyamar kut, dia tu kan suak buat lawak! Aku menyedapkan hati dan menghampiri tempat itu. Tapi, ni apa hal ada sandal perempuan ni?
“Ala tak nak, takut..cepat la tolong..” suara perempuan jelas kedengaran. Aku segera turun ke gigi air dan di antara batu batuan itu aku lihat Aznil sedang memaut mesra pinggang sorang gadis dan gadis itu dengan penuh mengada-ngada memeluk leher Aznil di tengah-tengah arus yang deras. Dan, bila arus kuat datang dengan pantas Aznil merapatkan perempuan itu ke badannya. Aku tergamam tak dapat berkata-kata. Putik mawar pemberiannya tadi terjatuh dari pegangan. Amboi, dengan aku sentuh pun tak berani, dengan perempuan tu? Inikah balasan di atas keikhlasan aku selama ini? Dan, setelah menyedari aku berdiri tidak jauh dari situ Aznil cepat-cepat mendapatkan aku.
“Ini ke hal hidup dan mati awak?” soalku. Air mata dah bergenang di birai mata. Sakit hati aku melihat Aznil masih mampu tersenyum. Tapi senyumannya mati bila melihat ada air jernih terjun dari kelopak mataku.
“Yan, awak dah salah sangka ni,”
“Saya tahu ini yang awak inginkan sangat betul tak? Kalau benar awak tak sukakan saya tak perlu nak tunjuk depan saya macam ni, saya pun tak pernah mengharapkan yang awak akan jadi milik saya,”
“Dian, cuba dengar dulu penjelasan saya,” pintanya.
“dah terang dan jelas kan? Nah! Ambil balik hak awak!” Cincin di jari manis kulucutkan dan kucampak ke tubuhnya.
“Dian!!” Tanpa menoleh lagi aku berlari pulang. Aku benci Aznil!!!



********


ABAH membetulkan kopiah putihnya di kepala. Mak yang asyik menjahit sesekali mengerling ke arahku. Suasana malam itu agak suram. Biasanya kami akan berkumpul bersama menonton tv. Adik-adikku awal-awal lagi dikerah masuk ke dalam bilik. Aku cuma buat muka selamba bila mata abah singgah di wajahku.
“Apa yang dah jadi ni, yan?” soal abah penuh lembut. Aku angkat muka.
“Apa yang dah terjadilah abah!” jawabku ringkas.
“Tahu tak apa yang kau dah buat ni?” soal mak pulak. Aku cuma buat muka sardin.
“Petang tadi kelam kabut Ngah Usop dengan Som datang ke sini tanyakan hal siang tadi,” abah menggeleng kepala, bingung.
“Dia yang cari pasal dulu, sakit kan hati orang..tak serius..”
“Kalau si Aznil tu tak serius takkan sampai kau berdua bertunang ni Diana ooii..” mak bersuara.
“apa yang kurangnya Aznil tu? Pelajaran ada..rupa ada..rajin bekerja..kau tengok tu..umur belum lagi masuk 30 dah ada macam-macam..agama pun alhamdulillah..bahagia hidup kau dunia akhirat..ingat senang ke nak dapat budak baik macam Aznil tu?” Amboi, beriya-iya benar abah puji bakal menantu nampak!
“Yan tak nak kawin dengan dia,”
“Kenapa dulu tak cakap awal-awal? Kan mak tanya dulu masa dia orang merisik kau..kenapa masa tu tak cakap terus terang tak sukakan dia?”
“Dulu ingat tak jadi macam ni..”
“Dah tu?”
“tolonglah mak, abah..Yan betul-betul dah tawar hati kat dia..” pintaku.
“Jangan nak malukan abah, Dian, Abah tak mahu timbul masalah macam ni..ni abah tak suka ni..” warning abah.
“Kan abah kau ni pantang undur belakang..bak kata Slam tu..Tak Mungkin Berpaling..” Hai, boleh tahan jugak mak aku ni..aku sengih.
“Like father like doughter, Yan pun tak mungkin berpaling jugak mak,”
“Eh budak ni!” Mak membeliakkan matanya. Biarlah, yang nak kawin aku, bukan dia orang. Sukalah aku punya decision!
“Sudahlah tu mak nya..cakap banyak pun tak guna,” Mak dah pandang muka abah cemas. Aku pulak tersenyum macam dapat duit satu juta. Tentu abah tak mahu memanjangkan cerita. Cinta tak boleh dipaksa..kawin pun tak boleh dipaksa..dah aku tak mahu, so kenalah terima. Macam ni la abah yang understanding!
“Nanti dulu bang, saya belum habis lagi ni..apa kesalahan Aznil sampai kau tak nak kat dia?”
“Yan tak suka dia, tu je ..Yan rasa tak boleh hidup dengan dia..”jawabku ringkas.
“Kalau iye pun tak suka ikut la adat..kita ni orang melayu, orang kita kaya dengan adat..” mak menggeleng kepala.
“Ikut adatlah ni..Yan bagitahu kat mak..abah..nanti mak dengan abah cakaplah kat keluarga dia!”
“Amboi..pandai sangat mengajar orang tua..” tegur abah setelah sekian lama membisu.
“Anak abah kan..mestilah pandai..” Saja aku menyakat abah.
“Hai maknya..lemah akal saya cakap dengan anak awak ni..”
“Kau ni memalukan mak dengan abah aje tau Yan? Kejap nak kejap tak nak..lepas tu main ikut sedap hati je bertindak..”
“Betullah apa yang Yan buat ni mak..”
“Betul? Yang kau pergi baling cincin tunang kau tu siapa suruh? Macam tu ke pulangkan pemberian orang?” soal mak geram.
“Mana ada..” jawabku slow sambil mengurut-urut jari manisku yang telah kosong. Mak menjeling tajam.
“Habis, yang kau campak kat sungai tadi tu apa?”
“Tu..itu bukan cincin tunang..tu cincin yang mak kasi hari tu..Yan silap buang..”
“Apa? Silap? Betul bukan cincin tunang?” soal mak bertalu-talu. Aku angguk sikit.
“Jadi, cincin tunang tu ada lagilah?” Aku mengangguk terpaksa membuatkan mak dan abah tersenyum lega.
“Tapi mak abah..Yan tetap dengan keputusan Yan..” kata kata ku itu membuatkan mak dan abah terdiam. Abah mengurut kepala bingung. Aku cuma buat dek sambil menoleh ke arah bilik. Ehh..ada pengintip kat balik langsir! Ohh..mendengar dari tadi rupanya..kalau ada lastik dah lama aku lastik tiga-tiga ekor tu.
“Kenapalah dengan kau ni Yan..”keluh mak. Aku senyum. Nampaknya kemenangan berada di pihak aku!
“Dah la tu maknya..marilah kita pergi,” Abah akhirnya bersuara. Mak pandang abah lama.
“Apa pandang-pandang saya pulak? Cepatlah siap!” gesa abah. Mak renung abah antara percaya dan tidak.
“Awak biar betul abahnya..”
“Betullah..apa yang tak betulnya? Kita pergi rumah Usop sekarang jugak,” Yahoo!! Kalau tak fikir mak dan abah ada kat situ dah lama aku melompat tinggi. Bye bye buaya darat…!!
“Abahnya..benda ni masih boleh diselesaikan antara kita anak beranak..takkan cepat benar awak terpengaruh dengan budak ni..fikir habis-habis bang..”
“Daripada benda ni berlarutan dan bertambah memeningkan kepala saya..lebih baik kita..” Abah mencapai kunci vannya yang tersangkut di dinding.
“Kita apa?” soal mak sambil membetulkan tudung kepala. Apa la mak ni, tak faham-faham lagi ke?
“Kita cepatkan tarikh langsung budak berdua ni!” Apa? Saat itu aku rasa nyawaku melayang. Abahh??




**********


SEGALA yang ditentukan oleh Ilahi tak mampu kita mengubahnya. Segalanya sudah tertulis dalam takdir. Macam tu la juga yang tertulis dalam takdir aku. Keputusan abah muktamad, tak ada warna lain melainkan hitam dan putih sahaja. Aku akan dijodohkan dengan Aznil bukan pada akhir tahun depan seperti yang ditetapkan dahulu, tapi hujung bulan ni! Ini bermakna cuma ada dua minggu lagi aku akan bergelar anak dara. Matilah aku macam ni, agaknya kalau jadi cicak dah lama bunuh diri. Barulah aku mengerti kenapa gadis selalu lari dari rumah bila dipaksa berkahwin dengan orang yang tidak dicintai. Agaknya macam kes aku sekarang ni la kot? Persiapan kenduri dahpun dibuat, mak dah sibuk menempah itu in untuk kenduri. Lembu kabarnya dua ekor nak ditumbangkan. Aneh..kawin paksa ni dipermudahkan pulak jalannya. Dan dan tu jugaklah lembu senang dapat..ramai pulak sukarela menolong mendirikan kemah..menyiapkan bangsal memasak..tolong itu tolong ini..pelamin..hantaran..baju nak kawin pun siap ada orang nak sponsor lagi..Orang kampung dan sanak saudara dah dijemput untuk meraikan hari yang bakal menghitamkan hidup aku. Uwaa…sampai hati Abah!!
“Eiiii…bestnya dapat abang ipar..bagus abah kawinkan along cepat-cepat, kalau tak mesti melepas punya..tak ada sapa lagi boleh rampas abang Takagi kita..” aku rasa nak siat-siat aje mulut si Fina ni. Menatang apa yang best sangat ada pada malaun tu?
“Eh, kau suka dia kan? Kau pergi cakap kat aah kau yang nak kawin dengan dia,”
“Apa la along ni! Orang nak kawin happy, dia susah hati pulak!” sampuk Ina sambil membetulkan kelopak bunga telur yang disusun ke dalam pahar.
“Abang tu baik apa..dia sayang kat along..kalau tak tak kan dia nak kawin dengan along yang degil macam apa ni..” ujar Rina sambil membetulkan labuci yang dijahit pada baju untuk akad nikah nanti. Bab andam mengandam ni dia memang teror.
“Baik? Macam tu pun baik ke? Macam mambang tanah je..”
“Amboi..sedapnya mengata orang mambang..” mak tiba-tiba muncul di balik langsir. Aku pandang Ina, Fina dan Rina yang dah tersengih-sengih memerli. Sejak kes hari tu mak dan abah serta adik beradik aku bukan main backing lagi menantu pilihan mereka. Sorang pun tak mahu menyebelahi aku. Ikutkan hati mahu saja aku ambil tindakan lari dari rumah, tapi aku malaslah nak memecahkan tradisi keluarga yang terkenal dengan adab mulia ini. Nanti mana dia orang nak letak muka. Dan tak mahu jugalah aku tersenarai dalam list anak derhaka nanti..
“Tu, Aznil dah tunggu kat luar tu..pergi cepat,” gesa mak..Oooo…dah 5 hari buat salah baru hari ni datang jumpa aku??
“Pegi la along..” Rina memujuk bila aku sikit pun tak bergerak. Ah..tak kuasa aku!
“Tah! Nanti abah bising baru tahu,” Abah? Alamak..ni yang buat aku berbelah bagi ni. Abah tu bukan aku tak tahu. Bila dia dah bukak ceramah..faham-faham aje la..silap haribulan..ada pulak yang kena kawin hari ni. Mahu tak mahu aku terpaksa keluar jugak bila mata mak dah naik juling menjeling. Kelihatan Aznil sedang menanti di hujung tanggasambil meemrhatikan anak ayam yang baru menetas memagut beras yang mak tabur. Amboi, bergaya sakan nampak..bawak Virago lagi..Sekali pandang memang macam hero siri Tokyo Cinderella Story. Sebab itulah adik-adik aku menggelarnya ‘Takagi’.
“Dinda..dimanakah kau berada ..rindu aku ingin jumpa..” usiknya macam biasa, seolah-olah langsung tak perasan yang muka aku dah macam jeruk mangga masamnya.
“Ngapa datang sini?” soalku kasar tanpa memandang wajahnya.
“Rindulah kat awak..” cis! Rasa nak ludah je atas hidung dia, rindu konon!
“Dah jangan cakap banyak, saya ada kerja lain nak buat ni..apa yang rasa nak cakap sekarang, cakap!” tegasku.
“Marah sangat ke kat saya sampai tak sudi nak pandang muka saya?”
“Hai, boleh tanya lagi? Awak ingat saya tengah suka hati la sekarang ni?” luahku geram. Aznil menggeleng kepala melihat aku marah membabi buta.
“Saya ada buat salah ke?” kalaulah dalam majalah Ujang sekarang ni dah lama karektor aku mengeluarkan api atas kepala. Or course la bodoh!
“kalau saya salah saya minta maaf, lain kali saya tak buat lagi, okey?”
“Macam tu je? Ingat senang ke saya nak terima maaf awak tu? Awak ingat saya ni apa? Patung? Tunggul kayu? Tayar motor awak?” memang aku marah benar kali ini. Dia ingat selama ini perasaan aku boleh dilebihkurangkan sesuka hati dia? Mentang-mentanglah dia lelaki dia boleh lakukan apa saja untuk buktikan kuasa dia?
“Okey la..okey la..kalau awak marah saya pasal Tiara hari tu, saya mengaku memang saya terjumpa dia masa nak ambil awak kat bank hari tu. Tapi antara saya dengan dia tak ada apa-apa. Tiara dah kawin masa saya kat UK dulu, hari tu jumpa dia pun dengan husband dia, husband dia pergi parking kereta kami minum la dulu,” Aznil dah berdiri di depanku.
“Tapi apasal awak tipu saya?”
“Saya memang nak cerita, tapi saya tak mahu awak tersalah sangka..sebab Tiara antara yang serius dengan saya dulu,”
“Dan pasal kat sungai hari tu,” aku rasa darahku dah menyirap ke muka.
“saya tak nak dengar apa-apa pasal tu,” aku memusingkan badan mahu masuk ke dalam, dan sepantas itu juga Aznil memegang lenganku.
“Yan, jangan la buat macam ni..kita dah nak kawin ni,”
“Siapa nak kawin dengan awak?” bentakku geram. Sakit hati tak terkira rasanya bila dia berani sentuh aku.
“Kalau saya bersalah saya minta maaf okey?” pintanya lagi.
“Sampai mati pun saya tak akan maafkan, tu pun kalau betul awak mati baru saya pertimbangkan,”
“Awak nak saya mati ke?”
“Kalau iye kenapa?”
“Betul awak suka saya mati?”
“Ha..get lost!” Tanpa tunggu lama aku terus naik meninggalkan Aznil yang termangu-mangu macam orang bodoh. Tak lam lepas tu aku dengar Viragonya memecut laju, lain daripada biasa. Marah sama kut, ah..biarkan!
“Siapa ajar kau cakap macam tu dengan bakal suami?” Ops! Mak dah berdiri di depanku. Sah dia dah dengar semuanya…
“Mak tak pernah didik kau jadi kurang ajar..mak nak kau telefon dia sekarang jugak mintak maaf. Kalau taak jangan panggil mak ni mak kau lagi..” aku terlopong memandang mak yang dah pun melangkah ke dapur. Kerana si aznil tu mak sanggup tak tegur aku?
“Apa la along ni,” Ina keluar dari bilik dengan muka masam tanda marah kat aku.
“kau orang tahu apa?”
“Along tu yang teruk! Along sebenarnya ego, besar kepala. Kata abang Aznil tak baik, jahat, habis along tu baik sangatlah? Kalau along macam ni la..memang tak kawin sampai ke tua, tau? Ina pun hilang sabar dengan perangai along ni..” beraninya Ina! Tak tunggu lama aku melangkah deras meninggalkan halaman rumah. Jalan-jalan lagi baik. Tak pening kepala. Tak ada orang nak membebel..nak cakap macam nak runtuh langit. Kaki kuatur ke arah sungai. Duduk melepak di atas pokok ara yang condong ke perut sungai sambil makan tebu lagi baik daripada berada di rumah. Sejak peristiwa itu aku benar-benar tersinggung dengan Aznil. Pelik, sebelum ini aku tidak pernah bersikap begini. Bukan tak pernah dia berbual mesra dengan perempuan lain, mengorat pun dia selalu buat depan mata. Tetapi, kenapa kali ini aku tiba-tiba berubah menjadi pendendam? Dan, aku sendiri tak menyangka aku menangis kerana kecewa yang teramat sangat..
Ah..kadang-kadang timbul rasa kesal di hati. Antara kami berdua, cinta sangat misteri. Malah belum pernah dia melafazkan kata-kata cinta kepadaku. Aku lagilah tak pernah! Takkan perigi yang nak cari timba! Kalau tanpa cinta, bagaimana perkahwinan ini nanti? Adakah perkahwinan ini semata-mata kerana hajat keluarga yang inginkan kesinambungan dalam keakraban mereka? Ah..bingung..bingung..kahwin? bersediakah aku untuk hidup bersama Aznil ? Ini soal hidup, soal masa depan. Bagaimana kalau aku ditakdirkan tidak bahagia nanti? Salah emak dan abahkah? Aku mengeluh lemah. Di ruang mata terbayang wajah Aznil. Dan dari matanya yang redup itu aku tahu dia memang baik, tapi baik tak semestinya jujur!
“Along!” terdengar suara Ina memanggilku dari jauh. Apa hal pulak ni? Ina berlari laju dan serta merta memelukku sambil menangis tersedu-sedu. Pokok ara bergoyang hebat lantaran tindakan Ina itu.
“Eh..kenapa ni? Jatuh pulak dalam sungai ni nanti..” soalku lantas memapahnya ke tebing sungai.
“Kenapa ni?” soalku bila tengok Ina menangis macam kena sawan babi.
“A..a..abang Aznil!”
“Ha, kenapa dengan dia? Dah mampus ke? Dah mati?” Saja aku buat macam tu. Susah sangat nak cakap..aku pun bosan jugak tunggu lama-lama. Dah tu, air mata dia campur air hingus dah habis meleleh atas bahu aku..eeii..
“Ha!” Ina meratap lagi.
“Ha? Apa yang ha?” soalku.
“Abang Aznil dah tak ada!” Ha?
“Tak ada kemana?”
“Abang dah..dah..huuuu…” Ina menyembam muka ke bahuku.
“Iye ke..baguslah!” spontan saja perkataan itu keluar dari mulutku. Aku pun tak sedar tapi betul ke cerita Ina ni?
“Along! Kenapa along cakap macam tu..Abang Aznil dah tak ada lagi tau tak..? Along tahu tak??” Ina tengking aku macam dia tengking anak ayam yang selalu berak atas tangga rumah.
“Biarlah..”
“Abang Aznil pergi sebab nak beli bunga mawar yang selalu dia bagi kat along tau tak? Dia accident masa balik dari bandar tadi. “ Aku pandang wajah Ina macam tak percaya.
“Iye ke? Baguslah!” Balasku. Tapi..aku terasa mataku pedih..betulkah Aznil dah tiada? Sudah pergi dari alam maya ini? Putik mawar merah untukku puncanya? Langkah yang kuatur kian ringan. Suara Ina cuma sayup-sayup kedengaran. Dan akhirnya aku cuma melihat kegelapan.


********


AKU buka mata perlahan-lahan. Eh, aku kat mana ni? Ni gambar aku masa bertunang, siapa yang gantungkan kat bilik ni? Besar gedabak pulak tu? Aku terasa kepalaku masih pening. Lebih-lebih lagi bila berada dalam bilik yang memang asing ini.
“Eh..dah sedar pun..” Ina muncul tiba-tiba. Segera dia duduk di sisiku.
“Kita kat mana ni Ina?” soalku sambil memandang sekeliling.
“Kat bilik abang Aznil,” Ha? Aku terpandang sesuatu. Gambar lelaki yang sedang tersenyum di tepi kolam udang harimaunya amat kukenali.
“Tapi..macammana along boleh ada kat sini?”
“Along pengsan kat tepi sungai tadi,” Aku pengsan? Pengsan sebab..Terasa air mata bergenang-benang tunggu masa nak menitik. Wajah Ina kutatap.
“Along teringatkan abang ke?” soalnya perlahan. Aku diam. Bilik Aznil kuperhati lama. Kemas dan bersih. Sayang tuannya dah tak ada. Cuma bau perfume CK kegemarannya saja menerawang. Aku tiba-tiba terpandang sesuatu pada gambar pertunanganku.
“EVERYDAY I LOVE YOU, SWEET DIAN..” My God! Terasa mukaku kering tak berdarah. Dia cintakan aku? Kenapa tak cakap awal-awal? Dan air jernih itu turun laju tak henti-henti. Aku pun begitu Aznil..
“Along..along kenapa menangis ni?” Aku pandang Ina lama. Kali ini aku pulak yang menangis dibahunya. Biar Ina tahu betapa aku benar-benar kehilangan Aznil.
“La..ngapa ni?” ibu Aznil tiba-tiba masuk dan meluru mendapatkan aku.
“Mak ngah..Dian nak Aznil mak ngah!” tanpa segan silu lagi aku berkata begitu depan ibunya. Peduli apa aku, tunang aku. Lagipun dua minggu kami akan menjadi suami isteri, siapa tak sedih? Ibu Aznil segera memelukku membuatkan aku bertambah hiba.
“Yan..astarfirullah..bawa mengucap Yan..kenapa ni?” Mak muncul tiba-tiba dan duduk di sisiku.
“Yan menyesal selalu sakitkan hati dia, Yan tahu Yan yang salah..Yan tak sanggup hidup tanpa dia,” Mak dan ibu Aznil tersenyum sesama sendiri.
“Betul ni? Tak main-main?” La..nak meraung rasanya bila ditanya soalan bodoh di saat-saat begini.
“Kalau Aznil ada sekarang jugak Yan nak kawin dengan dia,” ujarku bersungguh-sungguh. Tapi..semuanya tak berguna lagi..
“Betul ke?” Aznil tiba-tiba muncul dari balik langsir pintu bilik. Aku terlopong. Aznil? Wajah mak , mak ngah som dan especially wajah Ina kutatap tak mengerti.
“Sebenarnya kan ..along..abang Aznil tak apa-apa..yang accident teruk tu motor dia je..along pengsan tadi abang Aznil yang dukungkan ke sini,” Ina membuat penjelasan bila mata aku tak berkedip merenungnya. What? Alamak..malunya aku!
“Tadi kau kata..”
“Ina salah faham..sorry..!!” Ina tersipu-sipu. Kau punya pasallah ni! Getusku geram.
“Itulah..dulu sampai nak putus tunang, ni baru dapat berita macam ni dah pengsan-pengsan..” sindir mak tajam. Aduii..bisanya.
“Tak apalah, tu tandanya sayang!” sampuk ibu Aznil lalu mengajak Ina dan emak keluar. Aznil perlahan-lahan menghampiriku. Aku tunduk, tak tahu nak sorok muka kat mana lagi.
“Sampai pengsan ye sayangnya awak kat saya?” usiknya. Aku tidak menyahut. Semua ni Ina punya pasallah bodoh!
“Err..teruk ke awak?” soalku bila melihat tangan kirinya berbalut.
“Don’t worry, tak serius ni..by hook or by crook kita mesti kawin jugak minggu depan..” ujarnya selamba membuatkan aku tersenyum lucu.
“Thanks!” ucapnya tiba-tiba.
“Kenapa?”
“sebab membuktikan sedalam mana cinta awak terhadap saya, baru saya tahu selama ini saya tak bertepuk sebelah tangan. Awak tahu tak..saya selalu terfikir kalaulah awa langsung tak ada hati kat saya macammana kehidupan kita nanti..tapi syukurlah..saya dah nampak apa yang bakal kita lalui bersama nanti..” Aznil tersenyum.
“Sebelum tu..yang kat sungai dulu macammana?” soalku masih tak puas hati. Geram lagi pasal tu sebenarnya.
“Itulah lain kali cuba dengar dulu..itu anak buah saya Mimi, anak abang sulung saya yang jadi lecturer kat USM..dia memang sebaya dengan awak..tu dia ada kat luar tu..” Anak buah?
“Saya tak kenal pun..”
“Mana nak kenal..dia form 1 sampai form 5 kat asrama penuh, pas tu pegi State plak …baru seminggu tu balik ke Malaysia ni..” terangnya membuatkan aku tersengih. Ngape tak beritahu awal-awal..manalah aku kenal semua anak buah dia..buat malu aku je...
“Awak tak marah lagi kan?” soalnya sambil mengeluarkan sebentuk cincin emas putih bermata satu dari poket seluarnya.
“Cincin yang awak baling hari tu tak sempat nak sambut. Ni saya gantikan,” ujarnya lalu menyarungkan ke jari manisku.
“Ni je?” soalku mengusik.
“Dian, will you marry me?” Aku cuma mengangguk dan tersenyum.
“I love you,” lafaznya lantas mencium tanganku. Mak..aku rasa nak pengsan sekali lagi. Romantik gila siut! Tak pernah-pernah dia macam ni!
“Ehemmm!!!” Aku cepat-cepat menarik tanganku. Ina, Fina, Rina dan juga Mimi anak buah Aznil sedang tertawa di sebalik langsir.
“Dosa..dosa..belum sah lagi..” usik Ina.
“Along..sekarang percaya tak keajaiban cinta?” soal Fina.
“Keajaiban yang menakjubkan..ada orang mati kerana cinta..merana.”
“Pengsan!!”
“Sibuklah kau orang! Pergi main jauh-jauh!” marahku campur malu. Aznil cuma tertawa kecil. Pasti dia juga merasakan sesuatu yang aku rasa saat ini. Cepatlah hari berlalu..agar Aznil segera menjadi milikku selamanya…

BUNGA-bunga teratai yang berwarna merah jambu mekar subur di dalam tasik yang membiru. Di hujung sebelah kiri pohon-pohon buluh menari-nari ditiup angin petang. Aku sudahpun selesai menggoreng karipap inti keledek kegemaran Aznil. Seteko kecil air kopi panas juga sudah siap dibancuh. Sementara menanti kepulangan orang tersayang aku turun ke laman yang terhias cantik dengan bunga-bungaan, terutama bunga lily yang sangat kusukai. Warna putihnya menyerlah tatkala mentari pagi mula membiaskan jalur-jalur cahaya. Teratak AZYAN yang unik itu kurenung seketika. Betapa Aznil mengabadikan cinta dengan meletakkan gabungan nama kami berdua. Aznil dan Dian. Aku tahu banglo ini telah lama siap dibina.. sejak pertunangan kami berlangsung tidak lama dahulu dan kini setelah seminggu menjadi suami isteri kami berpindah ke sini sebulan yang lalu.
“Suka tak?” soalnya pertama kali aku menjejakkan kaki ke situ. Terpegun dengan lanskap yang terbentang indah..dihiasi rumpun-rumpun buluh berwarna emas di kiri kanan halaman.. membawa keredupan dan kerukunan.. himpunan lily putih dipagari rumpun-rumpun bunga keladi kemerahan. Juga pepohon kemboja dan cempaka memeriahkan suasana.
“hmm..brilliant..” balasku sambil tersenyum. Sambil berpimpinan tangan kami melangkah pula masuk ke dalam. Sememangnya Aznil bercitarasa kemelayuan. Susun atur perabot berasaskan kayu begitu kemas dan menarik, hamparan-hamparan tikar kulit kayu Sarawak juga menutupi ruang-ruang tertentu. Pasu-pasu seramik juga teratur di sebelah tangga menuju ke tingkat atas.
“Kalau Yan tak suka kita boleh tukar perabot-perabot nie..”
“Apa pulak tak suka.. suka.. apa yang abang buat nie dah terlalu baik..”
“Termenung??” Opocot mak! Aznil tertawa kelucuan. Aku mengurut dada, tiba-tiba saja muncul di belakang kita.
“Berapa kali orang pesan kalau balik tu cuba bagi salam..” Aku menarik muka masam.
“Okey..sorry.. “ Pintanya sambil mencuit hidungku. Aku senyum. Kami beriringan ke meja kayu bulat di dalam pondok yang tinggi, di mana di mana dibawahnya tasik membiru dihuni oleh pelbagai spesis ikan air tawar.
“Mak ada datang tadi?” soalnya.
“Tak ada pun.. kenapa?” Aznil Cuma senyum.
“Ada kawan satu universiti dulu nak buat research pasal projek ternakan udang harimau tu.. so, abang ingat nak ajak dia stay kat sini sementara dia siapkan projek dia. Yan tak kisah kan?”
“Ohh.. apa namanya?”
“Azizan.. tu kawan baik masa kat universiti dulu.. nanti bolehlah Yan berkenalan dengan dia..” Aku Cuma mengangkat bahu. Setakat ini tak ada masalah. Sekurang-kurangnya tak adalah Aznil bosan sangat nanti.
“Ohh..” aku senyum sambil menuangkan kopi panas ke dalam cawan. Aznil senyum sambil mencapai karipap di dalam piring.
“Dah ready nak survey apa-apa yang patut nanti? Kata nak pegi bandar malam ni..”
“Tu la.. Yan ingat tak best la langsir bilik kita color biru.. Yan nak cari color pink.. okey tak?” sejak dua menjak ni macam boring pulak dengan warna biru.
“Boleh.. color hijau pun boleh..” balas Aznil sambil tersenyum.
“Hijau pulak.. karang orang taruk warna oren campur ungu kang…”
“Ohh.. nanti jadi tadika pulak bilik kita..”
“Biarlah jadi tadika.. kenapa?”
“Susah la pulak.. nanti awak kena jadi mak angkat budak2 tu.. susah abang tak apa..”
“Tak apa kenapa pulak?” soalku.
“Abang kan masih hensem.. nanti mana tau budak2 tu ada kakak-kakak yang cun-cun.. dah terberkenan nak buat abang ipar..”
“Amboiii… gatalllnya…!!!” segera lengannya kupintal.
“Adooiiii!!!” Padan muka! Aku menjelingnya yang tersengih-sengih menahan sakit.
“Adoii Yan… lepas la.. dah la tu.. sakitnya!!! Kena sepit dengan udang galah pun tak rasa sebest nie.. lepaslah..” pintanya sambil menahan sakit.
“Cuba abang ulang sekali lagi perkataan yang last tadi..”
“Yang mana satu? Adooii Yan.. sakit betul nie.. sian la kat abang..” rayunya. Aku melepaskan pintalan. Padan muka!!
“Beranilah abang sebut-sebut nak kawin lagi..” ugutku.
“Abang nie tak mampu… nak jaga awak sorang pun tak larat.. inikan pulak nak pasang lagi tiga.. lagipun.. tak larat abang nak main kejar-kejar dengan Yan nanti bila abang pasang lain..” usiknya.
“Dah la.. malas nak layan!” Aku bingkas bangun dan meninggalkan pondok kecil itu diiringi tawa kecil Aznil.
“Isteriku marah-marah.. kekasihku marah-marah..” Eii.. dia ni memang tak pernah berubah sejak kawin. Sama je perangai kuat mengusik.
“Amboi.. macam hindustan…” Satu suara menyapa mematikan langkahku.
“Ehh.. Ina? Bila sampai tak sedar pun..” soalku sambil mendapatkan adikku yang terkial-kial menongkat motor.
“Mana la nak perasannya.. sibuk berdrama kat sana tu..” Aznil tertawa sambil merapati kami.
“Tengah drama apa tadi abang? Bukan main sampai menyanyi sakan lagi..” soal Ina sambil menghulurkan seplastik besar tebu merah kepadaku.
“Drama Madu Tiga.. kan Yan?” jawabnya sambil memeluk bahuku. Eleh!!
“Banyaknya tebu.. nak buat apa ni? Nak buka kilang gula ke?” soalnya pelik. Aku Cuma menjeling selamba. Dah dekat sebulan aku aim tebu merah mak belakang dapur tu. Sebelum Izat dan Alif sepupu aku samun aku telefon Ina awal-awal suruh tebangkan. Serumpun pun tak pe janji aku boleh makan puas-puas.
“Tah along nie beriya-iya suruh Ina ambil.. dia nak buat apa tah..”
“Makan la apa lagi..” Ina Cuma menggeleng kepala.
“Biarlah Ina.. dia kan tak lama lagi nak jadi kembar jumbo.. biarkan..” Usiknya membuatkan Ina tergelak besar.
“Abang ni kalau tak mengusik orang tak sah ke? Tak senonoh!”
“Iye la along.. sejak sebulan ni along dah tembam tau..” Ina memberi komen. Alamak, iye ke? Tapi memang dah ramai orang tegur aku dah tembam sikit. Pipi pun dah bulat.. Aku menjeling Aznil yang tersenyum-senyum.
“Oh… selama ni abang tipu la ye? Bila orang tanya kata maintain..teruklah!” Aku terus masuk ke dalam rumah. Tak guna punya Aznil! Malas aku nak layan dia. Aku masuk ke bilik. Seketika membelek diri di hadapan cermin besar. Nampak sangat ke aku dah gemuk? Soalku sendiri sambil berpusing-pusing di hadapan cermin. Issh..
“Wahai cermin sakti.. katakan pada beta siapa yang tercantik di alam maya ini..” Alamak.. aku cepat-cepat duduk dan mencapai majalah. Aznil sengeh dan duduk di sebelah.
“Kenapa ni? Takut sangat ke badan naik.. releks la.. saya tak kisah badan awak tembam ke apa ke.. lagi saya suka.. hah.. nanti orang kampung kata bagus Aznil tu pandai jaga isteri..” usiknya.
“Ohh.. suka la kita ni macam nangka kena salut?” soalku sambil bangun menuju ke arah pintu. Aznil Cuma tertawa kecil dan mengambil tuala. Malas aku nak layan!

*******
“Hi! Saya Azizan.. panggil Nor pun boleh Azizan pun boleh.. tapi Aznil selalu panggil Izan je..” Aku terkaku. Wanita kecil molek berambut paras bahu itu kurenung lama. Manis.. memang manis, mukanya bulat bersih, ada sebutir tahi lalat di atas bibir kiri. Tubuhnya kecil molek.. ada la separas bahu aku sahaja, sangat menarik memakai sepasang kebaya pendek.
“Err.. hello?” Aku tersedar. Rupanya huluran tangannya belum bersambut.
“Err.. siapa tadi?” soalku.
“Izan,” gadis itu tersenyum.
“Dian,” Dia tersenyum menjeling tanganku yang masih bersisa inai di kuku.
“Err.. isteri Aznil ke?” soalnya. Aku angguk. Takkan kakak dia pulak..
“Dah berkenalan dah?” soal Aznil di belakangku. Nampaknya dia sudah selesai memunggah barang-barang milik kawan baiknya itu. Hmmm… mana tak terkejut beruk aku. Aku sangkakan lelaki, rupa-rupanya perempuan… lawa pulak tu.
“Teruklah you Aznil.. I ingat wife you nie cousin you..”
“Ehh.. inilah permaisuri hidupku.. Diana Adurah..” Izan Cuma tersenyum melihat Aznil memelukku mesra.
“Well.. Izan, barang-barang you I dah hantar ke bilik, kalau you nak guna computer ada kat bilik bacaan.. tanya saja Dian kalau you perlukan apa-apa..”
“Well.. rasa rugi pulak I tak attend wedding you.. mesti Dian lebih cantik masa tu..” Izan bersuara sambil merenungku tunak.
“Hmm.. kenapa you tak datang? Satu hari suntuk I call you tak dapat..” Izan Cuma tersenyum dan menjinjing note booknya.
“Cantik rumah you Aznil… patutlah you tak nak terima tawaran kerja kat KL.. kat sini pun you dah ada everything.. berapa ekar you buat projek ternakan udang harimau tu?” soal Izan
“ada la.. so far I dah ada 20 buah kolam..” Aku Cuma memerhatikan saja mereka berbual-bual. Ina dan Fina sedang sibuk mengisi kuah laksa ke dalam mangkuk di dapur. Sejak pagi tadi mereka berdua sibuk di dapur.
“Along, tu ke bestfriend abang? Kata lelaki..” Ina memuncungkan mulut.
“Manalah along tau perempuan.. dah cepat hidangkan..” Gesaku sambil mencapai sepotong kek buah.
“Along nie.. macammana la tak tembam.. pantang nampak makanan…” Fina menggeleng kepala.
“Tak apa.. abang kau memang suka aku gemuk.. so biarlah aku gemuk sikit.. “ sahutku selamba membuatkan Ina dan Fina menjuih bibir. Aku tersengih. Segera aku membawa sedulang minuman sementera Ina dan Fina membawa hidangan laksa ke ruang tamu.
“Ini adik-adik ipar I.. ini Ina, adik Dian nombor tiga dan ini Fina, yang nombor dua..” Ina dan Fina tersenyum sopan menghulur tangan.
“Jemputlah makan Izan,” pelawaku. Izan Cuma mengangguk.
“You memang tak lupa favourite I ye?” soal Izan sambil menyenduk kuah ke dalam pinggan.
“Mana boleh lupa.. Yan tak nak makan sama?” soal Aznil. Aku Cuma menggeleng, yang sebenarnya aku la tukang rasmi laksa itu tadi. Ina dan Fina Cuma tersengih melihatku.
“Kak Izan nie asal mana?” soalku.
“Johor, Johor Bahru, tapi keluarga menetap di Selangor sekarang..” gadis itu tersenyum manis.
“You bila lagi nak naik pelamin Izan?” soal Aznil.
“Ala.. I baru 29 tahun.. releks la..” sahut gadis itu sambil tergelak.
“Emm.. abang makanlah dulu, kak Izan jangan malu-malu okey? Yan masuk dulu..” Aku berlalu ke dapur. Di situ Ina dan Fina sedang menikmati laksa penang yang enak. Aku membuka peti sejuk dan mengeluarkan sebesen tebu yang sudah siap dikupas kulit.
“Along.. cantiklah kawan abang tu..”
“Iye la.. lawa betul..” sampuk Fina. Aku Cuma tersenyum. Memang tak kunafikan Azizan memang cantik, tak jemu mata memandang.
“Along, Ina rasa baik along control sikit makan.. along dah naik sikit sekarang ni tau..” adikku melahirkan kerisauan.
“Betul tu.. tengok along baru umur 23 dah macam 35 nanti.. baru padan muka..”
“Macammanalah badan along nie tak naik.. along nak kerja abang tak kasi.. kalau dulu tolong-tolong abah kat kedai okeylah juga.. ni duduk rumah jer.. makan tidur makan tidur la kerja along..” ujarku. Memang Aznil yang suruh duduk diam-diam di rumah. Dua minggu selepas bernikah dulu memang aku ada mendapat tawaran bekerja di Kuala Lumpur. Tapi dah jadi isteri peladang terpaksalah aku menolak tawaran. Takkan aku nak tinggalkan dia kat kampung ni. Parah nanti menanggung rindu. Sudahnya aku jadilah macam sekarang ni. Mujur Aznil jarang membawa Kembaranya. Kalau bosan aku keluar ke rumah mak atau rumah mak mertua aku. Kadang-kadang aku membantu abah di kedainya.
Sejak dua bulan menjadi suami isteri aku cuba sedaya upaya menjadi yang terbaik. Terkenang peristiwa-peristiwa sebelum melangkah ke alam perkahwinan dahulu. Aku bingkas bangun dan mengeluarkan daging ayam dari peti sejuk. Tadi Aznil meminta buatkan gulai lemak ayam.
“Along.. kami balik dulu la.. tadi mak kata nak pergi kenduri kat masjid.. nanti bising pulak dia kita orang tak pergi..”
“La.. ingatkan nak tidur kat sini..”
“Lain kalilah.. lagipun esok nak pergi sekolah, ada kadet polis..” Ina dan Fina sudahpun melangkah keluar dari dapur dan menujuk ke arah motor.
“Iyelah.. kirim salam kat mak dan abah..” pesanku sebelum keduanya memecut meninggalkan halaman rumah.
Hari sudah beransur gelap. Aku segera masuk menyiapkan hidangan malam. Udang harimau kubuat masak sos, ayam gulai lemak cili api, kangkung goreng belacan dan salad timun. Sebelum kedatangan Azizan Aznil sudah memberitahu Izan tak makan daging dan telur. Dia juga alah kacang panjang. Hmmm.. nampaknya aku kena berhati-hati nak menyediakan makan minum cik puan sorang tu!
“Wahh… mesti sedap ni. Pandai Dian masak..” pujinya sambil melabuhkan punggung di atas kerusi.
“Ala biasa punya masakan je kak.. jemputlah makan.. Aznil lambat balik, dia pesan tadi makan dulu..” pelawaku sambil menghulurkan pinggan berisi nasi. Izan menyambut. Tadi Aznil memang ada menelefon ada masalah sikit di kolam udangnya dan mungkin balik lewat.
“Sorry la kalau kak Izan susahkan Dian..” pintanya.
“Eh tak apa.. asal akak selesa dah cukup bagi Dian,” mendengar itu Izan tersenyum. Kami sama-sama menikmati makanan.
“Dah lama Dian kenal Aznil?” soalnya tiba-tiba.
“Dari kecil lagi.. tapi tak adalah rapat..” jawabku jujur. Izan mengangguk dan meneruskan suapan.
“Aznil tu seorang yang menarik. Masa di universiti dulu ramai yang tergila-gilakan dia.. tak tau la kenapa dia boleh jatuh hati pada orang kampung..” Suapan aku terhenti. Izan tersengih-sengih sendiri sambil meneruskan ceritanya.
“Dulu ada anak Dato’ sampai sanggup tukar course semata-mata nak sekelas dengan Aznil.. cantik budak tu..”
“Kiranya suami saya nie memang hebatlah masa di universiti dulu?” soalku.
“Memang hebat.. untung Dian dapat Aznil..” Aku rasa seleraku mati serta merta. Izan yang sedang asyik menikmati makanan kurenung lama. Apa tujuannya mengungkit kisah lama?
“Takkan anak Dato’ je kak.. anak Tan Sri tak ada ke?” soalku. Izan Cuma tersenyum.
“Cemburu ke?” soalnya selamba sambil menceduk kuah lemak.
“Setahu akak Aznil cukup tak suka perempuan kuat cemburu.. akak kawan dengan dia dah lama…” Aku menarik nafas.
“Kalau saya ni kuat cemburu tentu akak tak ke sini… terpulanglah apa saja anggapan kak Izan pada saya..” jawabku setenang yang boleh. Nasi yang kutelan terasa seperti pasir. Suasana di meja makan disambar sepi. Izan kulihat tidak serancak tadi menyuap nasi. Seleraku pula terbang melayang entah ke mana. Di fikiran Cuma terbayang-bayang wajah Aznil yang masih belum pulang.
“Err.. akak ada kerja sikit.. akak masuk dulu ye?” Izan bersuara sambil membasuh tangan dan bangun meninggalkan meja makan. Aku mengeluh perlahan. Langkah Izan kuhantar dengan pandangan kosong. Terngiang-ngiang di telinga kata-katanya sebentar tadi. Apa hina sangatkah aku sehingga dia berkata begitu? Jika benar Aznil menyukai gadis lain kenapa dia menerima aku sebagai isteri?
“Awak tak main-mainkan saya kan?” Aznil senyum sambil menanggalkan sampingnya.
“Takkan tak percayakan saya lagi.. baru tadi awak dengar tak saya lafaz ‘aku terima nikahnya Diana Adurah bt Haji Azmin dengan mas kawinnya RM22.50 tunai…’, takkan main-main lagi..” dia lantas melabuhkan punggung di atas katil yang berhias cantik.
“Kenapa awak tak pakai inai?” soalnya sambil membelek jariku yang bersih.
“Saya takut awak main-main.. sekali tak kawin malu saya je berinai macam pengantin..” jawabku.
“MasyaAllah.. sekarang nie kan kita dah sah jadi suami isteri.. kalau tak mau mengamuk ayah awak biar kita berdua dalam bilik ni..” Aznil tertawa kelucuan.
“Nil, awak kena janji dengan saya, jangan sakitkan hati saya dengan kerenah awak tu lagi, okey?” pintaku.
“Tak faham..” Aznil mengurut dagu.
“Saya tak kisah tau kalau hal-hal lain.. tapi jangan hal perempuan.. satu lagi jangan menipu..”
“InsyaAllah.. sekarang nie awak tanggungjawab saya, sebagai lelaki saya akan melindungi awak.. selagi saya bernyawa..” aku tersenyum kecil.
“Jom tidur..” dia mula menepuk2 bantal yang bersarung kuning diraja.
“Apa? Tidur? Amboi.. banyak cantekk.. mana boleh! Kenduri tak habis lagi.. jap lagi saya nak pakai inai..” Aznil Cuma tertawa mengusik.
“La.. pakai je la.. saya tidur kat sini awak tidurlah sambil tadah amin kat situ..” Wah.. wah.. sedapnya mulut.. Lamunanku terhenti bila jam berbunyi 12 kali. Meja makan segera kukemaskan. Selesai aku segera melangkah ke kamar kerana aku tahu Aznil akan pulang lewat..

********


KOTAK-kotak berisi udang harimau yang akan di bawa ke Kuala Lumpur kelihatan bersusun di dalam lori. Aku duduk berjuntai di atas bangku sambil mengunyah mangga muda yang sudah tersedia di situ. Entah siapa yang punya aku kebas aje!
“Amboi.. sedapnya makan sorang-sorang..” satu suara menyapa membuatkan aku menoleh.
“Eh.. kau Ana.. ingatkan sapa tadi.. meh la join..” pelawaku. Ana tersenyum sambil duduk di sisiku.
“Mangga? Kau makan mangga muda..ke kau..”
“Ehh.. tolong sikit… belum lagi la.. kau ni pantang tengok org makan mangga..” jawapanku itu membuatkan Ana tertawa. Bukan dia tak tahu memang favourite aku makan mangga tak kira masak atau muda sejak dari dulu. Nasib baik dapat tokei ladang mangga.. boleh makan free!
“Manalah tau.. pengantin baru..”
“Bila kau balik? Tak tahu pun…” soalku.
“Ala.. dah dua hari aku kat rumah.. suami aku kursus so aku balik la kampung..” Ana senyum lagi.
“Apa yang kau senyum-senyum ni Ana?” soalku pelik.
“Siapa perempuan cantik dengan Aznil tu? Bukan main mesra lagi dia..” soal Ana. Lantas aku menoleh ke arah kolam. Di situ kelihatan Izan sedang berbual-bual dengan Aznil sambil mencatat sesuatu.
“Kawan dia masa di Jepun dulu, kenapa?”
“Wahh… sportingnya kau yek.. kawan ke girlfriend dia masa kat sana?”
“Girlfriend pun kan ke dia dah kawin dengan aku.. ala Ana.. kalau dia tak jujur dengan aku tak tahulah..”
“Kau tak jealous ke Yan.. dulu kau ingat tak masa kita sekolah dulu.. siapa orang yang kau paling benci dunia akhirat? Hah.. sekarang..”
“Manalah aku tahu tuhan nak temukan aku dengna dia.. eh… aku kena balik dululah.. aku janji dengan mak mentua aku nak petik pucuk ubi nie.. “ Aku segera menyarung selipar.
“Aku pun nak baliklah.. anak aku tidur tadi aku nak tengok.. eh datang la ke rumah kita borak-borak..”
“InsyaAllah.. kau pun datang la rumah aku..” Ana Cuma mengangguk. Aku mengatur langkah menghampiri Aznil dan Izan.
“Bang, Yan nak balik ni.. nanti mak tunggu lama pulak..”
“Emm.. Yan balik dululah.. abang ada sikit lagi dengan Izan..” katanya lantas menghulurkan kunci Kembaranya. Aik.. aku Cuma menjeling mereka. Sejak bila pulak dia tak reti nak hantar aku ni? Selalunya kalau nak kemana-mana dia akan hantar. Kecuali memang sibuk sangat.. ni aku tengok urusan timbang menimbang dah selesai.. atau.. kerana perempuan ni?
“Habis, nanti abang dengan kak Izan nak balik dengan apa?” soalku.
“Tu motor..” Apa? Nak naik motor? Aku merenung Aznil tepat.
“Janganlah bimbang.. abang sayangkan Yan..nanti hitam pulak isteri abang ni kena panas..” bisik Aznil membuatkan Aku Cuma mengangkat kening. Nak pujuk aku la tu!
“Sejak bila pulak abang dah tak boleh hantar Yan ke mana-mana?” soalku. Aznil Cuma senyum.
“Bawak kereta elok-elok.. masak sedap-sedap sikit okey?” Aznil sempat mencuit hidungku sebelum menutupkan pintu kereta. Hmm.. si Izan di sebelah Cuma mengangkat tangan. Aku segera melarikan Kembara menghala ke rumah ibu mertuaku. Tentu sebentar lagi Izan dan Aznil akan pulang kerana di kolam tadi Cuma tinggal mereka berdua sahaja. Berdua? Hmm… cemburu ke aku? Walaupun Cuma seorang rakan lama, isteri mana tak cemburu bila suami bersama wanita cantik, educated pulak tu… jangan-jangan masa di universiti dulu mereka pernah bercinta! Tapi kalau benar pun, takkan Aznil sanggup melukakan hati aku yang sedia maklum memang keras ni. Tapi, sejak kehadiran perempuan itu banyak waktu kami bersama dirampas. Seharian dihabiskan di kolam ikan.. Aznil sudah tiada masa untuk duduk berbual-bual minum petang bersama seperti kebiasaan kami. Ada saja kerjanya dengan Izan. Si Izan itu pula pantang melihat kami bermesra, pasti ada saja masalahnya dengan komputer la.. bukulah.. Aku tiba di halaman rumah dan segera masuk ke rumah selepas meninggalkan kereta di bawah pokok rambutan di tengah laman.
Kelihatan ibu mertuaku sedang melayan cucu-cucunya yang baru balik.
“Ha Yan.. Aznil mana? Kata nak keluar ke bandar..” soalnya melihat aku keseorangan masuk ke dalam rumah.
“Tak jadi mak..Aznil ada kat kolam.. dengan Izan,” jawabku sambil mencium tangannya.
“Dengan kawan dia tu? Apa dia buat lama-lama kat situ? Habis nanti dia balik dengan apa?” soal mak curiga.
“Dengan motorlah agaknya..” jawabku dan menuju ke dapur. Pucuk ubi yang kupetik di kebun tadi kuletakkan di atas meja. Kelihatan kakak iparku sedang sibuk menyediakan hidangan tengahari. Udang masak lemak campur belimbing buluh amat membuka selera. Kakak iparku ini memang pandai memasak.
“Mana Kak Sal, kak?” soalku, dari tadi tak nampak-nampak sedangkan anak-anaknya dibiar bermain di luar sana.
“Orang morning sickness..” jawab Kak Mah sambil tersenyum sambil menghulur sesudu kuah gulai tempoyak ikan sembilang untuk aku merasa.
“Ohh.. iye ke? Patutlah tak nampak.. “ sahutku sambil merasa masakannya itu. Sedap!
“Rezeki.. anak ni rezeki tahu?” kak Mah senyum lagi. Kakak ipar Aznil ini memang suka memberi nasihat. Sejak menjadi ahli keluarga mereka aku memang tidak megalami apa-apa masalah. Lagipun Kak Mah seorang yang amat sporting dan sebagai menantu yang kerap balik ke kampung dan rapat dengan ibu Aznil, dia banyak memberi tunjuk ajar; termasuklah apa yang mak dan bapa mertua suka dan tak suka.. masakan kegemaran.. macam-macam lagilah!
“Macammana dengan tesis kak Mah? Dah okey?” soalku sambil membantu menggoreng telur. Aku ni masak-masak tak reti sangat, setakat nak bagi makan suami tu boleh la.. kalau kat rumah mak mertua memang jarang aku menggulai.. takut tak sedap!
“Tu la.. akak ingat minggu depan akak kena pergi ke universiti nak jumpa pensyarah akak..” kak Mah menjelaskan.
“Mak cakap ada kawan lama Aznil tumpang di rumah Yan ye? Dah lama?” soal Kak Mah.
“Emm.. ada la tiga hari dah.. dia nak buat research tentang udang harimau… “
“Ohhh..” kak Mah mengangguk.
“Mama! Mama!” Boboy anak Kak Mah yang bongsu tiba-tiba datang menerpa.
“Kenapa Boboy?” soalku sambil mendukungnya mesra.
“Ucu bawak balik orang cantik.. “
“Orang cantik? Siapa tu?” soal Kak Mah.
“Kawan Uculah!” jawab Boboy petah. Amboi.. budak umur 4 tahun pun pandai menilai bagaimana rupa si Izan! Ini kire hebat..
“Mana cantik? Mak Ucu ke.. kawan Ucu tu?” soal kak Mah.
“kawan Ucu..” jawapan Boboy membuatkan air mukaku berubah.
“Jangan percaya cakap budak-budak..” kak Mah tersenyum membuatkan aku terasa malu sendiri. Cakap budak.. buat apa aku nak sensitif sangat kan? Tapi budak-budak tak pandai menipu..
“Kak Lang, dah lama ke sampai?” Aznil muncul di depan pintu dapur, diekori Izan di belakangnya.
“pukul 10.00 tadi..”
“Err.. kak Lang , ni kawan Nil masa di Jepun dulu, Izan, Izan ni kakak ipar I,” Aznil memperkenalkan dua insan itu.
“Izan,”
“Halimah,” Izan membalas huluran tangan dan terus duduk di sebelah Aznil.
“Jomlah kita makan nasi,” Aznil sudah menyingsing lengan melhat gulai sudah masak di atas dapur.
“Isteri abang masak apa?” soal Aznil.
“Goreng telur jer…” jawabku. Serta merta Izan tertawa kecil, membuatkan aku merenungnya tepat. Apa yang lucu sangat?
“Ohh.. you ketawakan I ye?” soal Aznil sambil mencekak pinggang.
“Mana tak I ketawa.. you kata wife you teror masak.. setakat goreng telur I pun boleh buat..” jawab Izan.
“Ohh.. berlagak yek.. kerek.. okey kalau you teror you boleh buat apa?” soal Aznil. Izan memandang sekeliling. Tertumpu pada pucuk ubi di atas meja yang kupetik tadi.
“Okey, I buat Kerabu pucuk ubi, boleh?” Aznil Cuma mengangkat kening. Izan bangun dan mencapai pisau di atas sinki..


AKU masih gagal melelapkan mata. Sekejap berkalih ke kanan, sekejap ke kiri. Sekejap-sekejap aku melihat jam di dinding. Sudah pukul 12.00 tapi Aznil masih belum pulang lagi. Perut aku terasa pedih, sekejap-sekejap rasa macam nak termuntah. Menyesal tak makan banyak-banyak tadi. Tapi sememangnya selera aku mati bila seisi rumah memuji kesedapan kerabu buatan Izan. Si Aznil sampai bertambah tiga pinggan nasi. Pak mentuaku pun bukan main suka lagi sampai gulai tempoyak ikan sembilang kegemarannya tidak luak di pinggan. Itu belum lagi aksi ceduk menceduk si Izan ke pinggan Aznil.. macamlah suami aku tu tak pandai ambil kuah sendiri. Dan, macamlah aku ni tunggul kayu kat depan dia orang. Si Aznil tu pulak macam tak paham ajer.. iyelah.. si cantik manis melayan makan.. bertambah sukalah.. Dek kerana geram tadi aku sudah meluahkan rasa tak puas hati aku pada Aznil. Tapi seperti biasalah pak cik tu.. ala biasalah.. dia kan tetamu kita kena layan elok-elok.. jangan cemburu sangat nanti abang sangkut betul…Tuk! Tuk! Tuk! Ketukan di pintu membuatkan aku bingkas bangun. Siapa pulak yang mengetuk pintu macam nak roboh ni? Sebaik saja pintu terkuak muncul wajah Kak Mah cemas.
“Yan, cepat… Aznil pengsan di kolam..” Apa? Aku segera meluru ke luar. Di ruang tamu kelihatan Aznil terbaring tidak sedarkan diri.
“Macammana boleh jadi macam ni?” soalku sambil merapati mertuaku yang sedang memangku kepala Aznil. Kepalanya yang berdarah kuusap lembut. Saat itu juga air mata dah meluru turun. Janganlah jadi apa-apa pada dia!
“Kamu tak tahu ke dia demam?” soal mak mertuaku sambil merenungku lama.
“Tepi sikit tepi sikit..” Izan muncul dengan sekeping tuala basah. Dengan selamba dia menepis tanganku dan mengelap kesan darah yang sudahpun berhenti mengalir.
“Man, macammana Abang Aznil boleh luka ni?” soalku pada pembantu Aznil yang Cuma terdiam dari tadi.
“Dia pitam kak, jatuh berguling ke bawah bukit masa kami tengok tali air tadi… dari semalam dia kata dia dah tak sedap badan..” jelas Man.
“Nasib baik ada Izan, terima kasihlah Izan kerana susah payah..” ucap mak mertuaku penuh terharu.
“Izan risaukan dia mak cik sebab Izan tahu dari universiti lagi Aznil memang mudah demam. Sebenarnya Izan perasan masa first day Izan sampai kat sini lagi dia dah tak sihat.. sebab tu Izan cari dia tadi..” Izan menjelaskan sambil mengusap kepala Aznil. Apa? Maknanya dia keluar bersama suami aku tengah-tengah malam? Aku menarik nafas. Aznil mula bergerak dan membuka matanya perlahan-lahan.
“Nil.. alhamdulillah dah sedar anak mak..” Aznil meraba kepala yang sakit.
“Jangan banyak bergerak Nil, you tak sihat..” Izan memegang bahunya.
“Betul Nil.. nasib baik ada Izan.. kalau tak tak tahu apa dah jadi..” sampuk kak Sal.
“Sudah tu.. Yan, bawak Aznil masuk ke bilik..” bapa mertuaku bersuara. Aku akur dan memapah Aznil dibantu oleh Man. Izan Cuma merenung kami lama sebelum kembali ke biliknya. Aznil merebahkan badan di atas katil. Aku membantu dia menukarkan pakaian sebelum mengisi ubat di lukanya. Aznil tersenyum sambil mengesat pipiku yang basah.
“kenapa Yan menangis ni? Abang bukannya nak mati.. luka sikit jer..” pujuknya sambil memegang tanganku.
“Kenapa abang tak beritahu Yan abang demam?” soalku. Sungguh aku tak tahu dia tak sihat. Dia tak pernah mengadu pening atau apa.. badannya juga tak panas dan dia sentiasa gembira. Jauh di sudut hati aku berkecil hati juga bila mak mertua menganggap aku seolah-olah tak mengambil berat tentang anak bongsunya. Kalau aku tahu takkan aku biarkan suami kesayangan aku ni bekerja siang malam panas berembun wahai ibu mertuaku!
“Dah la tu.. abang bukan demam teruk.. tapi lepas makan tengah hari tadi abang makan penadol.. agaknya berlawan ubat tu yang abang terpening sikit agaknya..” Aku merenungnya lama.
“Izan tu rapat sangat ke dengan abang di universiti dulu?” soalku ingin tahu.
“Ala.. kawan satu universiti.. biasalah.. dah.. jangan sedih-sedih.. mari kita tidur..” pujuknya lagi.
“Tapi Yan tengok kenapa dia..”
“Kita tidur okey.. Yan sayang abang tak? Kalau sayang kita tidur okey?” Aku Cuma mengangguk dan bangun mematikan lampu..

SUSAH dapat orang keras hati! Itu saja yang mampu aku katakan bila Aznil sudah bersiap-siap untuk ke kolam udang harimaunya selepas sembahyang subuh tadi. Kita pujuk ke klinik tapi dia kata bukan kena sakit teruk. Dia nak tengok kolam barunya yang baru dua minggu diisi anak-anak udang baru. Bukannya lari udang-udang tu kalau dia tak datang ke sana.
“Pergi juga Aznil ke ladang Yan?” soal mak mertuaku bila melihat aku sendirian menikmati bihun goreng.
“Yan dah larang tadi mak.. dia degil jugak.. “ jawabku. Mak Cuma menggeleng kepala.
“Dia tu memang degil.. sebab tu Yan kena pandai pujuk dia.. ini mak tengok si Izan tu yang lebih-lebih..” aku tersenyum. Baru perasan ke mak?
“Tak apa la mak.. Izan tu pun kawan dia..” jawabku menyedapkan hati sendiri walaupun prasangka dah mencanak-canak tumbuh dalam kepala. Lagipun aku percayakan Aznil. Takkan dia nak menduakan aku. Beranilah dia buat macam tu!
“Mak ni bukan apa.. sepatutnya.. suami, kita sendiri yang jaga. Jangan bagi ruang perempuan lain merebut peluang tu.. ini mak tengok Izan tu lebih tahu tentang Aznil daripada Yan.. macammana tu?” kata kata mak itu membuatkan suapanku terhenti. Ada betulnya nasihat mak tu.
“malam ni tidur di sini lagi?” soal mak.
“Err.. tidaklah agaknya mak.. dah dua hari tidur di sini.. Yan ingat malam ni nak tidur di rumah..”
“Hmm.. eloklah tu.. lagipun tak manis biar suami berdua-duaan malam-malam di rumah kamu tu..” aku Cuma mampu mengangkat kening. Memang selama dua hari aku tidur di rumah ibu Aznil ini malam-malam pasti Aznil dan Izan kembali kerumah kerana Izan ingin menyiapkan reportnya menggunakan komputer. Aku tak tahu apa masalahnya dia suka sangat berdua dengan suami aku tu. Padahal notebook dia bukan tak boleh dibawa ke rumah sini untuk membuat kerja.
“Emm.. iye la mak.. “ jawabku dan mengangkat pinggan menuju ke sinki. Kata-kata dari ibu mertua itu membuatkan hatiku berbelah bagi. Selesai mencuci pinggan aku menjemur baju di ampaian. Ayah sudah lama ke kebun, sementara kak Mah dan kak Sal subuh-subuh tadi sudah bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Selesai mandi aku bersiap-siap untuk ke pekan. Hari Isnin amat sesuai untuk keluar. Biasanya aku akan keluar ke bandar untuk membeli keperluan diri. Lagipun di sana aku akan bertemu dengan Qursiah, Salina dan Embun teman-teman lama yang tinggal di sana. Boleh juga menghiburkan hati yang sunyi ini.
“Mana Aznil?” soal Embun bila aku sampai seorang diri di kedai bunganya. Aku senyum.
“Dia sibuk..” jawabku ringkas. Embun senyum. Dia masih tekun menyusun bunga-bunga yang baru dihantar. Aku duduk sambil memerhatikan gelagat orang yang lalu lalang di hadapan kedai. Hari ini hari Isnin jadi bandar ini tidaklah sesibuk mana. Tiba-tiba mataku terpandang sesuatu. Wanita kecil molek yang sedang memapah seorang lelaki itu kuperhati lama. Mereka baru saja keluar dari sebuah Klinik. Apa? Aku perhatikan plat Kembara yang sedang direverse itu. CFR 711.. tu kepunyaan Aznil. Jadi sahlah dia ke klinik dengan Izan??
“Ehh.. tu macam kereta Aznil..” Embun memandangku lama. Dia juga sempat melihat adegan yang sama! Aku diam tidak berkata-kata. Yang pasti hatiku sedang menangis sekarang ini!

AZNIL sedang tidur sewaktu aku sampai di rumah. Aku meninjau kemana Izan pergi. Kelihatan dia sedang sibuk membuat bubur nasi di dapur. Izan senyum tapi aku dah tak kuasa nak membalas lagi.
“Kak Izan buat apa ni?” soalku, masih berbudi bahasa memberi gelaran kakak kepadanya.
“Aznil kan demam..” jawabnya.
“Saya boleh buatkan..” aku menjelaskan sambil merenungnya tunak.
“Dian, Aznil nampaknya lebih mempercayai saya.. saya lupa nak beritahu sesuatu.. sebenarnya kami pasangan kekasih semasa di sana dulu.. Cuma takdir memihak pada awak.. tapi saya yakin.. saya masih berada di hatinya..” Izan tersenyum dan berlalu pergi. Aku memandangnya lama. Dia tersenyum dan duduk di hadapan Aznil. Seketika kemudian aku lihat dengan selamba dia tunduk dan mengucup dahi Aznil, membuatkan nafasku terasa terhenti. Izan senyum sinis memandangku. Aku tak tahu apa yang harus aku buat. Cuma yang terkeluar hanya tangisan kecil dari sudut hati yang telah berdarah. Memang sudah kuduga dari hari pertama dia hadir dalam rumahtangga kami. Kemesraannya.. layanannya.. renungannya.. Dugaan apakah ini, seorang perempuan begitu terang terangan mencabar kewaibawaanku?
“Kenapa? Marah?” Izan senyum lagi.
“Lebih baik awak tinggalkan rumah ini..” perintahku. Aznil tiba-tiba terjaga dari tidur.
“Yan.. kenapa marah-marah ni?” soalnya dalam keadaan yang masih lemah.
“Yan tak mahu lihat kawan abang ni berada di rumah kita ni walaupun sesaat..”
“Yan! Apa salah Izan?” soal Aznil.
“Nil.. tak apalah.. I boleh keluar.. lagipun I tak nak ganggu keharmonian rumahtangga you.. I fahamm..” Izan buat muka sedih. Berlakon!
“Jangan Izan, Yan.. abang nak Yan minta maaf dengan Izan..Abang tak akan benarkan, ini keputusan abang..” tegasnya. Aku tergamam, tambah melihat senyuman sinis dari Izan.
“Abang nampaknya lebih perlukan dia dari Yan..” aku tatap wajah Aznil lama.
“Kalau dia tak pergi, Yan akan pergi,” Aznil merenungku lama.
“Dua-dua abang tak benarkan…”
“Baik.. kalau macam tu Yan yang akan buat pilihan. Biar Yan yang pergi..” Aku terus meluru keluar. Dengan langkah yang deras air mata turut mengalir tanpa henti….

BIAR berbuih mulut mak memberi nasihat.. biar gugur sampai botak rambut abah menyebut dosanya keluar rumah tanpa izin suami namun aku tetap dengan keputusanku. Kalau dia bahagia dengan Izan, teruskan.. yang pasti aku tak mahu jadi perempuan bodoh yang medambakan seorang lelaki tak setia!
“Tak diterima tuhan segala amalan seorang isteri yang derhaka..” pesan abah terngiang-ngiang di telinga. Memang aku takut berdosa.. tapi dalam keadaan begini aku tak dapat nak berdepan dengan mereka. Terbayang-bayang di mata bagaimana Izan mencium suami sendiri.. tu depan mata aku .. di belakang aku bagaimana?
“Yan.. keluar sekejap..” suara abah kedengaran. Aku mengeluh lemah dan menurut perintah. Abah sedang menanti di ruang tamu. Mak juga ada sama.
“duduk,” sepatah lagi perintah keluar. Aku patuh dan duduk.
“Apa lagi silapnya abah ni agaknya.. tak kawinkan kamu susah.. dah kawin pun susah..” keluh abah.
“Apa masalahnya ni?” soal abah. Aku diam. Sememangnya sejak tiga hari lalu aku tak bercerita apa-apa. Lagipun aku tak mahu mak ayah susah hati.
“Pak mertua kamu ada jumpa ayah tadi di kedai.. dia pun tanya khabar kamu.. “ terang abah lagi.
“Buat apa lagi dia nak ambil berat pasal Yan abah..” itu saja yang keluar di kerongkongku saat ini.
“Tak kesian ke kamu kat dia Yan.. dahlah demam teruk.. kamu tinggalkan dia sorang-sorang pulak kat rumah..” ujar mak.
“Baru dua bulan kawin.. inai masih ada lagi tu…” Abah memandangku lama. Bukan dia tak tahu perangai keras hati anak dia ni!
“Yan masuk dulu bah..” aku bingkas bangun dan masuk ke bilik. Aku menutup pintu bilik perlahan. Kemudian merebahkan diri di atas katil. Aku tahu tindakan aku ini salah. Tapi apakan daya andai suami sendiri lebih memihak pada perempuan lain. Bermakna dia lebih sukakan perempuan itu dari aku! Aku belek surat tawaran bekerja di MMU yang baru kuterima tadi. Ingatkan dah tak ada harapan dah kerana sudah lebih dua bulan temuduga berakhir. Tak sangka pula aku terpilih untuk menjawat jawatan tersebut. Bagaimana sekarang? Aku menarik nafas. Kalau jodoh aku dengan Aznil sampai setakat ini apa lagi nak dikata. Aku tak akan merayu supaya dia melupakan perempuan itu. Bagiku sedalam mana cinta dan sayangku pada Aznil, tapi andainya cinta dia untukku sudah tiada.. segala-galanya sudah tak bermakna. Buktinya sudah tiga hari aku di sini tapi dia langsung tidak menelefon, jauh sekali datang menjenguk. Aku belek gambar perkahwinan kami yang terpaku di dinding. Betulkah aku tak akan kecewa jika kehilangan dia? Aku sendiri tidak tahu tapi yang pasti.. aku amat merinduinya. Sangat-sangat..

AKU terjaga bila mentari sudah menyuluh muka. Alamak.. terbabas subuh! Aku cepat-cepat bangun dan mencapai tuala. Di dapur kelihatan emak sedang mengemas meja makan.
“Kenapa mak tak kejutkan Yan?” soalku sambil menarik kerusi dengan tuala tersangkut di leher.
“Mak baru balik dari rumah mak mertua kamu.. Aznil demam teruk Yan.. kesian dia.. makan pun tak lalu..” mak merenungku lama.
“Jadi?” soalku acuh tak acuh.
“Along.. tak baik along tinggalkan abang macam tu.. along patut di sisi abang..” Fina yang sedang menunggu result SPM mencelah.
“Kawan dia tu ada lagi?” soalku.
“Tulah Fina nak cerita ni.. sepanjang along tak ada kak Izan tu yang tolong jaga.. “ amboi.. melampau!
“Baguslah… ada orang jaga.. so tak payah Yan susah-susah kan mak?” sahutku dan masuk ke bilik air. Mak Cuma menggeleng kepala. Degil! Ahh.. mak sebagai perempuan, mak tentu faham perasaan Yan sekarang ini.. suami adalah segala-galanya setelah Yan bergelar isteri. Tapi kini Yan rasa dikhianati.
“Kau dah fikir habis-habis Yan?” soal Embun sambil menyedut air sirapnya.
“Dah.. dah nak pecah dah ni fikir..”
“Bercerai ni bukan satu jalan penyelesaian.. kalau boleh berbincang dulu..” nasihat Qursiah.
“Kau baru dua bulan bersama.. “
“Tapi apa maknanya aku jadi isteri dia kalau dia lebih sukakan perempuan tu..” balasku.
“Kau dengar dia cakap sendiri?” soal Embun lagi.
“Dia yang menghalang perempuan tu pergi.. so apa lagi? Dah terbuktikan?”
“Yan.. kau kena banyak bersabar.. banyak lagi dugaan yang kau tak hadapi..ni baru sikit.. “ nasihat Embun lagi.
“Entahlah Embun.. sebenarnya aku sayangkan dia.. tapi bila jadi macam nie aku rasa macam perempuan bodoh..” Aku cuba menahan air mata daripada luruh namun gagal. Akhirnya aku tersedu-sedu di bahu Embun.
“Yan.. kau kena banyak sabar.. sembahyang.. minta petunjuk dari Allah..” Aku Cuma angguk. Mungkin ini adalah dugaan untuk menguji kasih sayangku.. mungkin..



“YAN dah fikir habis-habis.. Yan rasa abang lebih sukakan dia..”
“Kenapa Yan cakap macam tu? Abang tak tahu apa salah Izan pada Yan.. malah dia yang advise abang suruh telefon Yan ni..”
“Abang lebih percayakan dia?” soalku.
“Kalau dia nak merampas kebahagiaan yang sedang kita bina ni tak mungkin.. abang kenal dia dah lama..”
“Betullah kan apa yang Yan katakan tadi… abang lebih perlukan dia..” Aku terasa air mata dah turun laju tapi kutahan.
“Yan.. abang nak Yan balik ke rumah kita.. jangan kerana perkara kecil macam ni kita terpisah..”
“Yan akan balik.. setelah Izan pergi..” tegasku.
“Yan.. kenapa Yan keras hati sangat?” soal Aznil kecewa.
“Tak apa la.. abang pun bahagia dia ada di sana.. Yan nak beritahu.. esok Yan nak ke KL,”
“Kenapa? Yan nak buat apa?”
“Yan nak kerja.. Yan nak bina hidup baru.. “
“Yan.. janganlah kerana perkara kecil ni Yan ambil keputusan terburu-buru..”
“Yan tak dapat maafkan perempuan yang sanggup mencabar kesabaran Yan.. maafkan Yan!” Gagang telefon kuletak segera. Aku jenguk ke kiri kanan. Mujurlah semua sudah tidur.. jadi tiada siapa tahu apa yang kukatakan pada suamiku tadi. Dalam gelap aku merenung masa depan. Andai cinta itu sudah tiada kurelakan segala-galanya terjadi.. walaupun aku yang akan tersungkur kerana luka ini..

“DIAN, kamu dah gila ke?” soal abah namun aku buat tak tahu. Beg pakaian sebesar tong beras kupikul ke tangga. Mak dan Fina Cuma menggeleng kepala. Memang mereka tak faham keadaan hati aku yang dah remuk ni. Tapi demi Allah, kerana aku sayangkan Aznil aku mengambil keputusan untuk mengundur diri. Aku tak mahu menjadi penghalang kehendak hatinya, jauh sekali menjadi punca keretakan hubungannya dengan Izan.
“Mak, Yan pegi dulu ye?” aku meraih tangan mak dan menciumnya.
“Yan.. dengarlah nasihat abah ni.. berdamai.. kalau perempuan tu puncanya kita selesaikan sekarang..” abah memegang bahuku.
“Cemburu biar bertempat Yan..” mak pula bersuara. Aku Cuma tersenyum. Ni bukan kes cemburu dah mak.. ni kes nak mati dah ni kalau Yan diam jer.. sekurang-kurangnya biar si Aznil tu tahu aku bukan perempuan bodoh! Aku mengangkat beg dan melangkah menuju ke arah jalan raya. Aku sendiri tidak pasti kemana harus aku tuju. Semalam aku sudah menelefon Mahani teman seuniversiti dulu. Dia sanggup menumpangkan aku sementara aku mendapat rumah sewa di sana nanti. Lagipun, untuk ke Cyberjaya aku perlu menaiki Bas ke Putrajaya. Ahh.. soalnya sekarang aku ke KL dulu..
“Along! Along tunggu!” Langkahku terhenti Belum sempat aku melepasi laman Ina sudah berteriak dari tingkap. Tergesa-gesa dia turun dan mendapatkanku. Ina memegang lenganku.
“Mak Ngah Som telefon, dia kata abang Nil masuk hospital..” Apa? Beg terlepas dari pegangan. Serius benarkah sakit dia? Aku pandang abah dan mak. Tapi mulutku berat untuk mengungkap sesuatu. Abah dan mak seakan faham dan segera menuju ke van.
“Mari kita ke hospital,” ujar abah dan aku masuk ke dalam van tanpa banyak soal.

AKU masih berdiri di luar pintu. Nak masuk ke tidak ni.. nak masuk ke tidak.. aku lihat semua ahli keluarga Aznil berkumpul di katilnya. Malu pun ada pada mertua kerana perbuatan aku yang memang dahsyat ini.
“Yan, buat apa kat sini?” Opocot! Aku berpaling. Wajah bapa mertuaku sedang tersenyum itu kutatap.
“Abah.. maafkan Yan abah..” Aku terasa air mataku dah menitis. Abah senyum dan mengusap kepalaku lembut.
“Dah la tu.. adatlah rumah tangga.. mari tengok suami kamu..” Dia menarik lenganku masuk ke dalam wad. Aku segera merapati Aznil yang tersenyum. Tangannya kukucup dan kugenggam erat.
“Yan minta maaf bang.. Yan tak sangka sakit abang seteruk ini..” pintaku.
“Doktor kata abang demam biasa jer.. tapi.. sakit di hati Yan tu lebih lagi kan.. abang minta maaf.. abang tak sepatutnya mengutamakan kawan abang dari isteri yang paling abang sayang..” pintanya lagi.
“Abang.. Yan tak halang abang berkawan tapi..”
“Abang dah tahu segala-galanya.. memang wajar Yan menyuruh dia pergi dari hidup kita.. abang sendiri tak sangka Izan selama ini mencintai abang.. tapi sungguh Yanlah orang yang abang cintai.. tak ada orang lain lagi..” kata-katanya membuatkan aku malu. Dahlah semua orang ada di sini.
“Dengar tak tu?” mak menjeling. Aku Cuma tersenyum. Iye mak.. salah Yan..
“Yan ambil abang air Yan…” pintanya. Aku segera bangun tetapi tiba-tiba saja terasa pandanganku gelap. Eh kenapa ni?
“Yan.. Yan!” Suara-suara itu kedengaran sayup di cuping telinga….

MAK , abah, ibu Aznil dan ayahnya tertawa kelucuan. Eh.. kenapa pulak ni? Aku cuba bangun tapi dihalang oleh Aznil. Aikkk.. apasal pulak aku yang baring atas katil pesakit ni?
“Bang.. kenapa dengan Yan ni bang? Apasal Yan pulak yang baring sini?” soalku. Aznil tersenyum sambil mengucup dahiku.
“Abang tak tahu nak cakap macammana.. abang gembira sangat..” ucapnya sambil tersenyum-senyum. Mak dan abah juga turut tersenyum.
“Kau ni suka sangat buat lawak la Yan..” Kak Sal sudah tertawa kecil. Lawak? Apa yang lawak ni?
“Tadi kau pitam.. doktor dah check.. tahniah.. tak lama lagi jadi ibu..” Apa?? Aku ternganga, betul ke apa yang aku dengar ni?
“Yan dah pregnant, sebulan lebih..” tambah Kak Sal lagi. Apa? Dah sebulan lebih? Biar betul.. tapi.. tak pernah pun aku muntah-muntah ke apa..
“Tapi.. tak ada tanda-tanda pun Yan mengandung..” soalku keliru. Mak menggeleng kepala.
“Bukan semua orang yang mabuk-mabuk.. ni contohnya.. suami kau ni yang demam teruk, rupa-rupanya nak jadi ayah.mabuk-mabuk kau tu kena kat dia...” seraya itu mereka tergelak kelucuan. Hah? Aku pandang Aznil yang tersenyum ceria.
“Patutlah abang selalu pening-pening.. loya-loya.. Yan pulak badan naik semacam.. ada orang baru nak datang..” usiknya. Aku turut tersenyum. Malunya! Barulah aku perasan, adik-adik dan suami komplen badan berisi, rupa-rupanya perut aku yang berisi..
“Lain kali kalau nak marah sangat pun, siasat dulu.. ini sampai nak tinggalkan kampung halaman..” aduii.. pedihnya kata-kata mak. Tapi, bukan salah aku.. kalau tak terjadi perkara itu sah mereka tak tahu berita gembira ini.
“Tak apalah.. yang penting tak lama lagi kita akan dapat cucu..” ibu mertuaku tersenyum sambil memelukku.
“Lepas ni jangan nak bergaduh-gaduh lagi.. jaga isteri kamu baik-baik Aznil..” pesan bapa mertuaku.
“baik abah..”
“Si Dian pun sama.. jangan nak tunjuk-tunjuk perasaan.. suami isteri ada masalah bincang.. bukan sorang ke sana sorang ke sini.. ni dah nak dapat anak.. dengar tak ni Yan?” aku angguk mendengar nasihat abah.
“Abah nak ke surau ni.. kejap lagi abah dan mak datang balik..” Abah, mak serta bapa dan mak mertuaku beredar meninggalkan katil begitu juga Kak Sal suami isteri. Aznil merenungku lama.
“Kenapa abang renung Yan?” soalku.
“Abang tengok Yan nie semakin..” dia senyum.
“Semakin apa?” soalku sambil membalas genggaman eratnya.
“Semakin tembam!” Apa? Seraya itu lengannya kucubit membuatkan dia tertawa kecil.
“Ohh.. kutuk kite ye..”
“Tak.. Yan ni suka buat lawaklah..”
“Kenapa pulak?” soalku.
“Iyelah.. Yan tu marah lebih.. tapi sayangnya kat abang ni tak terhingga betul tak?” soalnya.
“Kalau tak takkan abang sedar salah abang kan?” soalku kembali. Aznil mengangguk setuju.
“Abang marah ke Yan balik ke rumah mak?” soalku.
“Marahlah jugak.. pasal Yan tak nak jaga abang.. nasib baik ada Izan..” usiknya.
“Abang ni!” Aznil tertawa melihat aku mula merajuk.
“Boleh abang tahu kenapa Yan marah sangat pada dia?” soalnya. Aku menggeleng kepala. Biarlah itu menjadi rahsia kami berdua sahaja. Lagipun dia sudah pergi jauh dari hidupku.
“Tak apalah.. yang penting abang tetap setia pada Yan. Janganlah Yan bimbang..Kita bina hidup baru.. dengan baby yang bakal lahir ni, okey?” Aku angguk. Aku berjanji sendiri.. demi Aznil yang kucinta, demi rumahtangga kami yang sedang meniti bahagia ini.. aku tidak akan terburu-buru lagi dalam membuat pertimbangan. Terasa hidupku bermaya kembali, terima kasih mak, abah kerana menemukan Yan dengan suami sebaik ini!
“Yan sayang abang..” ucapku tulus….

SESUDAH solat subuh tadi Dian terus tidur. Lena sekali dia di peraduan, jadi aku malas nak ganggu dia. Setelah siap mengenakan uniform aku terus ke dapur. Biasalah.. uniform ladang.. kan ke aku ni peladang berjaya? Seperti biasa sejak beberapa bulan yang lalu dapur seolah sebati dengan aku. Mana taknya.. si Dian bila bau gulai aje uweeekk.. bila dengar minyak ditumis aje dah terbaring pening. Tak sangka pulak selepas dua bulan mengandung dia alah teruk. Kesian isteri aku.. sebagai suami yang baik aku kenalah sabar kan..
“Aznil.. buat apa tu?” Aku menoleh. Eh.. mak mertua aku rupanya.
“Ohh.. mak.. masuklah mak pintu tu tak kunci.. dari mana?” soalku sambil membukakan pintu yang memang tidak dikunci. Pagi tadi aku pergi membuang sampah yang tak sempat dibuang semalam. Sebelum mem kat dalam tu bising sampah penuh baik aku buang. Bukan takut bini tapi aku tahu memang sifat dia tak suka sampah dibiar bemalam-malam. Lagipun hidup sebagai suami isteri ni kenalah tolak ansur kan, tambahan pulak dia sedang mengandung tu.
“Dian mana?” soal mak sambil meletakkan seplastik buah nangka yang sudah dikupas.
“Tidur, mak sarapan sekali sini okey?” pelawaku. Mak Cuma tersenyum, bukan dia tak tahu sarapan bujang aje.. milo dengan roti. Itulah yang aku telan sejak Dian mengandung. Kalau malas nak buat air aku akan ke warung Pak Ali di simpang sana pekena kopi O dan nasi lemak Bedah Janda.
“Ni, mak ada bawakan lempeng pisang, makanlah,” wah.. wangi bau lempeng yang dipanggang di atas kuali membuka selera. Aku tersenyum. Bagus dapat mak mertua yang perihatin.
“Susah mak jer.. abah ke mana?” soalku bila melihat tiada pun kelibat bapa mertuaku.
“Dah ke bandar.. hantar anak si Leman Rongak tu masuk asrama.. makanlah kamu tu..mak nak jenguk tuan puteri kat dalam tu..” ujar mak dan bangun masuk ke dalam. Aku melihat hari di luar kian cerah. Alamak.. dah pukul 7.10.. segera aku capai kunci motor di atas peti sejuk. Takut tauke Mod dah datang menanti buah-buah belum siap. Semalam dah berjanji nak serahkan mangga harum manis sebanyak 10 bakul. Beginilah jadi peladang.. teringat kata-kata Izan tempoh hari. Aku akan susah kalau menolak ajakannya bekerja di syarikat abangnya. Tapi aku yakin, andai kita berbudi pada tanah, tekun dan gigih aku juga mampu menjadi usahawan berjaya. Mujurlah abah sering menyokong. Ramai juga yang terkejut dengan keputusan aku untuk menjadi petani dulu. Penat-penat belajar Kejuruteraan akhirnya memilih untuk tinggal di kampung. Tapi aku memikirkan siapa lagi yang akan menjaga ibu bapaku yang sudah tua. Tambahan pula tanah berekar-ekar tidak diusahakan. Baik aku buat sesuatu pada ladang mangga abah yang baru naik itu. Sekarang ini aku ada satu lagi perancangan. Tanah seluar 3 ekar di hujung kampung sana akan kutanam pelbagai spesis tanaman herba. Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan macam-macam lagi memang sudah sedia ada pada tanah terbiar itu. Yang selebihnya aku sudahpun berbincang dengan Osman, Pegawai Penyelidik di UPM, juga classmate aku semasa di PPP dulu.
Aku tiba di ladang dalam 10 minit sahaja. Kelihatan dua orang pembantuku Usin dan Ali sedang sibuk memetik buah mangga yang sudah matang. Dalam pukul sepuluh nanti Tauke Mod akan mengambil hasil ladang abah ini.
“Bang, kat ujung sana tu dah ada tiga bakul..” beritahu Ali sewaktu aku merapatinya. Aku mengangguk.
“Pilih buah-buah yang elok sikit Ali, yang sebelah sana tu jangan petik lagi.. habiskan yang sebelah sini dulu, okey?” Ali mengangguk faham. Aku menuju semula ke motor setelah melihat semuanya berjalan lancar. Kemudian aku menghala pula ke arah sekolah. Kolam-kolam udang harimau dan ikan keli aku pun kena jenguk juga. Kadang-kadang macam YB pulak aku ni.. ke hulu ke hilir. Tapi nak buat macammana, adik-beradik lain memang tak berminat untuk tinggal di kampung, apatah lagi nak mengusahakan ladang-ladang dan kolam macam aku. Mujurlah aku dikurniakan seorang isteri yang tak kisah, sanggup bersama-sama hidup di kampung ni, menyimpan Diploma Sains Kesetiausahaannya di rumah, macam aku jugak!
Bercakap pasal si Dian.. memang susah untuk aku memahaminya. Iyelah.. kawin pun pilihan keluarga. Perasaan cinta tu mekar bila dah masuk ke alam rumahtangga.. lagipun, Dian nie suka menyimpan perasaan, mulut kata tak suka, dalam hati kata sayang.. Depan kita berlagak tak ada apa-apa.. belakang kita menangis bagai nak runtuh jealousnya.. Tapi yang specialnya, Dian seorang isteri yang baik, anak yang patuh pada orang tua..Cuma kadang-kadang tu suka jugak tunjuk protesnya... tapi yang pasti aku tahu dia teramat-amat menyayangi aku. Aku tahu dia bimbang aku menduakannya.. satu perkara yang aku rasa semua perempuan di dunia ini takuti. Memang aku seorang yang happy go lucky, mudah mesra, tambahan pulak dikurniakan wajah yang agak memuaskan, ramai jugaklah admirers. Ahh… perempuan.. kadang-kadang sensitif sangat.. aku bergurau nak tackle Mak Siah Sanggul Tinggi tu pun boleh satu hari suntuk mogok lapar. Takkan la aku nak pegi tackle Mak Siah yang dah masuk 50 tahun tu..
“Ala.. Mak Siah tu kan ada ilmu..” Aku tertawa bila Yan mula buat muka.
“Abang main-main aje la..”
“Ah! Main-main apa.. tu hari-hari Mak Siah tu telefon tau! Mana Yan tak geram dengan abang tu!” Yan menarik muka masam. Kain yang sedang dilipatnya dicampak ke tepi. Huyyoo.. marah betullah tu..
“Ala.. dia telefon nak tanya khabar.. tak salah kan?” soalku.
“Abang kan tahu dia tu pantang orang layan, tak kira tua muda.. dulu abah tu pun kena macam tu jugak bila abah tumpangkan dia ke bandar.. “ Heh.. pak mertua aku pun kena jugak?
“Iyelah.. tapi kan Yan.. abang tengok Mak Siah tu lawa apa.. pinggang ramping.. peh.. cun lagi la.. tak nampak umur dah dekat lima puluh..” sengaja aku menyakatnya.
“Abang ni! Malaslah nak layan!” dan aku Cuma tertawa bila dia bersusah payah bangun membawa perutnya masuk ke bilik.
Aku melawat dari sebuah kolam ke sebuah kolam. Alhamdulillah.. sejak Dian mengandung rezeki kami begitu murah. Agaknya inilah dia rezeki anak yang bakal lahir nanti. Kalau tak silap dalam tiga minggu lagi aku akan bergelar bapa. Si Dian pun nampaknya dah sarat benar. Berdebar-debar juga hati ini menanti kehadiran orang baru.
“Abang, ada call!” Teriak Rusiah. Ak u segera berlari ke bangsal. Telefon bimbit bertukar tangan.
“Hello,”
“Hello Nil,” Errkk.. aku terkedu.
“Izan.. ada apa U call I?” soalku. Sejak peristiwa itu terjadi lapan bulan yang lalu dia menyepikan diri. Aku pun sudah menutup mulut rapat daripada menyebut namanya di depan Yan. Aku kesiankan Izan tapi dalam masa yang sama aku menyayangi Dian. Aku tak mahu hatinya terguris.
“Boleh.. boleh I jumpa you?” soalnya. Aku mengeluh lemah. Bukan aku tak teringin nak jumpa tapi.. bagaimana kalau Dian merajuk lagi?
“I perlu jumpa you.. please..” rayunya.
“Izan.. I sibuk sekarang..” aku cuba memberi alasan.
“Nil.. Cuma you yang boleh tolong I sekarang.. please.. I perlu jumpa you.. esok I tunggu you kat Rest House..”
“Tapi Izan..” Talian sudah diputuskan. Alamak.. macammana ni?

YAN sedang menonton tv sewaktu aku pulang tengah hari. Di atas meja, hidangan tengah hari sudah disaji. Tentu mak mertua aku yang masak tadi. Aku masuk dan menghampiri Dian yang kian berseri-seri.
“Ishhh… abang nie berapa kali Yan pesan.. mandilah dulu.. busuk!” Aku Cuma tersenyum. Marah betul dia bila aku sengaja memeluknya dengan uniform kebunku ini.
“Ohh.. busuk ye?.. busuk-busuk ni la jugak yang tolong picit kaki tu malam-malam.. “ Dian Cuma tersengih dan mencubit pipiku.
“Cepatlah mandi.. Yan dah lapar..” pintanya sambil menggosok perut yang membesar.
“Ohh.. masak tak nak.. makan laju jer..”
“Kang Yan makan habiskan semua lauk-lauk tu nanti baru tahu..” ugutnya.
“Okey-okey.. abang mandi sekarang..” Melangkah ke kamar aku terasa macam duduk dalam kedai kain. Seluruh bilik terbias warna pink, warna yang paling aku tak suka. Kenapa la dalam banyak-banyak warna warna merah jambu yang dipilihnya? Cadar pink, langsir pink, carpet pink.. aduiii pening kepala aku. Tapi kerana sayangkan isteri aku buat-buat tak nampak aje la. Orang kata kalau warna-warna lembut macam tu mungkin anak perempuan. Si Dian pulak aku lihat berseri semacam ajer.. makin lama makin cantik pulak walaupun perut dia tu macam belon udara. Selesai mandi dan sembahyang aku segera menyarung T Shirt dan seluar pendek. Isteri aku ni sejak mengandung bukan main manja. Tapi tak apa.. aku sayangkan dia jadi aku akan buat apa saja asalkan dia bahagia.
“Mak dah balik ke?” soalku sambil mengambil pinggan yang sudah berisi nasi.
“Dah.. lepas masak tadi abah ambil.. abang, “ Dian mengetab bibir.
“Kenapa?” soalku sambil mengusap kepalanya.
“Yan nak makan buah nangka,”
“Aikk.. tadi kan mak bawak nangka..” soalku.
“Yan nak nangka berbuah sulung..” Astaga.. aku tersenyum. Dia dah start dah nak benda-benda ajaib di dunia!
“Cari la bang.. ye? Abang cari ye?” pujuknya. Aku menggeleng kepala dan terus menyuap nasi. Dulu, semasa 4 bulan dia mengandung tiba-tiba saja tekaknya tu gatal nak makan telur ikan baung Sungai Tembeling. Tak boleh ditipu-tipu pulak tu.. tahu dia bila aku bawa balik ikan baung sungai belakang tu. Sudahnya.. berhari-hari juga aku pergi mengikut Abang Seman ke Sungai Tembeling. Masuk bulan ke 7, tak pernah-pernah makan buah kabung, nak makan buah kabung. Nasib baik pokok kabung banyak kat sempadan kebun, kalau tidak.. yang lagi best sewaktu kandungannya mencecah lapan bulan, dia mengidam nak makan gulai pisang udang muda sisir tujuh. Macam nak gila aku membelek satu-satu pokok pisang yang ada sisir tujuh. Dah ni nak buah nangka sulung pulak..
“Abang.. carikan la untuk Yan..” pintanya lagi. Nasi sedari tadi tidak dijamahnya.
“Buah nangka je ke? Buah kelapa beranak sulung tak nak?” soalku mengusik.
“Abang ni!” dia dah mula menarik muncung, membuatkan dia semakin cantik.
“Mana la abang nak cari Yan.. kalau pokok mangga ke.. pokok jambu madu ke boleh jugak abang teka-teka buah sulung ke tidak.. ni pokok nangka.. aduii…” keluhku sambil menggaru kepala.
“Abang tu memang tak sayang Yan!” Dia menolak pinggan dan masuk ke dalam. Hmm.. itulah kerjanya.. merajuk merajuk merajuk.
“Wooii… mak buyung! Rugi tau tak makan masak lemak cili api nie.. pehh.. best betul.. cepat la sayang.. ssedapnye… ikan keli nie..”
“Tak payah.. biar la Yan tak makan..” Aik… menjawab!
“Huhh… ni kerabu kantan ni.. pehh!! Best giler.. ruginya orang merajuk…” Senyap.. alamak.. merajuk betul ke? Aku mengangkat pinggan menyusulinya yang duduk di kerusi di anjung rumah.
“Tengok ni sedapnya.. makanlah sikit..” pujukku.
“Abang tu memang tak sayangkan Yan..” ujarnya sambil mengesat pipi. Aikk.. menangis?? Aku tergelak.
“apa gelak-gelak?” soalnya geram.
“Sian isteri abang.. iye la.. iye la abang carikan.. nah makan,” aku menyua sesuap nasi membuatkan dia tertawa.
“Abang ingat Yan nie tak boleh suap sendiri ye?” soalnya, tapi menganga jugak. Ceh!
“Satu ni je.. selebihnya ambilah sendiri kat dapur!” jawabku selamba.
“Apa? Ohhh??” Segera dia mencubit lenganku membuatkan aku terjerit kecil.
“Kang abang tak cari nangka kang..” ugutku bila cubitan tak henti-henti hinggap di lengan dan badan.
“Jahat abang ni..” dia tersenyum.
“Abang cari.. insyaAllah.. kat rumah Mak Cik Siah pun abang sanggup cari..” usikku lagi.
“Abang ni!” Dan aku Cuma tertawa bila dia menghala penumbuk tanda amaran. Dian.. dian..Ring! Ring! Deringan telefon mengganggu suasana harmoni yang baru tercipta. Aku segera meninggalkan pinggan di situ dan menjawab panggilan.
“Hello..”
“Nil.. I ni..” Izan? Aku terasa seperti bala nak tiba bila mendengar suara itu.
“I need to see you.. please..” rayunya.
“Err..”
“Siapa tu bang?” soalan dari Dian membuatkan aku menggaru kepala.
“Okey I datang sekarang..” Gagang kuletak. Dian sedang menyambung makan nasiku memandang hairan.
“Siapa? Mak?” soalnya. Aku menggeleng kepala. Perlukah aku berterus terang dengan Dian? Terbayang-bayang peristiwa beberapa bulan yang lalu. Aku tahu hatinya terluka dengan layanan-layanan Izan. Perempuan.. mana boleh lari dari sifat cemburu? Kasihan Izan.. dia langsung tak bersalah apa-apa.. Cuma hati Yan yang berprasangka bukan-bukan. Aku tak tahu bila Izan pergi. Tapi bila mak cerita yang abah memintanya supaya jangan menjadi racun dalam rumahtanggaku dan Dian, dia akur. Dan, tak pasal-pasal pulak aku kena brainwash dengan abah bila dengar cerita si Dian dah nekad nak ke Kuala Lumpur. Kenapalah tiba-tiba semua orang menyalahkan Izan? Hakikatnya aku kenal Izan.. kami dah rapat sejak di Jepun lagi. Wajah Dian yang kemerahan itu kutatap.
“Kenapa ni bang?” soalnya lembut. Aku Cuma tersenyum.
“Abang nak keluar ke bandar kejap.. Yan duduk kat rumah ok?” Aku mengucup dahinya sebelum bergegas keluar..

IZAN senyum melihat kedatanganku. Segera dia masuk ke dalam Kembara dan kami memecut laju menghala ke arah Kuala Lipis. Aku tak boleh sembarangan jumpa Izan di bandar ini. Mati aku kalau orang nampak.
“Sorry kalau I susahkan you Nil.. tapi I tak ada choice lain..” pintanya sambil memandangku. Apa sudah jadi dengan dia? Badannya yang kecil itu kelihatan cengkung.
“Tak apa.. tapi you kena paham la.. I tak boleh lama-lama sangat jumpa you ni.. Dian tinggal seorang di rumah..” ujarku sambil memberi signal ke kiri bila kami tiba di Jeram Besu. Izan Cuma tunduk dan melepaskan keluhan. Aku mengajaknya turun dan minum di gerai yang terdapat di situ. Hari khamis begini tak ramai pengunjung yang datang.
“Kenapa you nak jumpa I?” soalku sambil merenungnya tunak. Izan menarik nafas resah.
“You mesti tolong i.. Cuma you jer yang boleh tolong I,”
“Ceritalah.. kalau dapat I tolong, I akan tolong..” aku cuba memberi jaminan.
“Kahwini I ..” Kata-kata yang lahir dari mulut Izan itu membuatkan aku ternganga..


DIAN seperti biasa, selepas mandi dan sembahyang dia akan menyediakan segelas milo panas untukku dan kami akan duduk berbual di anjung rumah, melihat keindahan malam yang ditaburi beribu bintang. Waktu inilah kami akan berbual-bual dengan anak kami, dan sesekali Dian akan tergelak kecil sambil menahan sakit bila anak kami menendang perutnya.
“Abang, kalau terjadi apa-apa pada Yan nanti.. abang kawin lain tak?” soalnya.
“Hishhh.. apa pulak fikir macam tu..” cepat aku memotong sambil merenungnya.
“Yan… Yan takutlah bang.. orang kata bersalin ni antara hidup dan mati..” aku tersenyum dan menggenggam tangannya.
“Janganlah fikir yang bukan-bukan..” aku meneguk milonya yang sedap.
“Abang sayang Yan tak?” soalnya sambil memandangku.
“tentulah..” jawabku ikhlas.
“Kalau abang sayang, jangan sia-siakan kepercayaan Yan pada abang selama ini,” pintanya. Aku mengangguk dan tersenyum.
“Yan dah lewat nie.. pergi masuk tidur dulu, abang masuk kejap lagi, okey?” Yan mengangguk dan masuk ke dalam. Aku menatap wajah bulan yang dipagari bintang. Dilemma betul aku sekarang ini. Terngiang-ngiang permintaan Izan siang tadi. Adui.. tak ditolong, dia sahabat baik yang pernah berjasa pada aku. Tapi, takkan kerana itu aku harus mengecewakan Dian..
“I .. i tak dapat tolong you Izan..”
“Tolonglah Nil.. i tahu ini berat untuk you tapi i tak ada cara lain..”
“Kenapa sebelum perkara ni terjadi you tak fikir panjang?” Izan menangis tersedu-sedu.
“Cuma you yang I yakin boleh solve problem I ni.. please Nil..” rayuannya membuntukan fikiranku. Terbayang wajah Izan yang manis itu. Aku pun tak sangka aku boleh menjadi teman rapatnya. Lima tahun kami berkawan, banyak sangat jasa dia pada aku. Waktu aku kesempitan duit dialah tempat aku mengadu. Maklumlah anak tunggal.. bapa pegawai tinggi kerajaan, ibu pula seorang pakar pemakanan..Di kala assignment aku mengejar dateline dialah teman berbincang, sanggup berjaga hingga ke subuh membantu apa-apa yang patut.. dah paling tak dapat kulupakan sewaktu aku kemalangan di Jepun dulu, dialah yang mendermakan darahnya demi menyelamatkan nyawaku. Manakan mungkin aku melupakan jasa-jasanya itu. Aku tahu masalahnya kali ini berat.. tapi Izan, aku lebih menyayangi isteriku. Mustahil aku melukai hatinya demi menyelamatkan dirimu.

MENTARI bersinar terang membias jalur-jalur cahaya di permukaan kolam. Kelihatan anak-anak keli yang berusia dua bulan kelihatan berebut-rebut mengisi perut bila makanan ditabur ke dalam kolam. Aku mencampakkan lagi makanan berzat untuk ikan-ikan peliharaanku ini. Kolam di hujung sana sudah diuruskan oleh Man. Kadang-kadang aku berbangga juga dengan hasil usahaku ini. Selain dapat menjaga mak dan abah yang sudah tua, aku juga membantu mengisi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda di kampung ini. Daripada melepak tak tentu hala ada baiknya mereka membantu aku mengusahakan ladang dan kolam. Malah.. aku juga galakkan mereka turut membuka kolam sendiri. Tanah-tanah bendang yang kosong dulu boleh diusahakan projek tanaman pisang. Alhamdulillah.. nampaknya ramai juga yang mengikut jejak langkah aku.
Titisan-titisan embun masih basah di hujung kelopak daun. Aku duduk di atas pelantar sambil berjuntai melihat ikan-ikan yang meriak kelaparan. Permintaan Izan petang semalam benar-benar mengusutkan fikiran. Kalau dari segi duit memang aku boleh tolong, tapi dia meminta aku mengahwininya. Gila!
“Abang.. telefon..” Rusiah sudah tercegat di belakangku dengan handset di tangannya.
“Siapa telefon?” soalku.
“Perempuan..” Hmm.. dah sah dia.
“Cakap abang tak ada.. dah.. jangan kacau abang!” pintaku dan terus meninggalkan Rusiah yang terpinga-pinga. Aku segera menuju ke arah Kembaraku. Tolonglah Izan jangan ganggu aku dengan permintaan paling mengarut itu!
“Abang!” MasyaAllah! Rusiah tersengih melihat aku terkejut berruk.
“Ada apa lagi?” soalku.
“Telefon.. kakak telefon..” ohh.. segera aku mengambil telefon dari Rusiah.
“Abang.. kat mana tu?”
“Abang kat kolam nie.. kenapa? Yan okey ke?” soalku.
“Abang dah lupa ye.. hari ni kan Yan ada appointment dengan doktor..” Alamak! Aku menepuk dahi. Macammanalah aku boleh lupa..padahal tarikh-tarikh temujanji dengan doktor memang dalam kepala.
“Sorrylah sayang.. abang lupa betul.. okey.. abang balik sekarang..” Aku segera melarikan Kembaraku. Tiba di halaman rumah kelihatan Dian sudah siap, memakai baju pregnant warna oren lembut dan tudung dari warna yang sama. Aku segera turun dan mendapatkannya.
“Abang tukar baju dulu, okey?” Dian Cuma menggeleng kepala melihat aku kelam kabut masuk ke rumah. Selesai menyarung T Shirt dan Jeans, aku bergegas mengunci pintu. Tangan isteri kupimpin ke kereta.
“Bang.. abang ni Yan tengok sejak semalam tak senang duduk jer.. kenapa?” soalan Dian kusambut dengan senyuman.
“Tak ada apa.. biasa jer.. penat sikit kot..” aku cuba memberi alasan yang terbaik.
“Abang marah Yan ye?” soalnya lagi sambil memegang sebelah tanganku.
“Marah? Kenapa?” soalku hairan.
“Pasal buah nangka hari tu..” MasyaAllah!!! Sebut pasal nangka aku terlupa yang hajat isteriku itu belum tertunai lagi.
“Yan.. sorry la.. abang terlupa pasal nangka tu.. nanti balik nanti abang pergi cari ye?” pintaku. Yan senyum.
“Tapi jangan cari rumah Mak Cik Siah tau bang.. “ sempat lagi dia berpesan. Aku Cuma tertawa. Dia melontar pandangan keluar. Kadang-kadang aku kesian tengok dia. Pertama, muda-muda lagi dah kena kawin dengan aku. Hehehe.. kelakar bila mengenangkan peristiwa-peristiwa lucu sebelum kawin dulu. Aku pun terkejut juga bila mak dan abah menyatakan hasrat untuk melamar Dian. Iyelah.. sebab aku tahu Dian memang tak sukakan aku jadi bimbang nanti mak dan abah kecewa. Tapi, tak sangka pinanganku diterima. Sebenarnya aku memang sukakan dia. Garangnya memang tak siapa boleh lawan.. lagi la aku suka mengusik. Aku suka bila dia marah.. nampak lebih cantik, lebih terserlah kecunnannya itu.
“Abang.. berangan ye?” sapanya membuatkan aku tersenyum. Selepas meletakkan kereta di hadapan klinik aku menemaninya masuk. Sementara menanti giliran aku membaca beberapa brosur yang disusun kemas di situ. Ramai juga yang datang mendapatkan perkhidmatan dari Doktor Hamidah ini.
“Bang.. Yan nak pegi toilet kejap..kalau sampai turn Yan nanti abang panggil ye?” Aku bangun dan memimpinnya ke toilet walaupun dia melarang. Sejak akhir-akhir ini aku lihat Yan kurang bermaya. Mungkin kerana kandungan yang kian sarat.
“Dah la tu bang.. takkan nak masuk sama pulak..” cubitan halus hinggap di perut membuatkan aku tergelak kecil. Yan menjeling geram, ala.. saja nak mengusik.. Aku memandang sekeliling sambil membaca apa yang tertampal di board di depan aku. Tetapi tiba-tiba seorang perempuan bertubuh kecil yang sedang mengambil ubat di kaunter menarik perhatianku. Izan? Segera aku menghampirinya.
“Izan,” Izan menoleh dan tersenyum.
“Berapa bil dia?” soalku sambil mengeluarkan wallet.
“Tak pe Nil, tak pe.. I boleh bayar..” Izan menolak bila aku menghulurkan not lima puluh kepada gadis penjaga kaunter.
“Tak apa dik, abang bayar..” aku terus menghulur dan gadis itu menyambut. Izan mengeluh lemah.
“I ni tak habis-habis menyusahkan you.. you buat apa kat sini?” soalnya.
“I.. I hantar Dian, dia kata dia kurang sihat..” jawabku. Izan mengangguk.
“Tak apalah.. I pergi dulu..” Izan cepat-cepat beredar. Aku menggeleng kepala.
“Puan Diana Adurah!” ops! Aku berpatah untuk ke toilet tapi Yan sudah pun menghampiriku. Kami sama-sama masuk ke dalam bilik. Doktor Hamidah tersenyum melihat kehadiran kami.
“Baby okey? Aktif tak?” soal Doktor Hamidah sambil mengambil tekanan darah Yan.
“Hmm… aktif sangat doktor.. especially bila abah dia bacakan apa-apa surah..” jawab Yan sambil tersenyum memandangku. Tiba-tiba pintu bilik diketuk. Gadis di kaunter bayaran tadi masuk.
“Encik, ini balance duit tadi..” dia menghulurkan sekeping not sepuluh ringgit kepadaku.
“Eh.. abang bayarkan untuk siapa?” soal Dian membuatkan aku menelan air liur.
“Adik silap orang tak?” soal Dian.
“Tak.. betul.. encik ni yang tolong bayarkan untuk perempuan yang masuk sebelum ni..” ujar gadis itu bersungguh-sungguh. Aku tersenyum dan menyambut huluran itu.
“Siapa punya bil Maya?”
“Err.. Nor Azizan Arifin, “ My God! Wajah Dian dah berubah.
“Ohh.. patient sebelum you masuk, Dian.. kesian.. dia demam kuat,” Doktor Hamidah bercerita. Aku menjeling ke arah Dian yang sudah membatu.
“Key.. Dian… semalam call nak scan baby.. boleh la tau baby boy or girl..” Doktor Hamidah tersenyum dan berjalan ke katil.
“Dian, come..” Aku memujuknya lembut tapi dia langsung tak bergerak. Dian bangun, tapi menuju ke arah pintu.
“Tak apa la doktor.. tak payah tahu pun tak apa.. “
“Tapi I belum habis check you..” belum sempat ayat itu habis Dian sudah keluar dari bilik. Aku menepuk dahi beberapa kali sementara Doktor Hamidah memandangku penuh tanda tanya…


“YAN.. nah.. ni nangka yang Yan nak hari tu kan.. abang dah carikan..” aku menghulur sepiring buah nangka yang masak kepadanya. Dian tidak menjawab. Matanya masih tajam merenung rancangan sukan di kaca tv walaupun aku tahu dia tak berapa suka menonton sukan. Aku menggaru kepala. Alamak.. apa cara lagi aku nak memujuk dia ni? Dah dua hari mogok macam ni…
“Err… apa kata kita plan nama anak kita, nak?” Aku merapatinya tapi cepat-cepat dia beralih tempat.
“Emm.. Yan.. hari tu Yan kata baju baby tak cukup.. jom kita keluar pergi beli..” usulku walaupun aku tahu itu satu cadangan yang bodoh. Mana ada kedai yang buka lagi dah lewat pukul 11.00 sekarang nie..
“Yan.. Yan kenapa ni? Cuba cakap dengan abang apa lagi yang tak kena?” soalku tapi Dian tetap membisu. Aku mencapai remote tv dan switch off. Dian kuhampiri.
“Yan.. pandang abang,” Dian makin menoleh ke arah dinding bila aku menatapnya lama.
“Okey.. abang rasa kita perlu berbincang…” tegasku.
“Cakap, apa salah abang?” soalku.
“Jangan pura-puralah bang! Takkan abang tak tahu lagi?” soal Dian.
“Abang tanya Dian dengan elok, tolong jawab dengan elok..” pintaku bila Dian mula meninggikan suara.
“Abang dah berjanji dengan Yan, abang takkan ada apa-apa hubungan lagi dengan dia.. tapi di klinik kelmarin tu apa?” soalnya.
“Yan tak yakin dengan abang ke? Izan tu kawan abang, abang dah lama kenal dia.. salah ke abang menolong dia?” soalku.
“Tapi abang dah berjanji dengan Yan,”
“Kenapa Yan ni cemburu sangat?” soalku akhirnya. Tension dengan kerenahnya yang mengada-ngada.
“Cemburu Yan bertempat bang.. dia pernah cuba merampas abang dari Yan, wajar Yan cemburu, curiga.. kenapa dia mesti datang lagi ke sini? Untuk apa? Kerana abang kan?” Dian merenungku dengan air mata yang sudah berlinangan.
“Apa bukti yang dia mencintai abang?” soalku. Dian terdiam.
“Kenapa diam? Abang rasa Yan sangat memahami abang. Okey.. memang abang rapat dengan Izan, tapi tak lebih dari seorang kawan. Tapi, kerana cemburu Yan tu dia terpaksa pergi. Abang pun pelik dengan Yan nie.. apa salah Izan tu pun abang tak tahu..” aku mengurut dahi.
“Abang ingat tak abang kata kat Yan dulu? Abang kata abang tak tahu dia cintakan abang selama ni.. “
“Itu kerana abang tak mahu Yan berprasangka buruk pada hubungan kami,” Yan merenungku lama.
“Abang, kerana Dian tak mahu abang membenci dia Yan tak pernah beritahu kenapa.. tapi sebagai isteri, dia dah melampaui batas.. dia mencabar kedudukan Yan, priority Yan sebagai isteri abang..” Dian bangun dan menuju ke bilik. Aku Cuma memandang langkah beratnya dengan penuh kesalan. ..



“KENAPA you tak beritahu I you demam?” soalku. Izan Cuma tersenyum sambil menghirup kopi panas.
“Tak mengamuk ke isteri you tu kalau dia tahu you jumpa I nie?” soal Izan memerli. Aku senyum.
“Dian bukan begitu orangnya.. “ aku cuba membela imej Dian. Izan senyum lagi.
“I kenal you dah lama.. dan I boleh beza apa yang you cakap tu benar atau salah..” sekali lagi aku terpukul dengan sindiran Izan.
“You dah cakap dengan dia?” soalnya. Aku menarik nafas kemudian menggeleng kepala.
“Kita ke sempadan je Nil..” Izan memegang tanganku.
“Izan.. you jangan buat kerja gila..” pintaku sambil melepaskan pegangannya. Izan mengeluh sambil memicit dahinya.
“Kalau you tak tolong I matilah I Nil..” pintanya sambil mengesat pipi yang mulai basah.
“Kalau I kawin dengan you boleh solve ke problem you?” soalku. Izan mengangkat bahu.
“Sekurang-kurangnya I ada someone yang boleh I percayai..” jawabnya.
“And then?” Izan senyum sahaja bila aku bertanya begitu.
“Kita ikhtiarkan cara lain.. okey?” pujukku.
“Cara apa?” soal Izan sambil tertawa kecil. Pandangannya dilontar keluar.
“I tak mahu melukakan Dian.. tak adil bagi I kalau I buat macam you suggest ni..” aku cuba menerangkan kepadanya.
“Atau you takut bini?” soal Izan lagi.
“Bukan soal takut atau sebaliknya Izan.. I kawin bukan suka-suka.. I cintakan dia.. dan I hormati pendirian dia. Lagipun selama ini kami bahagia.. perkahwinan bukan permainan bagi I, bukan pertaruhan atau perjanjian untuk menyelamatkan diri..” Izan menjelingku.
“I bukan nak harta you Nil.. dan I bukan nak gugat kedudukan Dian sebagai first wife.. I Cuma perlukan you.. to be my protector..” jawabnya.
“Kalau benar you anggap I sebagai kawan baik you, tolonglah Nil.. “ pintanya lagi. Dan aku Cuma mampu mengeluh seperlahan yang mungkin…


“ABANG memang jumpa dia..” kataku akhirnya. Dian yang sedang merenungku menarik nafas berat.
“Jadi, betullah apa yang Fina beritahu Yan..” Aku mengangguk. Tak perlu lagi aku nak berselindung. Lagipun perkara yang benar.
“Kalau begitu.. tak perlulah Yan tanya apa-apa lagi..” Dian mengesat pipinya yang basah. Aku mengeluh dan duduk disisinya.
“Yan tak mahu dengar penjelasan abang?” Dian menggeleng kepala.
“Tapi abang perlu jelaskan pada Yan sesuatu mengenai Izan..”
“Tak perlu, Yan memang tak akan faham.. sebab abang lebih kenal dia dari Yan. Malah abang terlebih dulu berkawan dengan dia sebelum berkahwin dengan Yan.. abang tersilap kerana memilih Yan..” ujarnya.
“Yan.. janganlah cakap macam tu.. Izan lain.. Yan lain.. abang tak pernah membandingkan Yan dengan dia..” pujukku lembut.
“Sudahlah.. terpulanglah pada abang.. fikirkanlah masak-masak tentang perkahwinan kita nie.. tentang anak abang ni.. “ Dian memandangku lama. Aku tunduk. Tak terniat langsung untuk aku melukakan hatinya, jauh sekali membuatkannya menangis.
“Yan.. Izan dalam kesusahan sekarang.. dia perlukan bantuan abang..”
“Sudahlah bang.. Yan dah cakap, Yan tak nak dengar apa-apa lagi..” Dian bangun dan masuk ke bilik. Aduii.. buntunya fikiran aku! Aku segera mencapai kunci motor. Lebih baik aku mencari ketenangan dahulu. Antara Dian dan Izan sama pentingnya. Bukan suka-suka Izan mahu aku mengahwininya.. dia meminta pertolongan dan wajar bagi aku untuk membantunya. Tapi kenapa Dian tak mahu mengerti?
“Kau nie.. sama ada gila atau hilang akal.. “ Abah menggeleng kepala. Aku tersenyum.
“Kenapa pulak abah cakap Nil macam tu?” soalku.
“Buat apa lagi kau jumpa perempuan tu?” Alamak.. aku tidak jadi meneguk nescafe panas yang emak buat.
“Dia ada masalah mak, abah.. bukan suka-suka dia nak datang cari Nil..” aku cuba menegakkan kebenaran.
“Apa masalah dia sampai sanggup datang ke sini?” soal abah.
“Dia dah guna duit syarikat tempat dia kerja tu. Orang yang ada bahan bukti tu ugut dia, kalau dia tak mahu dibawa ke balai dia mesti jadi isteri orang tu..” ujarku.
“Jadi?”
“Jadi.. dia minta Nil kawin dengan dia..” mendengar jawapanku itu abah dan mak berpandangan.
“Nil.. kalau nak percayakan orang janganlah sampai ke tahap paling tak logik..” abah menggeleng kepala.
“Tapi bah.. Nil terhutang budi pada Izan, dia pernah selamatkan nyawa Nil dulu.. jadi..”
“Jadi untuk membalas budi kau kena jadi suami dia?” soal abah pantas. Mak menarik kerusi dan duduk di sebelahku.
“Nil, perkahwinan bukan semudah yang disangka. Kau tak kesian ke pada Yan? Apa dosa dia sampai kau sanggup lukakan hati dia?”
“Mak.. Nil sayangkan Yan.. bukan Nil dah berpaling arah atau sebagainya. Tapi Izan kawan Nil. Pada siapa lagi dia nak minta tolong kalau bukan Nil?” soalku kembali.
“Sampai kau sanggup mengorbankan rumahtangga kau?” soal abah. Aku mengeluh.
“Jangan ingat perkara ni main-main Aznil. Ini berkaitan dengan agama, tanggungjawab, keadilan.. “ sambung abah lagi.
“Abah tahu Izan ada berniat tak baik pada kau dan Dian.. abah tak mahu kata apa-apa.. hal ini abah nampak dengan mata abah sendiri, dan Yan juga nampak..”
“Apa maksud abah? Abah pun sama macam Yan..”
“Aznil.. kalau benar Izan tu perempuan baik-baik, dia tak akan ganggu rumahtangga orang.. takkan semata-mata nak elak dari masalah dia , kau yang dipilih untuk menjadi penyelamat… sedangkan rumahtangga kau bergoncang.. itu mementingkan diri sendiri namanya.. jangan gunakan keistimewaan berkahwin lebih dari satu tu untuk merosakkan kebahagiaan yang kau kecapi sekarang ni Nil..“ Aduiii.. kusut fikiran aku.
“Dengar nasihat abah dan mak ni Nil.. “ Aku mengangguk akur.
“Tak apalah mak, abah.. Nil balik dulu..” aku menyalami abah dan mak sebelum keluar dari rumah..



DIAN memegang tanganku erat. Perlahan-lahan dia meletakkan kepalanya ke ribaanku. Aku kaku di kerusi, tambahan pula berdepan dengan mak, abah, mak mertua, pak mertua dan adik-adik iparku yang telah lama sampai tadi. Suasana malam itu benar-benar hening.
“Abang.. Yan tahu abang sangat-sangat percayakan Izan. Yan tahu abang amat menghormatinya sebagai kawan…” Aku menarik nafas.
“Tadi pun Izan datang sini jumpa Yan..” Apa?
“Bila dia datang?” soalku cepat.
“Abang.. sebagai seorang isteri, Yan sedar sekarang.. bukan senang nak membahagiakan seorang suami. Yan tahu abang tersepit antara perasaan Yan dan antara simpati abang pada seorang kawan..” Dian merenungku dengan mata yang berkaca-kaca.
“Kalau la menolong Izan dapat memberi kepuasan abang sebagai seorang kawan dan melaksanakan tanggungjawab pada seorang kawan.... Yan izinkan abang berkahwin dengan dia,” Aku ternganga menatap wajah lembut Dian. Apa sudah jadi pada isteriku?
“Yan.. abang tak mahu melukakan hati Yan.. sebab Yan tak pernah melukai hati abang..” balasku segera. Mak dan mak mertua aku saling berpandangan. Mungkin tak percaya apa yang Dian katakan agaknya. Aku sendiri tak percaya dengan apa yang aku dengar tadi.
“Yan.. Yan dah fikir masak masak ke?” soal mak aku.
“Dah mak.. tahap paling tinggi seorang isteri apabila dia dapat membahagiakan suaminya.. Yan tahu bermadu itu memang pahit.. tapi lebih pahit kalau Yan gagal menggembirakan abang..” Aku lihat ke dalam matanya. Dian.. oh Dian.. Mak dan mak mertuaku turut mengalirkan airmata terharu.
“Yan.. abang Cuma cintakan Yan seorang saja.. Cuma Yan di hati abang..” bisikku ke telinganya. Dian mengangguk.
“Yan tahu.. demi cinta Yan pada abang.. Yan izinkan..” Dian senyum sambil mengesat airmatanya.
“Tapi Yan nak minta izin abang..” aku angguk.
“Yan nak balik rumah mak sehari dua ni.. lagipun Yan rasa tak sedap badan.. sementara abang uruskan perkahwinan abang.. biarlah Yan balik rumah mak..” Airmatanya terjun laju melafazkan ayat-ayat itu membuatkan hatiku benar-benar tersentuh. Ya Allah.. betapa mulianya hati isteriku ini!!
“Nanti abang hantarkan Yan..”
“Tak payah.. Yan nak balik dengan abah jer.. nanti bila senang.. abang telefonlah Yan..” pintanya sambil mengucup tanganku. Fina segera mendapatkan alongnya yang berusaha bangun untuk berdiri. Sambil mengesat pipinya yang basah Fina sempat memeluk kakaknya erat.
“Yan.. “ aku bangun dan meraihnya ke dalam pelukan. Kami beriringan menuju keluar rumah diekori kedua mertuaku.
“Yan minta abang jangan ketepikan Yan nanti, Yan tahu susah nak berlaku adil tapi abang jangan abaikan anak kita nanti..” Aku tak tahu apa yang harus kukatakan. Yang mampu aku buat hanya memeluknya buat kali terakhir sebelum dia masuk ke dalam van.
“Abah balik dulu Nil, fikirlah masak-masak..” bapa mertuaku menepuk bahuku lembut. Aku angguk. Enjin van dihidupkan dan aku menghantar mereka dengan ekor mata sehingga van itu hilang di balik selekoh.
“Nil,” Abah berdiri di belakangku.
“Jangan sampai kau hilang permata yang kau genggam dalam tangan..” kata-kata abah penuh bermakna itu membuatkan aku terfikir sesuatu..


IZAN tersenyum sambil membetulkan selendang yang sedang menutupi kepalanya. Sesekali dia membetulkan butang baju melayuku. Aku menatap wajahnya lama sebelum turun dari kereta.
“Izan.. “ Izan senyum sambil mengangkat kening.
“I janji I akan jumpa Yan dan ucapkan terima kasih..” dia memegang tanganku.
“I janji akan jadi isteri yang baik untuk you..” sambungnya lagi.
“Izan, sebenarnya.. I dah fikir masak-masak.. I tak boleh mengahwini you..”
“Aznil!” Izan merenungku lama.
“Sorry Izan.. memang I berhak kawin lagi. Tapi I sangat-sangat mencintai Dian. I boleh kawin dengan you sekarang, tapi tak ada gunanya kalau cinta itu tiada dalam hati I, nanti you akan kecewa dan I akan menanggung rasa bersalah yang amat sangat pada Dian..” Izan memandang ke arah luar. Kelihatan air jernih turun laju membasahi pipi.
“Tentang masalah you tu.. I dah bercakap dengan Adnan.. I dah ganti balik duit RM15,000 yang you guna tu.. you jangan bimbang, dia tak akan ambil apa-apa tindakan sebab dia sepupu I,”
“Sepupu you?” aku tersenyum.
“Ya.. sebelum dia offer you kerja di syarikat dia tu, dia dah offer I dulu..tapi I tolak dan suggestkan nama you.. saja I malas nak ceritakan pada you.. “ kata-kataku itu membuatkan Izan tunduk.
“Izan, selama ini I menganggap you kawan yang terbaik yang pernah I jumpa. I tahu you memang menaruh hati pada I, tapi you Cuma seorang kawan pada I, dan I tahu you menolak lamaran orang lain semata-mata kerana you masih berharap akan memiliki I,” aku menarik nafas panjang.
“Dalam hidup I, I Cuma inginkan sebuah kehidupan yang cemerlang. I nak menjadi anak yang baik pada orang tua I, menjadi orang yang berguna pada masyarakat, memiliki rezeki dan kejayaan atas usaha I sendiri, dan membentuk keluarga I sendiri dengan wanita yang paling I cintai di dunia dan akhirat.. iaitu Dian, isteri I,” Izan mengangguk perlahan. Kemudian dia tersenyum.
“I faham Nil.. I tahu I yang bersalah dalam hal ini. I kagum dengan isteri you.. I tahu dia memang isteri yang baik pada you. Kalau tak masakan dia izinkan you kawin dengan I kan?” aku senyum.
“Hmm.. memang I cintakan you.. I sanggup lakukan apa saja untuk memiliki you.. tapi memang cinta you pada dia kuat.. dan I mengaku I kalah.. thanks a lot kerana tolong I, nanti kalau I ada duit I bayar balik duit you tu..” Aku mengangguk.
“Kita masih kawan kan?” Izan meminta kepastian.
“I tak pernah membuang you dari hidup I, you tetap kawan I sampai bila-bila..” Izan senyum dan keluar dari kereta.
“Thanks Aznil..” dia melambai pendek. Aku angguk dan melarikan Kembara ke arah kampung. Sudah dua hari dua malam aku memikirkan tentang hal ini dan akhirnya aku memilih keputusan ini. Ini semua berkat kesabaran dan keikhlasanmu Dian! Tiba di rumah aku lihat pintu tertutup rapat. Ehh.. mana pula orangnya?
“Assalamualaikum! Yan! Yan!” Aku berlari ke dapur. Pintu juga terkunci. Seketika Nokia Blue Screenku menjerit.
“Hello!”
“Hello abang! Rina ni.. abang.. along kat hospital ni.. dia dah nak bersalin,” suara adikku yang bongsu kedengaran.
“Apa? Kenapa tak call abang?”
“Tak dapat la.. abang datang la cepat.. semua orang dah ada kat sini..” pintanya. Aku segera menghidupkan enjin kereta. Ya Allah.. selamatkanlah Dian!

AKU segera menerpa masuk bila doktor muda itu memberi keizinan. Sudah dua jam kami menanti di luar akhirnya saat yang ditunggu tiba jua. Yan tersenyum lesu melihat kedatanganku dan ahli-ahli keluarga yang lain. Dahi dan tangannya kukucup lembut.
“Yan okey?” soalku. Dian mengangguk.
“Abang macammana? Dah selamat?” soalnya berat. Aku senyum.
“Abang dah janji tak akan ada orang lain selain Yan kan.. tentulah abang akan kotakan janji abang tu..” jawabku.
“Maksud abang?” soalnya.
“Abang dah selesaikan masalah Izan, tanpa perlu kawin dengan dia..” Yan tersenyum sambil menyeka airmatanya.
“Betul ke ni?” soalnya.
“Abang Cuma sayangkan Yan seorang saja.. tak ada orang lain dah..”
“Err.. Encik Aznil, bolehlah encik azankan anak-anak encik sekarang...” seorang nurse mengganggu perbualan kami.
“Anak-anak?” soalku hairan. Lupa pula aku tentang anak yang telah lahir itu.
“Iye.. kamu dapat anak kembar..lelaki..” jawab mak sambil tersenyum simpul.
“Apa? Kembar?” Aku rasa macam tak percaya aje. Dian di katil mengangguk mengiyakan sambil tersenyum gembira. Sebentar kemudian datang dua orang nurse membawa anak-anak kami. Aku menyambut sambil mengucup dahi anak-anakku itu. Selamat datang anak-anak abah..
“Dah tu Nil.. pergi ambil wuduk..” abah bersuara.
“Macam tak percaya pulak.. kan mak?” soalku.
“Itulah.. mengidam macam-macam.. buah nangka sulunglah.. telur ikan baunglah.. dah dapat hero!” semua yang ada di situ tertawa. Yan Cuma tersengih malu.
Aku sempat menggenggam tangan dan membisikkan sesuatu..Terima kasih Yan.. kerana melahirkan dua putera untuk menceriakan hidup kita.. dan abang akan pastikan kita akan kekal bahagia hingga ke akhir hayat.. ini janji abang!

IKAN cencaru masak kicap masih berwap di atas meja. Sepiring sayur sawi celur terhidang elok sementara sambal belimbing buluh kutatang berhati-hati ke meja. Mataku liar melihat ke arah buaian. Pehh.. nasib baik si kembar tu nak tidur akhirnya! Selesai menghidang makanan dan menutup dengan tudung saji, aku segera berkejar ke mesin basuh. Baju sebanyak dua bakul itu belum lagi berjemur.
Bakul pakaian kuangkat kemudian berjalan pantas menuju ke ampaian di belakang rumah. Jam sudah hampir pukul dua petang sedangkan banyak kerja rumah masih belum sempat dibereskan! Satu persatu pakaian demi pakaian kujemur. Terik mentari terasa membakar wajahku. Lepas ni aku mesti nak bersihkan bilik air pulak. Kemudian kemas ruang tamu yang berterabur dikerjakan anak-anak aku tu tadi. Hmm.. sejak menjadi ibu 9 bulan yang lalu rutin hidup aku memang ketat. Kalau dulu ada adikku si Rina turut meringankan tangan menjaga anak buah mereka, tapi sekarang aku terpaksa melakukannya seorang diri. Rina sudah ke UNIMAS 4 bulan yang lalu menyambung pelajaran.
Sejak mempunyai anak sendiri ini, barulah aku merasa betapa susahnya emak membesarkan kami adik beradik. Seketika aku terasa terlalu sedikit jasa bakti aku terhadap emak. Sembilan bulan 12 hari aku membawa anak kembarku ke hulu ke hilir, kemudian kesakitan di saat melahirkan, hanya tuhan saja yang mengerti azabnya melahirkan dua nyawa. Maka sejak itu, segala kata emak aku turut tanpa banyak bantahan, walhal sebelum ini akulah yang selalu memprotes setiap kata-kata emak yang kurasa tidak penting dan tidak betul.
“Amboi.. panjang menung.. “ Aku tersedar dari lamunan. Aznil sedang tersenyum sambil merapatiku. Tanpa terpaksa dia turut membongkok mengambil pakaian dari bakul dan membantu menjemur di ampaian.
“Dah lama ke abang balik?” soalku sambil tangan ligat meneruskan kerja.
“Dah lama juga.. kenapa Yan termenung?” soalnya ingin tahu. Dia masih memakai baju basahan yang selalu dipakai bila ke kolam udangnya.
“Tak ada apalah.. rasanya susu budak-budak tu dah nak habis.. tu Yan fikir nak pergi beli petang ni..” ujarku.
“Abang nak makan? Pergilah makan dulu.. dah lewat dah ni..” suruhku. Kesian, dah lah penat bekerja, kena pula tolong aku selesaikan kerja-kerja rumah.
“Habis Yan dah makan?” soalnya.
“Yan nak habiskan kerja dulu. Bilik air tak bercuci lagi.. dapur tu tak clear lagi Yan masak tadi tinggal macam tu je..” jelasku. Memang sejak lepas subuh tadi aku tak sempat nak buat apa. Tepat pukul 6.00 pagi Habil dan Hazil sudah terbangun dari tidur. Kalau seorang bangun seorang tidur tak apa juga.. ini kalau si abang terbangun adik pasti terbangun sama. Biasanya Aznil akan mandikan mereka selepas dia sembahyang subuh. Sementara aku siap menyediakan sarapan dia akan bermain-main dengan anak-anaknya itu. Pukul 7.00 Aznil harus ke kolam udang melihat peraih datang mengutip hasil untuk dijual ke serata tempat. Sepanjang masa itulah aku harus mengasuh kedua puteraku itu yang tersangatlah lasaknya.
“Tinggal dulu kerja ni.. mari makan dulu..” Aznil menarik tanganku.
“Tak apalah.. abang makanlah dulu.. Yan selesaikan kerja dulu..” aku masih berkeras. Bukan apa.. kejap lagi pasti mak mertua aku datang untuk bermain-main dengan cucu kembarnya. Bukan sekali dua dia menegur bila melihat keadaan rumahku yang sudah tak sekemas dulu.
“Kita.. jadi emak ni.. kena pandai-pandai bahagikan masa.. itulah gunanya menjadi seorang isteri. Jaga rumah tangga.. jaga anak.. jaga makan minum suami.. rumah.. jangan biar bersepah.. Aznil tu balik ke rumah nak berehat. Kalau macam ni punya berselerak rumah.. macammana fikiran dia nak aman..” sungutnya pada suatu hari. Apa lagi yang harus aku katakan? Bukan aku tak mengemas itu dan ini tapi keadaan tetap berserabut juga sejak kehadiran sepasang kembar yang semakin aktif ini. Kadang-kadang aku rasa anak-anak aku sengaja ingin menduga kesabaran. Si Habil dan Hazil kalau tak kena anginnya sepanjang masa mahu didukung. Kadang-kadang sampai nak patah pinggang aku mengelek mereka berdua di kiri kanan. Dulu semasa Rina ada aku masih mampu mengawal keadaan rumah dan anak-anak.. tapi sejak Rina tiada membantu terasa sukar sekali untuk menguruskan suami dan anak-anak.
“Tak baik mengeluh.. tu kan rezeki.. mak dulu pun beranak macam kamu juga… alhamdulillah.. tak ada masalah..” emak menjawab bila aku ceritakan kesukaranku kebelakangan ini.
“Iye la mak.. mak anak sorang-sorang.. Yan ni kembar.. pulak tu lasak bukan main.. Habil dan Hazil tu memang pantang tengok Yan mengemas..”
“Susun jadual.. pagi tu.. jangan bangun bila anak bangun.. bangun awal.. pukul lima tu bangun. Basuh baju siap-siap.. dah siap sidai senang. Boleh pulak menyapu sampah ke apa ke.. bukan lama mana pun.. kamu tu aje semua perkara susah..” Aduiii.. kena lagi aku dengan mak!
“Tak pun… kalau susah susah sangat kasi aja Ina jaga sorang Along!” sampuk adikku yang sedang leka menonton tv. Amboi.. banyak songeh.. aku penat-penat bawa perut ke hulu ke hilir.. dia pulak senang-senang je nak ambil anak aku!
“Iye la tu.. ada ke masa nak jaga? Nak pergi tuisyen lagi.. nak sekolah lagi..” soal emak. Ina Cuma sengih.
“Yan..” bahuku ditepuk. Aznil menggeleng kepala sambil tersenyum. Ehh! Dah habis baju dia sidai??
“Err.. dah habis?” soalku.
“Ala.. abang tengok Yan asyik berangan aje.. dah jom kita masuk.. abang dah lapar ni!” Aznil memelukku mesra dan kami beriringan masuk ke dalam rumah.
“Emm… sedapnya..” Aznil memuji sambil memandangku. Lauk simple macam tu dia kata sedap? Aku tersenyum sedikit sedih. Cuma itu saja yang sempat aku masak hari ini kerana Habil meragam tak boleh melihat aku pergi jauh darinya hari ini.
“Abang.. sorry.. Yan Cuma sempat masak ini je hari ni..” pintaku.
“Ala.. asal masak sudah.. mari kita makan!” Aku akur dan mengambil pinggan dari rak. Segera aku menyusun di atas meje sebelum menuju ke periuk nasi. Eh.. aku mengamati periuk itu lama. Apasal sejuk aja ni? Soalku sendiri sambil mengangkat penutup. Alamak!!!
“Kenapa Yan?” soal Aznil yang sedari tadi memerhati aku. Aku menarik nafas. Kenapa bodoh sangat aku ni????
“Abang.. sorry.. Yan lupa masak nasi..” Aznil memandangku terkejut.. tapi selepas itu dia kembali tersenyum.
“Tak apalah.. masak nasi, biar abang mandi dan sembahyang dulu.. okey?” dia bangun dan sempat mengucup dahiku sebelum berlalu meninggalkan ruang dapur. Dalam hati aku menyumpah sendiri. Kenapa dengan aku ni hah??

Mak mertua aku memandang sekitar rumah sambil meriba Habil yang leka bermain kereta di tangannya. Aku Cuma mengangkat kening bila mata orang tua itu melilau melihat rumah yang lintang pukang. Sambil itu tangan pantas mencapai apa-apa yang sempat dikemaskan.
“Anak kau ni dah makan ke belum?” soalnya.
“Dah mak.. dua-dua makan banyak hari ni, kan Habil kan?” Aku mengagah Habil yang mudah tertawa itu. Hazil yang berada di pangkuanku ikut tertawa bila melihat abangnya tertawa.
“Kau ni Yan.. mak tengok makin hari makin berisi pulak..” teguran ibu mertuaku itu membuatkan aku terdiam. Hmm.. sejak dua menjak ni mak Aznil ni bertambah cerewet. Minggu lepas dia kata aku ni kurus tak bermaya, macam orang tak makan. Hari ni dia kata aku makin gemuk pulak. Tapi bila aku timbang tak adalah berat badan aku naik sangat.. 55 kg je....
“Agaknya kau ni kuat sangat tidur.. muka pun dah sembab.. “ Opss.. macam tau-tau aja mak mertua aku ni.
“Jangan amalkan kerap tidur.. tak elok.. jamu yang mak beli ari tu kau ada makan tak?” soalnya.
“Err.. makan..” jawabku, tapi yang sebenarnya sedikitpun aku tak sentuh. Siapa yang lalu nak makan jamu yang pahit tu? Kalau dalam bentuk kapsul tak apa juga.. ini dalam bentuk serbuk. Belum makan lagi baunya dah buat tekak nak loya. Ada la sekali aku minum bancuhan jamu itu, tapi bila dah termuntah sehingga buat aku terbaring di katil sepanjang hari taubat aku nak sentuh lagi. Sudahnya jamu-jamu itu menjadi penghias kabinet dapur.
“Assalamualaikum!!” satu suara di luar membuatkan kami menjengah. Aku memanjangkan leher. Alamak.. bala dah datang!
“Oii… Esah rupanya.. naiklah..” emak menjemput tamu itu masuk. Aku meletakkan Hazil di atas tikar buluh dan ke dapur mengambil cawan lain. Kak Esah ni sejak jadi dealer jamu Puspa Kencana rajin benar bertandang ke rumah ini. Lebih-lebih lagi bila dia tengok ibu mertua aku datang, sekejap aja dah ada dia menyinggah sama. Nak promote barang la apa lagi.. mangsanya.. akulah! Siapa lagi? Tak percaya kejap lagi sure akan terbabas sebotol dua tu karang ke tangan aku.. dah seminggu dua ni tak ada pula dia datang. Kemana agaknya dia pergi. Berjual jamu kat tempat lain kot! Elok juga dia tak ada..selamat duit aku..
“Dengar cerita kamu baru balik dari Indonesia Esah..” emak memulakan perbualan.
“Ha ah Kak Som! Bukan apa.. tauke jamu yang saya jual tu yang taja.. 5 hari kat sana kak..” kak Esah memulakan cerita sambil membetulkan kebaya pendek yang dipakainya. Aku senyum sendiri. Teringat beberapa bulan dahulu sebelum menjadi tauke jamu, penampilan kak Esah memang jauh berbeza. Ibu tunggal beranak 6 itu berbadan agak berisi juga. Tapi sejak dia dipelawa menyertai Puspa Kencana, dari hari ke hari banyak perubahan yang berlaku. Dia tidak lagi ke kebun getah menoreh susu getah, sebaliknya mengukur jalan mempromosikan produk jamu yang dicubanya. Memang aku tak nafikan, kesan yang berlaku amat ketara. Bayangkan kak Esah yang berat hampir mencecah 80 kg dahulu kini begitu bangga dengan berat badan 48 kg!
“Seronoklah kamu kat sana ye?” soal mertuaku lagi.
“memang seronok kak.. saya melawatlah kilang memproses jamu-jamu tu.. lawat ladang-ladang yang digunakan untuk buat jamu-jamu ni.. memang seratus peratus tulen kak..” kak Esah bercerita lagi penuh semangat.
“Iyelah Esah.. kamu tu pun akak tengok makin lawa..”
“Terima kasih.. berkat sabar dan rajin kak.. inilah hasilnya.. akak pun belum terlambat lagi nak jadi macam saya..” pujuknya.
“Ehh jangan nak mengarut Esah.. aku ni dah tua.. kalau menantu aku ni tak apalah!” selamba mak mertua aku menepuk pehaku membuatkan aku tersengih. Alamak.. tu macam petanda buruk je tu..
“Hmm.. kau ni Yan, kalau tak jaga badan tu alamatnya jadi macam tong air la.. cubalah produk akak ni.. hah.. ni dia akak ada bawa..” Dia mengeluarkan botol-botol jamunya dari beg yang sentiasa dibawa ke sana ke mari.
“Yang ini untuk buang angin, melancarkan perjalanan darah.. orang lepas beranak eloklah makan jamu ni.. berkhasiat.. “ dia menunjukkan jamu bernama
Puspa Tenaga.
“Ini untuk turunkan berat badan… buang lemak-lemak yang berlebihan masa mengandung dulu..” Jamu Susut Ayu pula ditunjukkan. Aku Cuma mengangguk-angguk.
“Jangan angguk-angguk aja Yan.. beli, cuba dulu baru tahu..” pujuk Kak Esah lagi. Aku sengih lagi.. nak melakukan barang memanglah indah betul kata-kata Kak Esah oii!!
“Cuba kau tengok Senah sebelah rumah mak kau tu.. masa mengandung anak keempat dulu.. masyaAllah punyalah bulat..sekarang kalau kamu tengok, badan macam anak dara.. semua tu sebab dia ambil jamu kurus akak ni la.. macammana? Nak cuba tak!” soalnya lagi.
“Ambil dulu sebotol dua..cuba.. “ sampuk mak mertuaku pula. Hmm..
“Kena tanya abang dulu mak..” aku memberi alasan. Malas aku nak makan-makan ubat pahit ni. Lagipun Aznil tak pernah merungut pasal perubahan aku. Asalkan dia cintakan aku sepenuh hati, sudahlah!
“Ala tak payah tanya-tanya.. nak cantik pun untuk dia juga..” sampuk kak Esah.
“Betul kata Esah tu.. ambil ni sebotol, jamu Puspa Tenaga tu satu..” desak ibu mertuaku pula, menyokong kata-kata kak Esah yang memang sengaja mengumpan pembeli.
“Kalau nak lebih elok ambil jamu Hikmat Seribu ni.. baru lengkap makan.. “
“Letak aja Esah.. “ Aku tak dapat berkata apa-apa bila melihat tiga botol jamu itu diletakkan di depanku.
“Semua sekali RM93.00, nak bayar esok-esok lusa pun tak apa.. cuba dulu..” Kak Esah tersenyum, puas hati kerana barangnya sudah terjual. Aku pula bermuka kelat melihat barang-barang yang dibeli secara terpaksa itu. Bukan apa.. nanti kalau aku banyak soal kecil hati pula hati ibu mertua aku tu..
“Tak apalah kak.. Yan bayar terus ajelah..” Aku bangun malas menuju ke bilik. Hmm.. memang bosan sungguh! Dalam hati aku berdoa.. cepatlah balik Aznil…



AZNIL Cuma tersenyum senyum sejak dari tadi. Anak-anak yang sedang bermain di sekelilingnya riang sekali. Mereka memang begitu. Kalau dengan abahnya.. bukan main gembira lagi.
“Yan.. tadi Yan buat apa?” soalnya.
“Tak buat apa-apa.. layan budak-budak ni la..” jawabku sambil sibuk di meja komputer.
“Betul ke?” soalnya lagi lantas menghampiriku.
“Yan tidurkan anak-anak.. lepas tu lipat kain.. sapu rumah.. masak air..” terangku satu per satu.
“Yan susah hati ke?” soalnya lagi.
“Aii.. abang ni kenapa tanya soalan-soalan bukan-bukan ni? Yan okey aja.. ada ke nampak Yan ni susah hati?” soalku sambil tersenyum.
“Yan beli ubat kurus?” What? Aku segera berpaling ke arahnya.
“Mana abang tahu?” Aznil senyum sahaja.
“Tak payah nak bazir duit beli benda bukan-bukan.. Yan bukannya gemuk pun..”
“Tapi bang.. kak Esah tu, bukan abang tak tahu.. kalau ada mak datang bukan main lagi dia promote barang dia..” jelasku.
“Buat aja tak tahu.. katalah abang tak kasi..”
“Macammana Yan nak cakap.. dah mak tu suruh sekali beli?” Aznil senyum sambil memeluk bahuku.
“Yan..tak baik salahkan orang lain. Kalau Yan tak mahu cakap saja Yan tak mahu beli.. dia tak ada hak nak paksa Yan ambil barang-barang dia..” Aku terdiam. Cakap memanglah mudah cik abang oii! Orang lelaki memang macam tu agaknya. Semua anggap perkara mudah. Dia ingat senang ke nak jaga hati mak mertua ni? Aku pun bukan nak beli sangat semua tu, tapi terpaksa semata-mata tak mahu mak berkecil hati. Bulan lepas dua minggu dia tak datang ke rumah sebab berkecil hati aku tak makan ubat yang dia bawa. Katanya aku tak sudi menerima pemberian dia sedangkan ubat itu cukup pahit sekali. Mahu tak mahu aku yang datang ke rumahnya bersama anak-anak. Tiga hari aku bermalam di sana semata-mata untuk mencuri kembali hati tua itu agar memaafkan kesalahanku. Memang aku tak nafikan, ibu mertua aku memang baik. Tapi agak particular tentang kekemasan dan kebersihan. Jika aku belum mempunyai anak dulu mungkin tak ada masalah. Iyelah, rumahpun terjaga rapi dan Aznil dapat kuuruskan dengan cemerlang sekali. Tetapi, setelah memiliki Habil dan Hazil barulah ketara sikap sebenar ibu mertuaku. Pertama kali aku ditegur kerana membiarkan rumah berselerak. Waktu itu Habil dan Hazil dua-dua diserang demam. Tak sempat aku nak berkemas dan memasak. Kali kedua bila aku sudah jarang menyediakan sarapan pagi dan lewat menyajikan hidangan tengah hari untuk Aznil.. terus saja aku diberi syarahan percuma.
“Jadi isteri ni kena pandai curi masa, bahagi kerja.. kita kena atur jadual kita sendiri..” Aku Cuma tunduk diam saja saat ditegur begitu. Sebab itu aku cukup resah bila dia datang berkunjung ke rumah.
“Yan tak perlu bimbang sangat pasal badan Yan.. okeylah ni.. tak ada pun gemuk.. “ pujuk Aznil setelah melihat wajahku berubah. Aku menarik nafas.
“Betul abang tak kisah badan Yan tak macam dulu lagi?” soalku.
“Betul.. ala.. abang cintakan Yan.. tak kiralah walaupun Yan macam guni beras!” usiknya sambil tergelak. Amboi! Sepantas itu juga lengannya kukutil membuatkan dia terjerit kecil. Habil dan Hazil yang baru bertatih itu turut tertawa bila melihat ayah mereka tergelak-gelak.
“Anak dengan abah dia sama je..” ujarku sambil menatap sepasang kembar comel milik kami. Memang tak kunafikan, dua-dua semua menurut Aznil. Rambutnya, matanya, hidungnya semua ikut Aznil. Anak bapak..
“Yan search apa kat internet?” soalnya bila melihat aku leka di skrin komputer.
“Tak ada apa.. tengok-tengok apa yang terkini kat sini..” aku senyum. Aznil mengangguk perlahan.
“Abang ingat nak ke bandar esok, Kasim dah nak berhenti.. abang kena cari orang baru..” keluh Aznil. Sejak perusahaan kolam udang dan ikan kelinya meningkat maju ini dia kekurangan kakitangan. Kadang-kadang dia sendiri membawa lori ke bandar untuk mengedarkan pesanan-pesanan pembeli. Biarpun susah sedikit bekerja di bawah terik mentari, tapi aku kagum dengan kegigihan suamiku. Memang tak silap pilihan orang tua. Hingga saat ini aku merasa kasih sayang kami makin erat berpadu. Cinta lepas kawin kot?
“Yan, apa pendapat Yan kalau abang beli tanah kat Kuala Ujung tu? Abang rasa tempat tu sesuai nak dijadikan tapak tanaman pokok herba..” dia bertanya.
“Hmm.. dari hari tu lagi Yan dengar abang nak tanam herb.. tapi tak ada apa-apa pun..”
“Ehh.. ni planning abang yang terbaru.. Ishak kawan abang tu dah tengok tempat tu.. sesuai dia kata.. lepas ni jadi boleh jadi tauke ubat la pulak..” Aznil senyum.
“Tak lama lagi musim buah mempelam. Kat kebun kita tu dah keluar bunga dah..baru-baru ni pihak MARDI pun dah berbincang dengan abang nak luaskan pasaran..“
“Apa lagi planning abang?” soalku.
“Abang ingat bila dah okey sikit nanti abang nak beli kereta lagi sebuah. Senang Yan nak guna.. lepas tu abang ingat kita pun kena buat satu lagi planning penting..” Aznil mengurut-urut dagu.
“Planning apa?” soalku hairan. Banyaknya projek suami aku ni..
“Tambah anak!” Usiknya sambil tertawa. Apa?
“Amboi… banyak cantik.. ni dua ni pun dah tak larat nak jaga.. nak tambah lagi?” soalku geram.
“Bagus apa.. sekarang ni umur Yan 24.. seelok-eloknya sebelum umur Yan 30 kita dah ada 5-6 anak.. so nanti dah tua-tua anak-anak semua dah besar..” Wah.. wah.. wah.. Aznil tersenyum memandangku sambil mengangkat kening.
“Tu pun satu planning yang baik kalau Yan nak tahu.. by that time kita dah ada semua yang kita nak. Aset, anak-anak.. bila anak-anak dah habis belajar dia orang pulak take over semua yang abang buat nie.. lepas tu kita boleh pergi honeymoon kat mana-mana..” Aznil memeluk bahuku sambil tersenyum. Hmm.. iyelah tu.. dia tak merasa mengandung macammana.. 9 bulan 10 hari ke hulu ke hilir.. lepas tu azabnya nak melahirkan lagi.. kalau seorang tak apa.. ini kembar! Buatnya setiap kali aku mengandung kembar.. naya aku!
“Apa yang Yan fikir?” soal Aznil.
“Kalau planning nak beli tanah.. beli kereta tu.. Yan tak ada halangan.. tapi bab tambah anak tu.. apa kata abang pulak mengandung kali ni?” Mendengar kata-kataku Aznil tertawa kelucuan.
“Abang cakap senanglah.. cuba abang rasa macammana jadi perempuan.. dahlah kena mengandung.. masa beranak lagi.. lepas tu kena jaga anak-anak.. product abang tu.. sendiri tengoklah.. lasak bukan main..” ujarku. Aznil senyum dan memandangku lama.
“Abang gurau ajela… Abang tahu Yan penat. Takkan abang tak fikir susah senang yang tak boleh Yan kongsi dengan abang… anak-anak kita ni pun dah cukup bererti buat abang..” Aku terdiam. Wajah tenang Aznil kutatap. Tiba-tiba terasa bersalah pula bila aku berkata begitu. Selama ini dia tak pernah mengeluh atau merungut akan kekurangan aku. Semuanya elok dan okey sahaja. Cuma aku saja yang sering melepaskan geram padanya. Sejak kami ada anak sekarang memang dia agak terabai. Makan pun kadang-kadang lambat. Malah pernah sekali dia pulang ke rumah, tapi aku tak sempat menyiapkan hidangan. Dia dengan rela hatinya memasak untuk kami hari itu.
“Abang..” Aku pandang wajahnya lama. Aznil senyum menanti bicaraku.
“Tak apalah.. abang faham.. “ Dia mencuit daguku sambil memelukku erat. Dalam hati aku terasa lega yang amat sangat. Sesungguhnya aku bahagia dikurniakan suami seperti dia. Habil tiba-tiba merengek manja bila lori mainannya dirampas Hazil. Aznil segera mendapatkan anak-anak kami mendukung Habil tetapi Hazil pula menjerit menangis bila abahnya tidak mendukungnya sekali. Aku tergelak lantas menutup komputer. Hazil yang menangis kuambil dan kudukung.
“Tengok.. macammana nak tambah produk..” soalku lantas kami sama-sama tergelak mesra..

EMBUN Cuma tersenyum bila aku menolak pintu kedainya. Dua tiga orang pelanggan kelihatan sedang sabar menanti gubahan bunga di sudut kiri kedai.
“Datang berlenggang aja.. tentera-tentera kau mana?” soalnya. Aku sengih panjang.
“Ada kat rumah mak aku.. kalau bawa aku rasa habis satu bandar nie dia orang pusing..” beritahuku. Embun senyum. Mungkin tumpang gembira mendengar cerita anak-anakku yang sudah bertatih itu.
“Rasa macam baru lagi kau bersalin ye Yan?” Aku Cuma mengangguk. Betapa pantas masa berlalu. Embun bangun dari kerusi sambil mengusung perutnya yang semakin membesar. Aku tersenyum sendiri. Masa aku dalam pantang dahulu dia datang menziarah. Seronok bila melihat dia meriba Habil yang masih merah.
“Kenapa kau senyum-senyum?” soalnya.
“Tak adalah.. dulu masa aku dalam pantang kau cakap kat aku.. nak sangat anak lelaki.. tak sangka aku habis pantang kau pulak mengandung..” ujarku. Embun tersenyum.
“Kau jangan tak tahu.. kawan kita si Qursiah tu pun dah start pening-pening..” beritahunya.
“Iye ke? Alhamdulillah.. “ Aku penuh kejutan mendengar berita itu. Mana taknya.. dah dekat 6 tahun dia mendirikan rumahtangga.. sejak tamat SPM hinggalah ke hari ini menanti kehadiran cahaya mata.. akhirnya termakbul juga doanya.
“Aku pun terkejut.. tapi dia kata sejak ambil jamu Puspa Kencana period dia lancar.. alhamdulillah..” hmm.. Puspa Kencana lagi!! Apasal asyik topik jamu saja dua tiga menjak ni? Aku Cuma mengangkat kening.
“Yan, macammana permohonan kau nak masuk U tu?” soal Embun. Aku senyum.
“Entah.. aku main hantar ja.. saja suka-suka.. “ jawabku. Dulu masa selak-selak paper di kedainya ada keluar iklan kemasukan ke universiti. UUM tak silap aku. Terpanggil pula nak isi.. saja suka-suka!
“aku ingat kau bersungguh-sungguh..” Embun mencebik mulut.
“Aku serah pada nasib.. kalau dapat aku pergi.. kalau tak tak adalah! Lagipun anak-anak aku siapa nak jaga?” soalku. Embun senyum.
“Kau buatlah PJJ..”
“Kau pulak macammana?” soalku. Setahuku Embun buat PJJ sejak dua tahun lalu.
“Aku rasa tak sempat aku nak ambil exam.. aku minta cuti satu semester la jawabnya.. ni tunggu hari je ni..” jawab Embun sambil mengusap perutnya yang menggelembung. Aku senyum.
“Zaman sekarang ni kita tak boleh ketinggalan Yan.. belajar selagi boleh..” Embun memberi semangat.
“Heh.. mentang-mentanglah kawin dengan pensyarah.. macam lecturer pulak kau ni..” usikku membuatkan dia tertawa.
“Kau haus tak? Aku teringin nak makan kat Burger Kinglah.. jom kita pergi nak?” ajaknya.
“Aii.. aku rasa baru je dua jam kita makan Nasi Goreng Special tadi.. kau lapar balik?” soalku terkejut.
“bukan aku nak makan.. anak aku nie..” Embun sengih. Aku Cuma menggeleng kepala. Apa-apa sajalah Embun!
“Jom!” Dia menarik tanganku pergi.



AZNIL Cuma tersenyum bila melihat muncungku panjang berjela. Sejak emaknya balik tadi sepatahpun aku tak bersuara. Bencinya aku!! Balik-balik nak bagi ceramah.. balik-balik nak bagi ceramah! Dia merebahkan badan di sebelah sambil membetulkan bantal.
“Kau tak masak lagi??” emak terperanjat bila melihat periuk tersusun elok di rak. Dia meninjau-tinjau pula rice cooker aku. Seketika kepalanya menggeleng. Kemudian beralih pula pada kabinet dapur.
“Kau tak sentuh langsung jamu-jamu ni Yan?” soalnya lagi. Aku Cuma mendiamkan diri sambil mendukung Hazil yang meragam sejak tadi. Puncanya dia merajuk bila Aznil tak memandikannya pagi tadi. Sudahnya seharian ini aku tak dapat berbuat apa-apa. Si Habil pula bila adiknya buat hal dia pun ikut samalah!
“Dah nak masuk pukul dua dah ni, tak masak apa-apa lagi?” soal emak sekali lagi.
“Budak-budak ni meragam mak.. tak boleh nak letak langsung..” jawabku.
“Jangan manjakan sangat anak-anak kau ni Yan… tengok menangis sikit dukung.. menangis sikit dukung.. jangan ajar dia dia orang macam tu..” Emak mengambil Habil di sebelah kiriku. Kepala cucunya itu diusap lembut. Aku terduduk keletihan. Tak pedulilah mak mertua aku tu belum minum seteguk air lagi.
“Mak dulu beranak rapat-rapat jugak.. 8 anak mak.. semua boleh mak buat sorang. Dulu lagi susah.. kena cari kayu api.. kena giling cili kering.. itu belum lagi kena bantu bapak kamu kat kebun.. alhamdulillah.. besar juga anak-anak mak.. “
“Nak basuh kain bukan kena guna mesin basuh macam sekarang ni.. basuh dengan tangan.. “ sambungnya lagi sambil memandangku. Aku diam sahaja. Nak jawab apa? Hmm..
“Tinggalkan budak-budak ni.. pergi masak.. nanti suami balik tengok periuk kosong terbakar hati..” suruhnya.
“Err.. tak payah masaklah kot..”
“Kenapa pulak?” soal mak terkejut.
“Yan.. Yan suruh abang beli aje mak..”
“Beli?”
“Yan.. kenapa ni?” Aznil menyedarkan aku dari lamunan. Aku menarik nafas panjang. Soalannya kubiarkan tak berjawab. Aznil sengih aja.
“Abang tengok Yan merajuk ni.. serupa dengan kawan Yan tu..”
“Kawan Yan?” soalku hairan.
“Ha ah.. kawan yang selalu lepak atas pokok tu..” dia tertawa kecil.
“Abang ni!” Aku menarik muka masam. Menyampah betul… malas nak layan!
“Tak baik marah-marah.. 10% muka lebih tua dari usia..” Aznil tersenyum.
“Mana tak marah.. mak abang tu.. “ Aku melahirkan rasa tak puas hati.
“Kenapa dengan mak?” soalnya. Aku menarik nafas. Malas aku nak cerita. Tadi bila aku kata suruh Aznil belikan makanan dia start dah membebel kat aku. Kononnya air tangan isteri lebih baik bla.. bla.. bla.. Dengan muka kecut aku terpaksa juga memasak. Konon-konon nak jaga hati dia aku masakkanlah gulai lemak ikan tenggiri campur belimbing buluh. Entah macammana aku tertumpah banyak garam. Gulai yang nampak sedap dikritik sepenuh hati. Entahlah.. sejak dua menjak ni banyak betul cabaran untuk aku sebagai ibu muda. Dan entah kenapa sejak dua menjak ni aku makin menyampah dengan ibu mertuaku.
“Ala.. orang tua biasalah.. dia marah tu nak mengajar..” jelas Aznil.
“Mak Yan tu tua juga.. tapi tak adalah cerewet macam mak abang tu!” Balasku.
“Mak abang tu dia beranak tahun ayam.. sebab tu mulut dia bising sikit.. mak Yan beranak tahun ular.. tu diam je..” jawab Aznil selamba.
“Abang ni orang cakap betul-betul dia main-main!”
“La.. betullah abang cakap.. mana ada main-main.. tak percaya tanya cicak kat dinding tu..”
“Abang!” Aku menjelingnya geram. Aznil tersenyum.
“Okey.. okey.. apa dia.. cuba cerita....” Aznil merenungku sambil tersengih. Ingat menjadi sangatlah lawak dia tu? Aku tengah tension ni!
“Iyelah.. sekali dua Yan bolehlah diam lagi.. ni dah banyak kali dah ni.. tadi tu.. Yan penat sangat sebenarnya sebab tu la Yan pesan abang beli lauk je.. tapi bila mak abang tu datang siap bagi ceramah lagi pasal itu ini.. terpaksa Yan masak. Pulak tu termasin sikit dia dah bising sampai mak Yan pun tahu Yan masak gulai masin..” Aku memandang ke arah Aznil meminta simpati. Aznil senyum sahaja sambil menguap.
“Lagi?”
“Lagi? Ala.. macam-macamlah.. dia komplen Yan tak pandai mengemaslah.. bilik air berlendirlah.. Abang pun tahu kan Yan tak larat nak kawal anak-anak kita ni?” Aku menanti respon. Aikk.. apasal senyap aja ni? Aku menoleh. Aznil sudah terlena dengan asyik sekali di sebelah.
“Abang!” Aku menarik nafas geram. Dia tido pulak!!! Eii geramnya aku!! Dengan bengang aku menutup lampu tidur.


HABIL dan Hadzil sudah tertidur di atas tilam kecil mereka. Balik dari rumah mak tadi dua-dua merengek mahu menyusu. Dapat sebotol seorang terus baring dan akhirnya terlena. Aku bersandar di kerusi melepaskan penat. Memang tak terkejar kalau tak ada pembantu. Tapi, siapa lagi yang boleh kuharapkan? Itupun di rumah mak tadi mujur ada mak uda Fina dan mak usu Ina mereka. Boleh juga aku rehat sekejap.
“assalamualaikum kak..” Aku terperanjat. Seorang gadis sedang berdiri di sebelahku.
“Eh.. siapa awak?” Aku segera bangun dan merapati anak-anakku yang tergolek di lantai. Kalau terjadi apa-apa senang aku dukung kedua-duanya. Gadis itu Cuma tersenyum.
“Saya Azizan.. “ dia menghulur tangan. Apa? Azizan lagi?
“Macammana awak boleh masuk ke sini?” soalku, masih enggan menyambut hulurannya.
“Saya datang dengan Abang Aznil tadi.. “ apa? Datang dengan Aznil? Dalam masa aku terpinga-pinga muncul pula seorang perempuan separuh umur dari bilik tamu. Aku semakin tak mengerti. Siapa pula yang menceroboh masuk ke rumah aku ni??
“Ini ke isteri Aznil?” soalnya sambil memandangku dari atas hingga ke bawah.
“Iye.. mak cik ni siapa?” soalku. Belum pun sempat soalanku terjawab mak mertuaku dah tiba di muka pintu.
“Bila kau balik Yan? Tadi mak datang tak ada..” sapanya sambil merapati kami.
“Baru je mak.. err.. mak datang dengan siapa?” soalku hairan. Selalunya ada bapa mertuaku menghantar dengan motor.
“Mak datang dengan Rashid tadi.. suruh Aznil jemput dia kata kamu guna kereta.. “ Mak duduk di kerusi sambil memerhatikan cucu-cucunya yang terlena.
“Ini sepupu mak.. Mak long.. dulu masa kamu kawin dia tak datang, pergi mekah..” mak memperkenalkan. Aku tersenyum sambil menyalami wanita itu.
“Ini Azizan.. anak mak long tu.. kawan dengan Aznil masa kecil-kecil dulu..” Kali ini aku pula menghulur tangan. Gadis manis itu Cuma tersenyum. Aku mula dilanda serba salah. Mak long melilau melihat seluruh kawasan rumah.
“Mak Long datang dengan bas ke dari sana tadi?” soalku, cuba mewujudkan kemesraan sebagai tuan rumah agar tetamu tak kekok.
“Kita naik kapal terbang.. anak yang suruh..” jawabnya sambil membelek-belek bunga kristal yang dah berhabuk dalam vase atas meja. Alamak.. mesti orang tua ni cerewet juga. Kalau tak takkan sampai ke celah kelopak bunga kristal aku dibeleknya?
“Kite dari Taiping tadi sempat sarapan aja.. sampai airport terus naik kapal terbang...” tiba-tiba dia bersuara. Aku lihat mak memandangku penuh makna. Seakan mengerti aku segera ke dapur. Ayam di dalam peti sejuk kukeluarkan. Memandangkan hari telah pukul 3.00 dan tetamu pula sudah lapar aku masakkan ayam goreng saja. Sayur kacang buncis pula aku goreng campur bunga kubis. Kemudian ada bebola daging di dalam peti ais elok kubuatkan sup. Aku berkira-kira sambil tangan ligat memotong sayur. Lagipun, sejak berkahwin, tiga masakan itu saja yang aku master. Aznil pun bukan main memuji lagi kalau aku hidangkan dia sup bebola daging. Kalah sup kat hotel kata dia. Rempah ratus untuk membuat sup sudah kusiapkan. Sayur juga sudah bersih dicuci sementara ayam sedang garing di dalam kuali. Dalam hati aku tertanya-tanya juga. Terkejut aku bila dikunjungi tamu asing ini. Si Aznil pun satu.. kenapa tak cakap awal-awal ada saudara dia nak datang ke rumah? Aku bermonolog sendiri. Ah, lantaklah.. yang penting perut tamu mesti diisi dahulu..


“MAK long kamu ni nak duduk di sini seminggu dua.. lagipun dah lama sangat dia tak ke sini. Masa kamu kawin dulu dia tak datang.. dah ada anak baru sempat nak datang ke sini..” kata-kata emak itu membuatkan seleraku mati. Tak jadi nak tambah nasi. Mak long di hadapanku Cuma tersengih-sengih. Bukan aku tak suka, tapi aku bimbang tak dapat melayan tamu itu sebaiknya. Maklumlah, ini pertama kali aku bergelar ibu kepada dua anak kembar, tentulah banyak perkara masih dalam proses pembelajaran, terutama sekali dalam mengatur masa agar semuanya selesai dan diselenggara dengan baik.
“Kak Long duduklah, buat macam rumah sendiri. Dian ni kalau ada terkurang kelakuannya.. maafkanlah ye..”
“Ehh… Aznil tu kan dah macam anak kita.. menantu awak , menantu kita juga..” balas mak long sambil tertawa kecil. Azizan di sebelahnya Cuma tersenyum simpul.
“Eloklah tu mak long.. Nil tak kisah, tapi harapnya mak long bolehlah duduk kat pondok Nil nie..” Aznil pula menyokong emaknya.
“Pondok apa.. abang ni saja nak merendah diri, kan mak?” Hmm.. aku terkejut. Tak sangka si Azizan yang nampak pemalu dah mula tunjuk taring!
“Tambah lagi mak long.. nasi tu.. minta maaflah.. lauk tak seberapa..” pelawaku.
“Hehehe.. cukuplah nie.. lauk orang malas..” Aku tak jadi menceduk kuah sup ke dalam pinggan. Mak long tersenyum-senyum sambil memandang kami. Lauk orang malas?
“Kedai tutup hari ni kak.. hari minggu.. tu si Dian tak sempat beli kelapa.. kalau tak insyaAllah, merasa juga kita gulai lemak dia..” emak mertua seakan memahami, cuba memberi alasan. Aku rasa seleraku sudah mati.
“Iyelah.. lagipun, masak sup ni mudah sangat. Tak payah macam kita dulu-dulu kan Som? Kalau nak menjamu orang datang, masak air macam ni.. sah kena lemparlah periuk gulai dek mak kite..” sambil terlengguk-lengguk leher mak long bercerita.
“Iye ke mak long?” soal Aznil. Ah.. manusia tu bukannya dia boleh sense orang tu perli ke puji..
“Masakan ni moden kak long.. orang sekarang ni tak galakkan kita makan lemak-lemak sangat.. kolestrol.. boleh kena sakit jantung..”
“Iyelah.. sekarang ni semua orang memang moden belaka… suri rumah pun, dah sibuk.. sampai nak lipat baju pun tak sempat..” Aku rasa mahu saja aku bangun dan pergi dari situ. Entah kenapa.. menyampah sungguh aku dengan perangai sepupu mak mertua aku ni. Dalam pada itu aku berterima kasih pada mak mertuaku. Saat-saat kena sindir tadi, dia masih sudi menyebelahiku.
“Hairani apa kabar sekarang ni kak? Dulu dengar cerita sambung belajar..” Emak mula mengalih topik. Mungkin sedar aku sudah menjeruk rasa agaknya.
“Dah habis belajar dah.. sekarang ni dia sibuk buat bisnes.. “ jelas orang tua itu. Dia Cuma menguis-kuis nasi di pinggan, mungkin hilang seleranya kerana lauk orang malas..
“Anak-anak akak berjaya semua..” puji emak.
“Kita yang mengandung dan melahirkannya.. kenalah didik betul-betul anak kita Som.. macam kita nie.. si Azizan ni.. serba serbi kita ajar dia masak. Jangan nak malukan kita kalau dah besar panjang tak pandai buat kari lagi.. jatuh air muka kita Som.. malu kat besan kita anak dara kita tak pandai memasak!” Adui.. Aku memandang ke arah Aznil yang rancak menyuap nasi. Eii.. bengangnya aku.. bukan dia nak perasan orang tu dok menyindir isteri dia!
“Kita selalu pesan anak-anak dara kita.. belajar tinggi mana pun, masak tu jangan tinggal!” sambungnya lagi, cukup membuatkan aku rasa meluat.
“Err.. mak long, mak, izan, makanlah ye.. Yan nak tengok budak-budak kat atas tu..” Aku segera mengangkat pinggan.
“Sikit makan Yan.. jaga badan ke?” Mak Long menegur saat aku mengangkat punggung. Aku Cuma senyum. Bukan jaga badan mak long, tapi nak jaga hati sendiri. Karang, kalau hati dah sakit, mulut kita ni pulak yang rancak menjawab.. kesian pulak kat mak long.. kena belasah dengan mulut kita ni!




“KITA masa muda-muda dulu.. tak ada pakai selekeh-selekeh macam ni..” Alamak.. dia dah start dah.. Mak Long Siti Kembang duduk di atas bangku berhampiran pondok tempat aku dan Aznil selalu berdua-duaan.
“Ni, muka kita ni pagi-pagi.. merah macam bunga ros.. segar.. badan kita ni, dah siap wangi bau langir limau masa mandi..” sambungnya lagi. Aku Cuma mendiamkan diri. Satu demi satu pasu bunga kusiram. Hari ini tak pasal-pasal aku bangun pukul 4.00 pagi. Semuanya kerana mak sedara sepupu Aznil tu la! Mak mertuaku sempat berpesan semalam, jaga hati Mak Long baik-baik. Jangan sesekali menjawab cakapnya. Silap hari bulan, satu Taiping dihebohnya cerita baik buruk menantu mak.
“Tu la mak nasihat kat Yan.. kemas rumah.. belajar-belajar menggulai.. “ bisik mak semalam. Aku Cuma diam saja.
“Kalau mak ni cerewet, dia lagi cerewet..” sambung mak lagi. Hmm.. mak lupa nak tambah satu lagi, mulut dia celupar!
“Kalau pakai kain batik macam ni, kita siap pakai kebaya pendek. Barulah suami kita suka.. ini pagi-pagi.. pakai baju londeh.. muka pucat kusut.. macammana suami nak sayang?” Mak Long terus membebel. Hei.. aku cuba menyabarkan hati.
“Lain kali petik bunga-bunga.. bawa mandi pagi-pagi.. awet muda.. “ Mak long melenggang lenggok ke hujung laman, memetik beberapa kuntum cempaka merah dan menghidu baunya.
“Pagi-pagi sejuk mak long nak mandi..” akhirnya aku menjawab juga. Mak Long mencebik.
“Bangunlah jerang air.. takkan tak boleh fikir.. kita dulu masa muda.. masa kuat.. kita timba air sungai siang-siang. Kita penuhkan tempayan kita. Pagi-pagi esok kita jerang air, guna dapur kayu. Lagi susah! Sekarang ni dah senang, dapur pun petik aja.. takkan tak boleh buat?” Aku diam. Malasnya aku nak layan kerenah orang tua tu!
“Sebab tu kita jadi janda masa umur kita 45 pun.. orang masih tergila-gilakan kita…” sambungnya lagi. Argghh!! Tensionnya aku! Cukuplah aku dibasuh oleh mak mertuaku, ni tambah sorang lagi sukarelawan nak membebel kat aku hari-hari. Pili paip kututup segera.
“Nak kemana tu?” soal Mak Long bila melihat aku melangkah deras ke arah rumah.
“Anak kita menangis mak long!” jawabku. Dalam hati sabar ajalah aku…




RESEPI udang harimau bersos masam kubuka. Hmm.. tengah hari ni aku masak udang ni.. kemudian gulai asam pedas ikan duri.. kalau nak lagi sedap buat acar timun mentah. Ada daging rusa pemberian abah tempoh hari boleh buat masak kicap! Hmm.. complete hidangan tengah hari!
“Nah!” Mak Long muncul tiba-tiba bersama sebiji nangka muda. Beberapa helai daun kunyit dan kesom juga diletakkan ke atas meja.
“Masak gulai nangka campur tulang ikan masin, Yan.. teringin kita nak makan.. Pucuk betik ni celur.. buat sambal belacan… daging tu daging apa?” soalnya melihat ke sinkiku.
“Daging rusa mak long..”
“Hmm.. eloklah tu.. bakar, buat air asam pencecah.. sedap!” Dia tersenyum. Ah.. sudah! Biar betul orang tua ni..
“Mak long nak tengok-tengok keliling rumah kamu.. “ terkedek-kedek wanita itu meninggalkan aku seorang diri di dapur. Hmm.. macammana ni? Aku mana pernah masak gulai nangka. Nak kupas nangka muda tu pun selalunya mak yang buat. Tak pun sudah siap beli di pasar. Aku segera naik ke ruang tamu. Telefon kucapai dan nombor telefon rumah emak kudail.
“Assalamualaikum..” alhamdulillah.. terdengar suara emak di talian.
“Waalaikummussalam.. mak! Habislah Yan kali ni..” kataku cemas.
“Kenapa ni? Anak sakit ke?” Mak sudah menggelabah.
“Bukan.. mak saudara Aznil ada datang nie mak.. nak makan gulai nangka muda.. macammana ni mak?”
“Masak ajelah.. susah apa..” selamba emak menjawab.
“Mana Yan tahu masak semua tu mak..”
“Kupas nangka tu.. lepas tu potong-potong.. celur dengan air panas. Lepas tu masak macam biasalah.. kalau campur tulang ikan masin rendam dulu tulang tu dengan air. Lepas tu bila masak jangan taruk garam dah.. biar pedas sikit.. baru sedap!” jelas emak. Hmm… aku menarik nafas.
“Cuba sajalah.. janji boleh makan..” emak memberi semangat. Iyelah mak.. nak beri semangat pada mak long tu supaya mengutuk aku nanti!
“Okeylah mak! Yan nak masak ni.. assalamualaikum!” Aku meletakkan gagang. Jam di dinding sudah pukul 10.30 dan aku bergegas ke dapur untuk memasak..



“RESEPI baru ye?” soal Aznil. Aku diam membatu. Tangan saja tak berhenti bergerak menyendukkan nasi ke pinggannya.
“yang ini abang tahu.. daging bakar kan?” soalnya. Aku masih diam. Nak makan tu makan ajelah! Banyaknya soalan..
“Ni apa ni?” dia mengacau kuah berwarna ungu itu di dalam mangkuk comel.
“Abang nak makan ke tak ni?” soalku. Meradang juga bila dia bertanya itu ini. Macam perli je.. dah la aku kena teruk tadi dengan mak long. Aku tak tahu nak letak muka kat mana tadi. Entah disampuk apa agaknya mak long tiba-tiba dia mengajak kak Esah Puspa Kencana tu datang makan tengah hari sama. Sudahlah aku kelam kabut dengan anak-anak aku tadi. Anak dia si Azizan tu, sedikit pun tak mahu menolong. Bergayut di telefon macam bapak dia yang bayar! Bukan dia tak tahu aku sibuk di dapur. Baru saja aku selesai menanak nasi Habil dan Hazil terjaga. Seperti biasa bila si kembar itu dah terbangun tiada apa yang dapat kubuat. Tapi demi mak long, aku usaha juga menyediakan apa yang dihajati. Malangnya.. sewaktu sedang leka melayan si Habil, tak sedar Hazil yang sedang kudukung dah curahkan kicap cair dalam mangkuk ke dalam periuk berisi gulai. Tuhan saja yang tahu betapa geramnya aku. Tangannya memang cepat mencapai itu ini.
“Hazil tau tak mama penat masak semua ni? Santan pun mama tak isi lagi Hazil dah isi kicap..” aku berleter sendiri dan si Hazil Cuma tersengih sambil bertepuk tangan. Apalah yang budak berusia setahun dua bulan itu tahu?
“Apa yang kau masak ni?” soal mak long.
“Amboi.. resepi apa ni Yan.. bolehlah kak Esah cuba..” sampuk kak Esah pula. Mak long mencapai senduk dan menceduk-ceduk gulai itu di dalam periuk.
“Apa ni yang kau masak? Gulai ke air longkang?” soalnya. Aku diam tak terkata.
“Hmm.. orang zaman sekarang ni macam-macam Esah.. kita dulu masa umur 12 tahun dah pandai serba serbi.. tak heranlah kita ni umur 14 tahun orang dah masuk meminang..” dah.. start dah burung kakak tua berleter!
“Iye ke Mak Long?” soal Kak Esah berminat.
“Ni, kita ni dulu, anak 5, badan kita ni lagi kecik dari badan awak Esah..” bertambah-tambah gah la dia nak memuji diri tu!
“Kita dulu pun beranak kembar juga.. tapi kita boleh uruskan rumahtangga..” dia menjelingku. Aku buat-buat tak nampak. Malas aku nak melayan dia bercakap.
“Heran kita.. kata mak bapak buka kedai makan.. tapi anak tak pandai memasak?” Mak long tergeleng-geleng.
“Marilah kita ke bandar Esah..” Dia menarik tangan kak Esah yang masih mengintai apa yang kumasak.
“Kita makan kat bandar ajelah.. kita tak selera tengok masakan macam ni.. kempunan kita nak makan gulai nangka..”
“Hai.. panjang menung..” Aznil memetik jari, sekaligus menyedarkan aku. Dia tersenyum. Tangannya memegang tanganku.
“Abang tau tak apa mak cik abang tu cakap kat Yan hari ni? Dia kata Yan masak air longkang..” Aku memandangnya.
“sabarlah.. bukan selalu dia datang. Lagipun, dia tu ibu susu abang dulu.. maknanya, mak abang juga..” pujuknya lembut.
“Tak kiralah.. tapi janganlah cakap macam tu.. kalau Yan tak betul, ajarkanlah..” Aku tak jadi mengisi nasi ke pinggan sendiri. Aznil Cuma senyum. Dia mengisi gulai nangka berkicap itu ke dalam pinggan.
“Sedap je apa Yan masak ni..” pujinya. Nak ambil hati aku la tu! Aku menarik nafas.
“Sedap?” soalku. Aznil mengangguk.
“Okey.. abang habiskan gulai seperiuk tu…” kataku membuatkan dia terlopong. Hmm… padan muka!



HARI demi hari yang kulalui makin memeritkan bila Mak Long ada. Anak-anak semakin lasak kerana sudah pandai berjalan dan berlari. Sekarang sudah pandai hendak bermain bola. Aznil pula sibuk dengan projek tanaman herba di tanah yang baru dibeli. Jarang ada masa di rumah. Dua tiga hari lepas dia ke Kedah, mencari benih-benih tanaman yang sesuai bersama kawannya.
“Sabar aje la.. bukannya lama pun.. dua minggu je.. sekarang dah seminggu lebih.. dua tiga hari lagi dia baliklah..” Embun yang baru 4 hari melahirkan anak menasihatkan. Aku Cuma mendiamkan diri. Sepatutnya aku tak menghidangkan masalah baruku kepadanya, maklumlah dia masih lemah lagi. Tapi Embun ternyata sahabat yang baik. Masih mampu tersenyum dan sabar mendengar masalahku.
“Syukurlah kau sebab mak mertua kau tak secerewet tu..” Kata-kata Embun itu memang kuakui. Selama ini aku selalu bersungut dengan perangai emak. Aku rasa seolah-olah orang tua itu busybody. Semua urusan rumahtanggaku dia nak campur. Tapi sekarang, ternyata Tuhan dah membalas. Aku diuji dengan seorang mak cik yang cerewetnya macam nak mampos! Kalau mak mertua aku datang makan berlaukkan sambal pun dia tak kisah. Cuma dia bersungut sebab aku jarang memasak untuk suami selepas mempunyai anak. Tapi, tak adalah sampai kata masakan aku macam air longkanglah.. rumah aku macam kandang kambinglah.. bilik dia bernyamuk agas macam rumah tinggallah..
“Rumah kita.. tak ada bersemut macam ni.. agaknya ada bangkai tikus kat mana-mana.. kita kalau menyapu, habis ceruk-ceruk kita korek. Tak berhabuk rumah kita!” sungutnya bila ada semut mayat merayap di biliknya.
“Habis badan Izan ni mak.. gatal-gatal!” Si anak gadis pula mengadu. Aku Cuma mendiamkan diri. Paling habis pun aku semburkan racun semut ke seluruh penjuru bilik.
“Hishh.. kita tak tahan bau busuk racun ni.. tak fikir ke kita ni dah tua.. semput pulak tu.. macammana kita nak tidur bau busuk macam ni?” Pulak dah!
“Mak long tidur bukak tingkap.. nanti bau bunga-bunga cempaka kat luar tu boleh cover bau busuk racun tu..” Malas aku nak layan kerenah cerewet mak long. Pulak tu sekarang ni pantang dia tengok aku terlena. Pasti becok mulutnya berleter.
“apa nak jadi ni.. jangan manjakan badan tu.. letih sikit tidur.. asal tak sihat sikit cari bantal.. tu, minum air ubat tu! Jangan asyik nak telan ais saja.. nanti kembang semua urat.. muda-muda dah tak boleh nak beranak lagi nanti..” sebab tak tahan mendengar leterannya kupaksakan diri menghabiskan jamu-jamu yang kak Esah jual tempoh hari. Kalau dengan emak mertua ku boleh bertolak ansur lagi, dengan mak long ni.. sorrylah! Hancur telinga dibuatnya.. nak mengadu kat Aznil? Balik-balik dia kata sifat mak long memang macam tu.. tapi hatinya baik! Mulut je bising macam itik nak mengawan!
“Semua orang ada kurang ada baiknya Yan.. lama-lama nanti kau nampaklah baik dia..” nasihat Embun lagi sambil menyusu bayinya. Aku mengangguk. Mudah-mudahan.
“Aku balik dululah Embun.. anak-anak aku kat rumah tu tak tahu apa cerita. Selepas menghantar Azizan yang ingin balik ke UTM ke stesen bas tadi aku terus melawat Embun. Bukan apa, malas aku nak berdepan dengan Mak Long tu. Entah apa mimpinya nak duduk lama-lama lagi di rumah aku. Dia menjeling saja bila aku menyerahkan anak-anak di bawah pengawasan Aznil.


AKU masuk ke halaman rumah. Kelihatan rumah sunyi sahaja. Kembara juga tidak ada di bawah garaj. Kemana pula si Aznil ni pergi? Soalku sendiri sambil melangkah masuk. Mesti dia orang keluar. Alhamdulillah.. lega aku. Tak adalah aku kena bebel lagi! Aku masuk ke kamar dan merebahkan badan. Setelah sekian lama jarang aku ada masa untuk diri sendiri. Dari pagi hingga ke malam sibuk menguruskan anak-anak dan suami. Aku duduk mengadap cermin. Oh My God! Aku usap muka yang pucat. Kenapa dengan muka aku ni? Macam orang tak cukup darah je.. aku belek pula tangan aku. Urat-urat biru timbul di permukaan kulit, cukup hodoh. Aku pegang pula rambut. Betul ke kata mak long? Betul ke aku sudah semakin tua sebelum waktunya? Terngiang-ngiang kata-kata bebelannya di telingaku.
“makan pucuk betik ni.. awet muda.. awak tu belum masuk umur 25 dah macam orang umur 40.. “ ala.. kan ke pucuk betik tu pahit. Aku pernah makannya dulu, air rebusan daunnya tapi habis termuntah balik. Tu baru air daun, nak suruh aku makan pucuknye pulak? Ohh tidak..
“Asyik tidur saja.. bawa-bawa bersihkan laman tu.. rumput dah panjang.. semua nak harap suami buat.. keluarkan peluh sikit..” Aku rasa nak tutup mulut mak long dengan bantal waktu itu juga. Tak tahu ke dia anak aku meragam sepanjang malam dan ada waktu terluang pagi itu aku ingin mengqada balik tidurku?
“Ni.. makan bunga ros ni.. tanam saja tapi tak tahu nak guna buat apa? Ni untuk awet muda..” Heh.. aku tersengih saja mendengar kerenah mak long.
“Iye ke maklong? Tu Yan tengok kambing tu makan bunga ros tak awet muda pun..” jawabku membuatkan mak long Cuma menjeling geram.
Aku menarik nafas. Perlahan aku keluar dari kamar untuk ke dapur. Semasa melintasi bilik mak long, pintunya kelihatan renggang. Entah kenapa tergerak hatiku untuk masuk ke dalam. Hari tu dia komplen bilik tu ada bunyi katak, biar aku check. Bisikku sendiri sambil menolak daun pintu. Saat pintu ternganga aku tergamam. Mak long terlentang di atas lantai bersama kain sembahyang yang masih belum terlucut.
“Mak Long!” Aku menerpa. Tubuh tua itu kugoncang-goncang. Ya Allah! Apa kena dengan orang tua ni? Tanpa lengah aku segera ke meja telefon.
“Hello.. abang! Balik cepat bang!”
“Kenapa ni?” suara Aznil kedengaran.
“Mak long ni pengsan!” Aku segera meletakkan gagang. Dalam hati aku terasa cemas. Sempat kupanjatkan doa agar Mak Long selamat. Beberapa minit kemudian Aznil tiba bersama ibu mertuaku. Dengan susah payah kami bertiga mengangkat mak long masuk ke dalam kereta. Aku pula mengikut mereka ke hospital bersama van abah.
Keadaan mak long agak kritikal. Kata doktor mak long kehabisan ubat dan diserang lelah tiba-tiba. Kalau terlambat beberapa saat mungkin boleh membawa maut. Mendengar itu hatiku terasa takut tiba-tiba.
“Malam ni terpaksa tahan di wad.. seseorang kena menjaganya..” doktor berbangsa india yang peramah itu berkata. Kami semua saling berpandangan. Ibu mertuaku tak mungkin. Ayah tak sihat dua tiga hari ini, tak mungkin dia meninggalkan ayah.
“Apa kata Yan aja yang jaga mak long?” usul dari Aznil itu buat mataku terbeliak. Dia tersenyum buat tak mengerti.
“Elok juga..” sokong abah pula. Abah tu memang sentiasa sehati sebulat suara dengan menantu dia tu…
“Tapi..”
“Pasal anak-anak jangan risau.. mak ada.. “ sampuk mak pula.
“Mak pun boleh tolong tengokkan anak-anak..” mak mertua pula menambah undi. Aku pandang Aznil. Langsung tak berpeluang bersuara. Sampai hati! Aznil Cuma senyum sahaja.
“Abang balik ambil barang-barang okey…” Aku rasa nak cubit saja perutnya. Geram! Tak pasal-pasal aku pula kena!





MAK long Cuma diam sambil menghirup sup sayur yang kubawa. Aku turut kehilangan kata-kata. Selama tiga hari dia berada di wad akulah yang menemankannya siang dan malam. Habil dan Hazil kuserahkan pada emak untuk menjaganya.
“Kesian.. dia pernah jadi ibu susu abang.. temankanlah dia..” pujuknya.
“Abang tau tak mak long tu tak sukakan yan?”
“Tak apa.. masa ni la nak buat dia sukakan Yan..” jawab Aznil bersahaja. “Tawar sikit..” terlontar perkataan itu dari bibir mak long. Sejak tiga hari lalu wajahnya sudah tak berseri lagi.
“Mak long tak boleh makan masin-masin.. mak long ada darah tinggi..” jawabku lembut. Semalam doktor kata mak long ada penyakit lemah jantung. Mana tak kena sakit jantung, darah tinggi.. nak makan berlemak-lemak aja.. dulu kutuk sup daging aku tuh masakan orang malas.. sempat aku mengutuk dalam hati. Ishh jahatnya mulut aku!
“Mak long nak buah?” aku menawarkan buah limau manis yang kubeli tadi. Mak long memandangku.
“Anak-anak kita tak tahu ke kita dalam hospital ni?” soalnya. Aku menarik nafas. Pelik juga. Sejak mak long masuk wad tiga hari lalu seorang pun tak datang menjengah. Tapi aku malas nak ambil tahu sangat. Bukan ke dia kata anak-anak dia terdidik semuanya? Lagipun aku cuba menjalankan tanggungjawabku sebaik mungkin itu saja. Dia suka atau tidak terpaksa jugalah mengadap muka aku 24 jam.
Aku tak dapat menahan daripada menguap di hadapannya. Memang aku kurang tidur sejak dia masuk ke hospital. Bila hari siang Aznil datang dan aku balik ke rumah sekejap. Mandi, berkemas apa yang patut.. masak untuk suami kemudian baru menjenguk anak-anak di rumah mak. Sedih juga bila terkenangkan anak-anak yang berebut-rebut memelukku sebaik saja aku sampai ke rumah nenek mereka.
“Yan..” mak long memandangku.
“Mengantuk ke kamu?” soalnya.
“Tak adalah mak long.. Yan ni dah terbiasa tidur petang.. tu menguap tu..” aku memberi alasan. Doktor yang merawat mak long ada beritahu aku, jangan biarkan orang tua itu susah hati atau tersentuh. Bimbang kesihatannya makin melarat.
Mak long mengeluh berat. Dia merenungku lama.
“Mak long anggap kamu macam anak sendiri. Mana yang tak betul mak long tegur.. jangan kecik ati…” pintanya. Dia memegang tanganku erat.
“Terima kasih kerana menjaga mak long..” pertama kali aku tersentuh dengan kata-kata itu. Bak seorang ibu membelai anaknya. Dari kelopak matanya aku lihat ada air mata gugur. Alamak.. kenapa dia menangis?
“Mak long.. Yan tak ambil hati.. tak kisah.. elok juga mak long nasihatkan Yan..” balasku. Mak long mengangguk-anggukkan kepala.
“Jangan lupa.. nanti amalkan mandi air sireh.. biar berseri sikit muka.. “ Aduii.. baru aku ingat dia dah insaf, rupa-rupanya masih lagi!




SEJAK pulang dari hospital tadi aku terasa kepalaku berat. Aku cuba juga berbaring dan tidur sekejap tapi peningnya masih belum hilang. Alamak..macammana ni? Nak demam ke badan aku? Soalku sendiri dan bangun perlahan menuju ke dapur. Dua ulas panadol kutelan lagi. Dah 4 biji makan belum jalan lagi.. Aku menarik nafas. Jam sudah pukul 11.00 pagi. Aku sepatutnya sudah bertolak ke hospital kerana Aznil ada urusan dengan pembekal makanan udang kami. Aku membaringkan badan sekali lagi di kerusi hadapan. Sungguh, sendi-sendi terasa longgar dan aku tak mampu nak berdiri lama.
“Yan.. kenapa dengan kamu?” Kak Esah menyapa. Tak sedar bila dia memberi salam, tahu-tahu saja sudah terjengul di muka pintu.
“Pening kepala.. macam nak demam..” jawabku sambil mengerut dahi menahan pening. Kak Esah datang rapat. Dia memegang dahiku.
“Ehh.. kau ni demam ni.. “ kata kak Esah.
“Agaknyalah kak..” jawabku.
“Kau amalkan tak jamu yang kak Esah bagi tu?” soalnya. Aku angguk. Sejak mak long datang ke rumah ni memang berdisiplin aku makan jamu. Ulam yang aku tak pernah makan pun aku sumbat juga ke tekak. Tak larat dengar mak long berleter.
“Berat badan kau turun tak selepas makan jamu tu?” soalnya.
“Turun 3 kilo kak..” jawabku antara ingin dan tidak.
“Kau dah datang bulan ke belum?” soalnya. Aku menggeleng kepala.
“Agaknya kau mengandung lagi..” Apa? Aku rasa macam nak pengsan mendengar kenyataan kak Esah. Mengandung lagi? Anak yang dua tu pun baru masuk setahun dua bulan..
“Biar betul kak..”
“Kak Senah yang makan jamu akak tu pun kata dia mengandung dah 2 bulan.. ” Apa? Ala..
“Yan kena stoplah makan.. “ kak Esah tersenyum-senyum. Aku rasa badanku semakin lembik. Takkan aku mengandung lagi? Kak Esah ni cakap tak betul langsung. Kata jamu ni untuk menguruskan badan.. ni bukan menguruskan badan lagi ni.. nak menambah anak pulak jadinya.
“Nak akak tolong apa-apa?” soalnya.
“Akak tolong telefon mak saya.. saya rasa saya tak larat..” pintaku sambil cuba memejamkan mata. Aku dah penat nak pikir semua ni!!




AKU rasa macam tak percaya. Pada saat-saat meruncing begini aku dikejutkan dengan berita gembira. Surat tawaran yang baru diterima tadi masih melekat di tanganku. Aku saja suka-suka menghantar permohonan hari tu. Tak sangka pula aku berjaya menembusi beribu-ribu lagi pemohon.
“Yan dapat buat degree di USM?” soalku lagi. Aznil senyum. Sekuntum ciuman tahniah melekat di kedua-dua pipiku. Aku bingkas bangun dari pembaringan. Lama aku merenung Aznil yang begitu gembira sekali.
“Bila Yan apply semua ni?” soalnya ingin tahu.
“Maaf bang.. Yan sebenarnya suka-suka saja.. tak sangka pula Yan dapat buat course ni..” beritahuku. Aznil senyum.
“Kalau abang tak kasi Yan tak pergi..”
“Siapa kata? Abang tak halang Yan nak cari ilmu. Lagipun bukan senang nak dapat peluang macam tu.. pergilah.. abang izinkan..” Aku memeluk Aznil erat. Sungguh, aku bahagia mendapat suami yang sangat memahami sepertinya.
“Abang, semalam kak Esah datang.. dia kata..” Aku memandangnya lama.
“Kak Esah lagi? Dia suruh Yan beli jamu dia lagi? Sudahlah tu.. abang rasa Yan makan terlebih sangat jamu dan ubat-ubat jadi sakit macam ni..” Nasihat Aznil.
“Bukan… dia ada beritahu Yan, kak Senah yang ambil jamu dia dua tiga bulan dulu dah mengandung..” ceritaku.
“SO?” Aznil masih tak mengerti.
“Kak Esah kata, entah-entah Yan mengandung lagi..”
“Hah?” Aznil terlopong. Aku mengangguk.
“Yan rasa?” Aku angkat bahu. Rasanya Cuma demam biasa. Tapi kalau aku termengandung macammana?
“Ahh.. jangan percayalah.. Yan rehat dulu okey.. abang nak pergi tengok Mak Long..” Dia menyuruh aku berbaring. Aku Cuma menurut kerana kepalaku begitu pening sejak tadi.


“ARGGHHH TIDAKKK!!” Aku terduduk di atas bowl. Positif?? Dalam pening yang masih beraja di kepala aku perlahan keluar dari toilet. Aznil yang baru pulang segera memapahku ke katil. Dia menggeleng kepala melihat aku. Sudah puas dia mengajak aku ke klinik tapi aku enggan. Aku takut apa yang dikatakan kak Esah jadi kenyataan. Tapi bila menguji sendiri..
“macammana?” soalnya ingin tahu. Aku diam.
“Positif.. Yan mengandung..” jawabku perlahan.
“Iye?” Aznil bertanya, bercampur gembira dan terkejut.
“Kalau tak pasti kita ke klinik…” pujuknya. Aku memandangnya. Ingin saja kukatakan aku belum bersedia untuk menambah bilangan cahaya mata kami. Hidup sekarang ini pun dah kelam kabut. Aduhhh!! Aku mengurut kepala yang semakin sakit.
“Yan okey?” soal Aznil. Aku menggeleng kepala dan perlahan berbaring di atas katil.
Mak menjenguk ke bilik melihat keadaanku. Di kirinya terkelek Hazil yang baru lepas mandi.
“Macammana dengan Yan?” soal mak.
“Entah, dia kata Hazil nak dapat adik seorang lagi..” jawab Aznil.
“Apa? Alhamdulillah.. rezeki..” mak senyum. Aku Cuma mendiamkan diri.
“Apa nak susah hati pulak?” soal mak bila menyedari reaksiku selepas mendengar berita itu.
“Yan tak bersedia lagi mak..” jawabku berterus terang.
“Dah tuhan nak bagi.. takkan kau nak buang pulak..” kata-kata emak itu membuatkan aku terdiam.
“Tak apa.. mak ada.. insyaAllah.. semuanya selamat..” mak memberi semangat. Aku mengeluh berat. Dalam hati aku rasa nak saman saja kak Esah!!
“Yan nak kemana pulak tu?” soal Aznil bila melihat aku bangun dari duduk.
“Kita pergi klinik bang.. Yan tak puas hati..” Aznil Cuma menurut saja kemahuanku.


Doktor Fauziah tersenyum sambil menatap wajah aku dan Aznil. Dia mencatit sesuatu pada laporannya.
“Puan Dian Cuma demam biasa.. sakit kepala tu kerana puan terlalu banyak memikir dan kurang tidur.. saya dah periksa semua okey.. Cuma banyakkan rehat dan minum air masak. Ujian kehamilan, puan tak hamil.. “ Aku mengeluh lega. Aznil nampak sedikit kecewa tapi dia masih erat menggenggam tanganku.
“Period datang lewat tu biasalah.. bagi ibu-ibu muda macam Puan stress sikit.. jangan bimbang.. “ sambung doktor itu lagi. Aku tersenyum.
“Puan ada makan ubat apa-apa ke atau jamu ke?”
“Ada.. “
“Ohh.. tu mungkin alahan pada tubuh puan.. tapi tak membawa mudarat.. jangan risaulah.. saya pun mula-mula pening juga..” jelas Doktor itu.
“Eh.. doktor pun makan jamu?” soalku terkejut.
“mak saya pakar buat ubatan tradisional.. kita sekarang ni kena jagalah Puan.. lagipun bagus.. bahan semulajadi bebas dari bahan kimia..” terang Doktor Fauziah lagi. Aku tersenyum. Saat itu aku terbayang daun kesum, pucuk ubi, dan berbagai ulaman yang menjadi kemestian sejak mak long hadir dalam hidupku.
“Kalau macam tu saya memang tak mengandunglah?” Doktor Fauziah mengangguk lagi.
“Terima kasih doktor..” ucapku dan Aznil sebelum bangun. Sementara menanti ubat siap dan Aznil membayar bil aku terkenangkan mak long. Tiba-tiba rindu pula nak dengar leteran membinanya itu.
“Kenapa ni?” soal Aznil.
“Kita tengok mak long kat hospital bang..” pintaku. Alang-alang dah ke bandar ini baik aku ke sana. Lagipun aku dah sihat sikit.
“Lupa abang nak beritahu. Mak long dah tak ada di wad tu lagi. Pihak hospital pindahkan dia ke HKL untuk rawatan lanjut…” jelas Aznil. Apa?
“Siapa yang nak jaga dia kat sana?” soalku. Sedangkan di wad di hospital sini pun seorang anak tak menjenguk, inikan pula di HKL. Aznil menarik nafas.
“Abang terharu bila Yan sanggup jaga mak long hari tu. Sebenarnya mak long tu terkilan. Anak-anak dia nak masukkan dia ke rumah orang tua-tua. Sebab tu dia nak datang ke sini. Abang tak nafikan anak-anak mak long semua berjaya. Tapi, tak sangka mereka sanggup nak hantar ibu sendiri ke rumah orang-orang tua…” Aku terdiam mendengar penjelasan dari Aznil.
“Hari mak long datang ke rumah kita tu.. sebenarnya dia bertengkar dengan menantunya. Faham sajalah mulut dia tu bising tak berkenan itu ini.. sudahnya dia kena halau. Mujur Izan ada.. dia la telefon mak beritahu..” jelas Aznil lagi. Aku mengangguk faham. Sedetik, wajah mak long terbayang di ruang mata.
“Mak long hadiahkan Yan ini sebab menjaga dia..” Aznil mengeluarkan sebentuk cincin emas dari bekas baldu. Aku terpaku. Mak long!
Rupa-rupanya banyak perkara yang perlu aku pelajari di dunia ini. Sebaik saja melangkah ke alam perkahwinan, banyak yang perlu dikorbankan. Permulaan hidup ialah tolak ansur antara suami isteri. Bila meniti tahun demi tahun aku pasti akan bertemu kerenah demi kerenah antara keluarganya. Setelah masuk tahun kedua perkahwinan, aku teruji dengan sikap mertua yang kurasa cuba mencampuri urusan hidupku suami isteri. Tapi, bila kufikirkan, alangkah bertuahnya aku dikurniakan oleh ibu mertua yang mengambil berat. Aku tak sepatutnya melulu menuduh dia cuba merampas privacy ku. Lihat saja mak long.. memang mulutnya buat aku rasa panas hati tapi.. bila terjadi perkara begini baru kusedar disebalik teguran dan rungutan mereka. Sebenarnya ilmu rumah tangga yang tersimpan pada mereka harus kuselongkar. Mereka sudah berpuluh tahun hidup dalam onak duri dan gelora rumahtangga. Rencah kehidupan mereka membuatkan mereka ingin melihat kebahagiaan anak menantu, agar ikatan perkahwinan semakin utuh dari hari demi hari. Tapi, seringkali nasihat-nasihat emas mereka itu disalah erti oleh orang yang berfikiran seperti aku. Aznil memeluk bahuku.
“Kalau ada masa kita lawat Mak Long di KL.. okey?” dia tersenyum.
“Kenapa ni? Rindu ke?” usik Aznil. Aku Cuma tersenyum.
“Kan abang dah kata.. mak long tu baik kan? Cuma silapnya dia lahir tahun itik.. tu mulut dia bising..”